Assalamualaikum pada para pembaca. Kali ini aku tergerak untuk bercerita satu topik yang sering atau sengaja dilupakan sesetengah orang termasuk diri aku sendiri.
Semasa permulaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 yang lalu, boleh dikatakan semua aktiviti masyarakat terbantut dan terpaksa dihentikan bagi menyahut saranan kerajaan menghentikan penularan jangkitan wabak Covid-19 dengan cara Stay At Home.
Dan sehingga kini, belum boleh ditentukan samada:
- Adakah rakyat Malaysia akan dibenarkan ke luar negara pada tahun ini? (yang mana terdapat lagi 5 bulan sehingga hujung tahun ini)
- Adakah hanya pada tahun hadapan (2021) sahaja rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara?
- Jika tahun ini dibenarkan ke luar negara, adakah dunia telah selamat dari penularan wabak Covid-19?
Jadi, segala persoalan di atas tidak dapat ditentukan apakah yang akan berlaku nanti. Oleh itu, kita ada tempoh 5 ke 10 bulan dari sekarang untuk berada dalam negara dan tidak ke mana-mana.
Dan cadangan aku ialah, apa kata kita gunakan tempoh masa yang ada serta lebihan duit yang sepatutnya digunakan untuk ke luar negara pada tahun ini (sejak sebelum berlakunya wabak sehingga hujung tahun) dengan menyelesaikan segala hutang-hutang yang ada?
Mari kita lihat petikan dari Mstar seperti di bawah ini berkenaan hutang:
Dalam satu hadis nabi SAW bersabda; “Akan diampunkan segala dosa orang yang mati syahid kecuali orang yang berhutang.”
Dalam hadis yang lain nabi SAW bersabda; “Demi jiwaku dalam kekuasaan Allah, sekiranya seorang lelaki terbunuh pada jalan Allah (mati syahid), dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula, kemudian dia terbunuh pada jalan Allah lagi dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula kemudian dia terbunuh pada jalan Allah sekali lagi, tetapi dia meninggalkan hutang maka dia tidak akan masuk syurga sehinggalah hutangnya diselesaikan.”
Baginda nabi Muhammad SAW dalam satu hadis yang panjang mafhumnya, apabila diminta solatkan jenazah baginda SAW bertanya kepada sahabat: Jenazah ada hutang tak? Sahabat menjawab: Tidak ada ya Rasulullah, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut.
Apabila datang jenazah yang lain nabi SAW bertanya ada hutang tak? Sahabat menjawab: Ada ya Rasulullah, Rasulullah bertanya lagi, ada harta tak? Sahabat menjawab: Ada harta yang ditinggalkan sebanyak 3 dinar, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut.
Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.
Kemudian datang jenazah yang ketiga untuk disolatkan, nabi SAW bertanya adakah dia meninggalkan sesuatu harta, mereka menjawab tidak ada, nabi SAW bertanya ada hutang tak?, mereka menjawab ada hutang sebanyak 3 dinar, maka jawab nabi SAW: kamu solatkanlah jenazah sahabat kamu (dan nabi tidak akan solatkan jenazah tersebut).
Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.
*******
Ya tuan-tuan dan puan-puan, sangat berat sekali masalah hutang ini pada rohani kita.
Dapat perihal kembara, perkara yang paling menakutkan adalah mengembara tapi dipenuhi hutang yang belum selesai. Fikirkan apa akan jadi:
- Semasa mengembara atau melancong, tiba-tiba berlaku sesuatu yang tidak diingini yang aku pun tak nak sebut (sendiri-sendiri paham ya)? Bagaimana dengan hutang, adakah sempat dilangsaikan?
- Semasa mengembara atau melancong, tidakkah korang rasa tak senang duduk kalau ada hutang yang belum selesai? Ishk, kalau aku memang tak senang duduk. Walaupun di depan aku ketika tu adalah gunung-ganang di Switzerland yang begitu indah, tetap aku merasakan seperti ada yang tidak lengkap atau belum beres.
Apabila menjangkau usia 4-series ni, ciri-ciri yang dikejar oleh golongan seperti kami bukanlah mahu kaya mencanak-canak, tapi ingin menyelesaikan semua hutang yang telah dibuat sejak dari usia 20an lagi. Terasa seperti tenang jiwa jika dapat melepaskan segala bebanan. Tidak seperti usia 20an yang gah membuat hutang tanpa sedar yang ia akan mencorakkan kehidupan harian apabila memasuki usia 30 dan 40an. Kalau ketika tu semakin kaya, tidak mengapa. Tapi jika semakin papa kedana, teruk jadinya dengan hutang bagai!
Aku percaya setiap dari korang termasuk aku, mempunyai hutang samada dengan:
- Bank (kad kredit, hire purchase kenderaan dan rumah serta pinjaman peribadi atau perniagaan).
- Orang-perseorangan.
- Bil-bil tertunggak dengan syarikat telco, TNB dan sebagainya.
- Sewa beli barangan dari kedai-kedai yang menyediakan pembiayaan bayaran bulanan.
- Dan sebagainya.
Baiklah, berikut adalah petua yang aku jumpa tentang cecara untuk melangsaikan hutang:
- Senaraikan semua hutang-hutang yang korang ada bermula dari nilai paling rendah hingga paling tinggi.
- Kemudian dari senarai tu, tandakan senarai hutang dengan saudara-mara.
- Dan juga dari senarai tu, tandakan senarai hutang dengan pihak lain seperti rakan-rakan.
- Akhir sekali, barulah senaraikan hutang-hutang dengan pihak bank dan kewangan.
Bagaimana cara melangsaikan hutang?
Bayarlah dahulu hutang yang paling rendah nilainya. Selepas korang lihat satu-persatu hutang nilai rendah berjaya diselesaikan, korang akan rasa lega.
Selepas tu, selesaikan hutang-hutang dengan saudara mara, ipar dan lain-lain. Ini pun juga bermula dari nilai hutang yang rendah hingga tinggi. Korang pun tau kan, di kalangan golongan ni kalau tak bayar hutang akan jadi buah mulut. Lebih baik selesaikan siap-siap.
Sama juga bermula dari nilai hutang rendah, selesaikan hutang dengan kawan-kawan pula.
Akhir sekali barulah selesaikan dengan pihak bank. Cadangan aku, kalau ada pendapatan lebih, tak perlu membayar sebulan sekali. Cuba laksanakan kaedah dua bulan yang dibayar dalam satu bulan sahaja. Contohnya, bayaran pinjaman perumahan bulanan ialah RM500 tapi dibayar RM1000. Ini akan membuatkan pinjaman korang lebih cepat dilangsaikan.
Bagaimana pula jika ada hutang yang rendah contohnya RM2,000 tapi tidak mampu untuk selesaikan sekaligus? Pecahkan menjadi 2 atau 4 iaitu RM1000 x 2 atau RM500 x 4. Cukup sahaja RM500, terus saja bayar. Lebih baik membayar sedikit demi sedikit daripada tidak membayar langsung. Kaedah ini terpakai bagi hutang bukan melibatkan bank dan tiada interest seperti orang-perseorangan (saudara-mara atau rakan-rakan).
InsyaAllah, bermula hari ni, marilah kita istiqhamah termasuk diri aku sendiri dalam pembayaran hutang terutama dengan pihak bank sehingga selesai. Mudah-mudahan jiwa kita tenang dan mudah untuk kembara ke mana-mana.
Psst.. aku teringat pula cerita dari seorang kawan aku yang mengadu tentang kawannya yang kerap melancong tapi buat-buat lupa untuk melangsaikan hutang kawan aku ni. Tak ke malu namanya. Elaklah dari menjadi buah mulut orang.
Leave a Reply