Bersambung dari artikel Taman-taman di London Bhg 1 – St. James Park.
Green Park
Penanda merah di peta atas merupakan laluan entry saya ke Green Park. Sebenarnya, saya berhajat untuk melawat Buckingham Palace, iaitu sebuah istana rasmi yang merupakan kediaman bagi Queen Elizabeth.
Untuk ke sini, anda boleh datang dari arah Buckingham Palace, St. James Park atau dari arah stesen Tube contohnya Green Park (paling dekat) dan Hyde Park Corner.
Jadi, selesai menaiki Tube dan berhenti ke stesen Green Park, saya menapak ke istana dan perlu merentasi Green Park. Asalnya tidak ada dalam perancangan untuk melawat taman ini.
Keluasan taman ini adalah 47 ekar. Ia dikategorikan sebagai salah satu dari “Royal Parks of London”.
KEMASKINI 17 JUN 2017: Saya telah memasukkan beberapa tempat tumpuan utama di The Green Park. Anda boleh lihat peta di bawah atau klik di bawah (automatik akan masuk dalam Google Maps di handphone anda):
https://drive.google.com/open?id=1azMWsZhlXzPfcgPtpZV4YxVxuq38odur&usp=sharing
Pemandangan taman di bahagian kanan saya. Nampak pokok-pokok di sebelah kanan gambar? Di hari-hari berikutnya, saya pernah berehat, bersantai dan berbaring di salah sebuah pokok tersebut bersama puluhan pengunjung yang lain. Tidak perlu bentang tikar mengkuang pun tak mengapa. Di sini, tanah, cuaca dan kelembapan udaranya sangat bersih walaupun di tepi taman penuh bas-bas bandar lalu lalang.
Cantikkan pokok-pokok di depan ni walaupun warnanya kuning. Pemandangan seperti ini hanya ada di negara empat musim. Jaket pengunjung pun tebal-tebal, tak kurang juga jaket saya. Ikutkan, pemandangan di taman-taman yang saya kunjungi memang cantik. Tapi disebabkan kualiti kamera yang saya gunakan, warnanya kurang menyerlah. Kamera yang saya guna adalah kamera kompak sesuai untuk travel jenama Olympus FE-5020. Murah sahaja, tak sampai RM700. Saya beli pun tergesa-gesa semata-mata untuk trip ke London.
Ok dah sampai Buckingham Palace. Berkenaan istana ini, akan saya ceritakan dalam artikel yang lain.
Kembali ke Green Park. Selfie sekali di sini. Nasib baiklah kamera saya ada wide angle 24mm, bolehlah selfie. Tengok dari jauh, ada orang tengah duduk di kerusi panjang menghadap sebuah struktur unik kolam. Bayangkan anda sedang berdua-duaan bersama pasangan masing-masing. Eh eh, untuk yang dah berkahwin sahaja ye. Syahdunya kalau dapat duduk bersama begitu sambil menikmati udara yang segar yang sejuk, nyaman, aman dan tenteram.
Kita menapak ke hadapan agar lebih dekat dengan kolam tersebut. Ia diberi nama “Canada Memorial” dan dibina pada tahun 1992. Tujuan pembinaan adalah untuk mengena jasa askar-askar Kanada yang berkhidmat di bawah panji British sewaktu Perang Dunia 1 dan 2. Nampak pelik tak? Seolah-olah airnya tak menurun ke bawah atau lebih dikenali sebagai “optical illusion”. Entahlah, saya pun tak tahu macam mana ianya dibina. Terus terang saya katakan, pada ketika ini saya tak membelek habis-habis struktur kolam ini kerana dalam kepala tengah sibuk nak mengarah ke Hyde Park.
Ini pula pemandangan dari tepi kolam tapi menghala ke arah istana. Kelihatan masih ramai lagi pelancong berada di situ walaupun perarakan pertukaran pengawal istana telah lama habis.
Di sebelah kiri saya ada pula mini cafe menjual makanan ringan, roti, snek dan minuman panas. Dek kerana tak pasti status halalnya, saya hanya membeli Hot Chocolate berharga 2.00 pound. Oklah, sekadar nak merasa. Sedap juga. Cuaca pun sejuk iaitu di bawah 12 darjah Celcius, sesuai sangat minum panas sambil genggam cup nya yang panas.
Suasana mini cafe dari jarak lebih dekat.
Di kawasan sini barulah nampak papan tanda penerangan khas bagi Green Park. Mungkin ianya dibina kerana kawasan di bahagian sini ramai pelancong yang asalnya datang dari arah Buckingham Palace berbanding dari arah laluan saya masuk mula-mula tadi.
Eh, kasut pun nak selfie? Apa yang menarik tentang gambar di atas? Ya, daun Maple! Mana ada kat Malaysia sayang oihhh. Siap saya kutip (yang hijau sahajalah) dan bawa balik ke Malaysia. Sampai sekarang masih ada lagi dan diselitkan dicelah buku.
Keluasan Green Park ini menyamai St. James Park. Bezanya, Greek Park berbentuk hampir empat segi tepat manakala St. James Park berbentuk panjang. Banyak lagi yang saya belum teroka di sini. Namun, ianya tidak termasuk dalam senarai taman-taman yang menarik di London. Hanya sebagai taman dalam kategori paling hampir dengan bandar.
Ada beberapa buah tempat yang saya terlepas pandang di sini iaitu Diana Fountain (gambar di atas, pinjam dari Wikipedia). Namun, setelah dibuat beberapa carian di Google Maps dan Google Street View, tiada pula maklumat lanjut. Tak mengapa, alang-alang dah sampai, anda cuba cari. Lagipun, Green Park tidaklah besar sangat. Yang keduanya adalah RAF (Royal Airforce) Bomber Command Memorial. Ianya baru dibina dan dirasmikan pada tahun 2012.
Bersambung ke artikel seterusnya….. Taman-taman di London Bhg 3 – Hyde Park.
Leave a Reply