Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 10 – Part 3 – Phra Prang Sam Yot & Phra Kan Shrine
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Terlalu banyak tinggalan-tinggalan senibina lama di sekitar Lopburi menjangkau hingga Ayutthaya. Usianya paling rendah pun 500 tahun.
Dari Phra Kan Shrine, kami menapak ke Wat Nakhon Kosa yang terletak tidak jauh iaitu 50 meter kedudukan dari bulatan jalanraya.
Kedudukan GPS bagi Wat Nakhon Kosa tapi di Google Maps, ia digelar Wat Nakorn Kosa.
Ia juga dahulunya dibina sebagai kuil pada zaman pemerintahan Dvaravati di antara abad ke 6 hingga 10 dan kemudiannya diambil alih oleh pemerintahan Khmer dan seterusnya Ayutthaya.
Inilah keseluruhan wat. Sedikit demi sedikit ianya runtuh dari abad ke abad dan sekarang mungkin tidak lagi kerana sentiasa diperbaiki dan diselenggara mengikut teknologi masa kini.
Stupa yang terkecil (tiada dalam gambar) dan dewan untuk berkumpul ini yang hanya tinggal dinding sahaja, telah ditambah pada era Khmer dan Ayutthaya.
Asalnya dahulu, pada era Dvaravati, binaan pertama ialah stupa (chedi) yang agak besar tapi telah lama runtuh dan digantikan dengan apa yang ada di hadapan aku sekarang ini.
King Narai kemudiannya menambah baik wat ini. Pada tahun 1987 hingga 1988, telah dilaksanakan carigali di bahagian bawah tanah stupanya serta ukiran-ukiran lain di zaman Dvaravati dan membawa kepada penemuan seperti imej/wajah Buddha, wajah berukiran manusia, syaitan, senibina arkitek dan terracota.
Kesemua penemuan telah dibawa ke Somdej Phra Narai National Museum di Lopburi dan telah dipamerkan di sana. Keseluruhan tapak wat ini telah didaftarkan sebagai khazanah negara oleh Jabatan Seni Halus Negara Thailand pada tahun 1936.
Masuk ke wat ini adalah percuma dan setiap petang terdapat juga kanak-kanak tempatan yang bermain di sini.
Kami ada sejam lagi sebelum menaiki tren seterusnya ke Ayutthaya pada jam 12.20 tengahari. Sambil tu, kami membuang masa di atas landasan stesen keretapi tapi dengan cukup berhati-hati kerana terlalu banyak landasan yang mengelirukan.
Kami akan menuju semula ke stesen keretapi yang terletak di belakang Tatie. Jika pembaca perasan, Wat Nakhon Kosa hanyalah di sebelah kiri gambar sahaja dan tidak jauh.
Meneruskan berjalan kaki ke stesen.
Sambil bertembung dengan akak yang mengandar raga di bahunya serta menggalas beg LV.
Ini pula gambar arah yang kami berjalan pada mulanya iaitu dari bulatan jalanraya. Kesemua tempat yang dituju hanyalah berdekatan. Kelihatan sekumpulan pelajar sekolah menunggu untuk melintas landasan.
Bergambar kenangan di stesen keretapi Lopburi yang entah bila lagi nak datang. Mungkin tidak lagi kerana boleh dikatakan tempat-tempat penting di Lopburi yang kami lawati semuanya telah selesai.
Sebenarnya di hadapan stesen keretapi terdapatnya sebuah lagi wat yang terpenting dan terbesar di sini iaitu Wat Phra Si Ratana Maha That. Ada baki 50 minit, ok sempatlah lagi.
Sepatutnya kena bayar, tapi kerana musim perkabungan bayaran masuk adalah percuma. Untunglah kami yang datang ke Thailand pada ketika ini.
Ia juga dikenali atau dieja sebagai Wat Phrasri Rattana Mahathat. Tapi berbeza pula di Google Maps yang mana Phrasri dieja sebagai ‘Phrasi’.
Lokasinya terletak betul-betul di hadapan pintu masuk stesen keretapi Lopburi.
Kawasan wat ini merangkumi keluasan 8 ekar. Struktur binaanya bermula dengan ‘Prang’ yang dibina di tengah-tengahnya dan ‘Prang’ pula dikelilingi oleh binaan seperti bangunan-bangunan lain dan chedi.
Dari sumber rujukan, ianya dibina pada abad ke 18 hingga 19 (kalendar Buddhist) di zaman agama Buddha sebelum datangnya era pemerintahan Ayutthaya.
Semasa pemerintahan Ayutthaya (King Narai), Somdet Phra Maha Chakkraphat telah mengarahkan agar dibuat penyelenggaraan dan pengubahsuaian di wat ini. Binaan tambahan telah dibuat seperti Viharn (ruang sembahyang), chedi dan lain-lain lagi.
Kemudian, wat ini diubahsuai lagi pada zaman pemerintahan King Boromakot.
Jom kita masuk ke dalam……
Inilah ‘Prang’nya yang berbentuk seperti ‘missile’. Ia dibina dari batu laterite. Prang yang utama setinggi 30.7 meter dan ‘ditemani’ dengan dua buah Prang berbentuk silinder di kiri dan kanannya.
Ini Prang yang berbentuk silinder. Nasib baiklah adanya batang penyokong yang dibina oleh kerajaan Thailand kerana keadaannya seperti bila-bila masa sahaja boleh tumbang.
Bangunan ini mungkin ditambah pada era yang sedikit moden kerana senibina bumbungnya.
Aku tertarik dengan binaan seperti jagung di atas bumbungnya.
Di sini juga terdapatnya Prang jenis kecil. Aku merasakan yang tempat ini bukanlah 100% wat semata-mata tapi juga merupakan salah sebuah pusat pemerintahan tempatan pada ketika itu.
Bergambar berdekatan dengan salah sebuah Prang utama yang menempatkan patung-patung Buddha di dalamnya. Jenuh juga Tatie dan Aqif nak memanjat naik.
Memandangkan struktur sebelah kanan gambar ditampan dengan kayu-kayu penyokong, ini membuatkan hasrat kami untuk masuk ke dalam pintu di sebelah kiri gambar terbantut. Buatnya runtuh, tak memasal!
Teruja dengan ukiran di sini. Mungkin aku tersilap mengatakan stupa itu adalah chedi. Mungkin inilah chedi yang dimaksudkan.
Kami akhiri lawatan ke Lopburi ini dengan menyajikan gambar sebuah pokok yang agak unik ditemui di sini. Di Malaysia juga ada dan pembaca boleh rujuk di sini.
Seterusnya, kami balik semula ke stesen keretapi kerana jam hampir 12 tengahari dan perlu mengambil dahulu backpack yang kami tinggalkan di Left Luggage Office.
Leave a Reply