Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 10 – Part 4 – Wat Nakhon Kosa & Wat Phra Si Ratana Maha That
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Bergambar kenangan di Lopburi Railway Station sebelum menaiki tren ke Ayutthaya.
Bergambar bersama gerabak oil tanker yang jarang dilihat walaupun di Malaysia sekalipun.
Pada pendapat aku, pekan Lopburi ini sesuai dilawati hanya dalam satu hari sahaja. Tidak berbaloi untuk menetap semalaman di sini kerana hampir semua tempat boleh dilawati kurang dari 8 jam termasuk ladang bunga matahari. Yang penting, datanglah awal-awal pagi bermula jam 4.20 pagi dari Bangkok.
Kenapa berangkat ke Ayutthaya menaiki tren jam 12.20 tengahari? Kalau diikutkan, memang ada jadual tren selepas tengahari hingga petang. Tapi disebabkan jadual di Lopburi mencukupi sehingga jam 12 tengahari sahaja. Lagipun, kami perlu mencari hotel di Ayutthaya pula.
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Bagaimana kalau terlepas tren harian ke Ayutthaya? Tak mengapa, boleh cari minibus atau teksi yang boleh menghantar sehingga ke sana dalam tempoh perjalanan 1 jam sahaja dengan jarak sejauh 66km. Untuk berjimat, mungkin ada bas awam di sini yang lebih murah.
Maskot Lopburi yang dikenali sebagai The Monkey City.
Tren akan tiba lagi 10 minit. Kami pun menuju ke Left Luggage Office untuk mengambil backpack. Ok, sedikit penerangan tentang tempat penyimpanan ini:
- Boleh didapati di mana-mana stesen keretapi di seluruh Thailand dengan signboard tertera “Left Luggage Office”.
- Kos penyimpanan untuk sehari adalah THB10 (RM1.50) bagi setiap bag.
- Selepas membayar, akan diberikan sebuah kad nombor. JANGAN HILANGKAN.
- Pengawal bilik penyimpanan ini ada di mejanya setiap masa.
- CCTV juga terdapat di sini.
- Sangat selamat tapi sebaiknya menggunakan lock basikal (seperti dalam gambar di bawah yang kami bawa ke Thailand dan seberat kurang dari 100gm sahaja). Tambatkan backpack ke batang besi almari tingkat di tepi menggunakan lock basikal. Walaupun pencuri boleh memotong tali galas beg, tapi dengan adanya lock ini akan memberinya lebih masa sehingga pengawal di situ tersedar perbuatannya. Beli di Mr DIY dengan harga kurang dari RM10.
- Sebaiknya ikat luggage tag di bahagian luar backpack serta diselitkan business card di bahagian paling dalam beg. Ini bertujuan sebagai pengenalan diri andai kata kad nombor tercicir. Luggage tag akan tertera nama sendiri sebagai bukti empunya beg manakala business card sebagai bukti kedua jika luggage tag pula direntap dan dihilangkan oleh sesiapa.
- Selepas mengambil backpack, periksa dahulu kandungan didalamnya. Risau tak pasal-pasal menjadi ‘instant kaldai dadah’ apabila dadah diselitkan dicelah-celah backpack. Beg jenis tarik juga tak terkecuali kerana mereka ada kepandaian membuka mangga kecil.
- Secara keseluruhan, USAH RISAU ADIK-ADIK SEKALIAN, SIMPAN BEG DI SINI SANGAT SELAMAT. Berdoa dan terapkan law of attraction dengan membayangkan beg selamat sebelum melangkah keluar meninggalkan beg.
Lock Basikal, pastikan jenis dawai dan bukannya rantai besi yang sangat berat.
Keadaan backpack Tatie yang semakin berat dan sendat. Biarlah orang nak kata apa walaupun kami berdua peminat setia beg jenis galas. Yang penting sebelah tangan boleh memegang anak dan sebelah tangan lagi boleh memegang barang-barang yang lain. Berbeza pula dengan beg tarik yang mana sebelah tangan memegang handle bag, sebelah lagi memegang beg plastik dan sebelah lagi memegang anak. Eh ada tiga tangan???? ๐
Ini pula keadaan backpack aku selepas kami memasuki bandar ke 8 di Thailand ini.
Tren yang sepatutnya tiba pada jam 12.20 tengahari tapi belum tiba. Jam sudah pun 12.40 dan Aqif tidur dahulu buat sementara di sini. Boleh sahaja berbaring di sini bagi kanak-kanak. Yang penting, ibubapa tidak ada mentaliti diva, pakaian kanak-kanak menutup 90% bahagian bawah bagi mengelakkan permukaan kerusi yang kurang bersih serta kepala dialas dengan bantal. Kaedah ini sama saja bagi mereka yang berbaring di lantai airport dek kerana kapal terbang yang lewat tiba berjam-jam.
Platform tren di bahagian tengah juga ada. Sambil menunggu tren dari arah utara, aku dan Aqif bersantai seketika di sini sambil Tatie menjaga beg.
Maskot utama Lopburi tapi kali ini berwarna emas.
Mencari pengalaman duduk di sebelah tok sami Buddha. Manalah tahu kalau dia tergerak nak bersembang dengan aku, seronok juga kalau berlaku ‘interfaith discussion’ dalam keadaan santai dan tenang. Tapi gagal dan beliau diam sahaja.
Tepat jam 12.50 tengahari, tren dari arah utara pun tiba. Patutlah lambat, rupa-rupanya ia adalah komuter dan mengangkut segala pelajar sekolah dan lain-lain ibarat sebuah bas awam. Memang bersesak sungguh kami di sini.
Untuk 20 minit pertama, kami semua terpaksa berdiri. Bayangkan terpaksa bersesak dengan backpack besar dan tebal dicelah-celah ramai orang. Waktu ini aku dah tak kira, perangai kiasu menjelma. Mohon maaf pada penumpang tren, kami terpaksa force diri dan backpack masuk ke dalam kerana tren pun dah mula nak bergerak dan pintu juga akan ditutup.
Kami dapat idea. Disebabkan ruang sekeliling kami terhad, lalu Tatie mengangkat Aqif dan didudukkan di atas kepala backpack.
Hidup mengembara beginilah. Mana yang sempat kita jolok sahaja. Aqif yang dah tak tahan matanya lebih berminat duduk di lantai berbanding di atas paha sambil Tatie memegang kepalanya yang bakal terlentok akibat tidur dalam keadaan duduk. Pengalaman besar bagi Aqif apabila besar nanti dan menatap gambar ini!
Ada orang mengajar anak agar menjadi seorang yang pandai menyimpan wang, tidak membazir makanan, rajin, disiplin dan lain-lain. Kami pula ada tambahan, iaitu menjadikan anak seorang yang kental dan bukan lembik, apatah lagi sebagai lelaki.
Kami tiba di stesen keretapi Ayutthaya lebih kurang jam 2 petang. Pada ketika tu, minda kami difokuskan sepenuhnya pada pencarian hotel untuk bermalam sampaikan aku tak sempat untuk mengambil gambar.
Sambil membiarkan Aqif dan Tatie serta backpack kami di stesen keretapi ditambah pula Aqif yang siap sambung kembali tidur, aku berpusing seorang diri di belakang kawasan stesen bagi mencari hotel. Hampir 6 buah hotel telah aku pusing, haram satu pun tak ada kekosongan dan ada pula yang mahal. Tiba-tiba di hujung sebuah jeti berdekatan sungai ada pula dua buah hotel yang available.
Sebagai suami, aku perlu bertanyakan juga pendapat Tatie mana yang sesuai. Jadi, aku berpatah balik ke stesen keretapi dan mengangkut semua barangan. Kami menapak menuju ke hotel berdekatan sungai tadi. Tatie pula terintai-intai sebuah hotel yang agak terceruk dan kurang bersetuju kerana agak suram dalamannya, auranya juga kurang senang dan harganya sedikit mahal.
Dan kami bersetuju untuk menginap di hotel satu lagi yang berhadapan dengan jalan, cuma agak penat sedikit kerana perlu menaiki tangga hingga ke tingkat 3. Bila dah check-in apa lagi, semua pakat tidur kepenatan. Bayangkan, dalam satu hari sahaja kami telah berada di tiga buah bandar iaitu Bangkok, Lopburi dan sekarang di Ayutthaya.
Lebih kurang jam 6 petang, kami pun bangun dan bersiap untuk ke bandar Ayutthaya mencari tempat untuk makan malam. Aku menahan sebuah tuktuk berbentuk kereta tapi bertayar tiga. Aku hanya bertanyakan tempat yang ingin kami pergi dan pemandunya tahu. Tambang sebanyak THB100 (aku dah lupa) dikenakan untuk perjalanan sejauh 7.3km.
Lokasi GPS untuk ke Ayutthaya Night Market: 14.365925,100.57435
Inilah Ayutthaya Night Market. Seperti yang aku sarankan pada pembaca sebelum ini, jika di Thailand eloklah mencari Night Market selepas jam 6 petang. Kebanyakan restoran semuanya dah tutup baik halal atau tidak.
Apa yang kami teruja di sini ialah betapa ramainya peniaga-peniaga Muslim. Dan sehingga kini, di sinilah tempat yang memegang rekod tertinggi jumlah peniaga Muslim teramai bagi sebuah Night Market berdasarkan pengalaman kami menerjah bandar-bandar di Thailand.
Segala pizza dan western food, semuanya ada!
Tak silap aku, ini adalah ayam goreng dan bebola ikan.
Jom kita ke gerai ini dan kenapa aku sangat cadangkan untuk pembaca memesan makanan di situ?
Segala makanan yang asalnya banyak dimakan oleh penduduk Thai yang tidak halal di bandar lain tapi boleh didapati di sini. Sehingga sekarang, kalau setiap kali teringat Ayutthaya, aku pasti terbayangkan masakan siput kupang yang digoreng bersama telur dadar dan taugeh. Entah apa nama tapi memang sedap!
Harganya pun murah, tak lebih dari THB50.
Di bahagian kanan gambar sehingga ke hujung merupakan kawasan peniaga Muslim berkumpul. Lebih dari 10 gerai yang terdapat di situ. Terbaiklah Ayutthaya.
Ini pula gerai yang menjual roti seperti prata dan capati tapi dicampur manisan. Aku saja bersembang dengan seorang lelaki yang juga peniaga di gerai ni yang fasih bercakap Melayu. Aku luahkan rasa terkejut kerana ramai peniaga Muslim. Beliau dan isterinya pula merupakan pelajar di sebuah universiti di sini dan kedua-duanya berasal dari selatan Thailand.
Walaupun beliau fasih berbahasa Melayu, tapi bukan berenti semua peniaga Muslim di sini yang tahu. Hanya beliau seorang saja yang tahu berbanding semua yang ada di sini.
Di bahagian tengah ini juga banyak gerai halal.
Gerai ini menjual air manisan seperti ABC, aiskrim dan lain-lain.
Makanan yang dijual di gerai ni sedap juga. Nasi seperti nasi ayam yang agak ‘sticky’ dan dimakan dengan bahan yang boleh dipilih lalu direbus. Mirip seperti Yong Tau Foo tapi dimakan dengan nasi. Buat pengetahuan pembaca, pulut di Thailand digelar ‘sticky rice’. Nasi ayam pula separa-sticky.
Banyak lagi gambar gerai yang aku ambil, layan sajalah di bawah ni:
Ini yang kami beli. Sate, tapi bentuk seperti bebola ikan.
Siput kupang yang aku ceritakan tadi..
…. serta tomyam.
Selesai makan, kami pun melayan pemandangan sungai di tepi Night Market.
Nak duduk makan di tepi sungai pun boleh. Tapi aku rasa, kemungkinan besar lokasi meja di sini hanya khas untuk peniaga-peniaga yang paling hampir dengan sungai.
Sebuah pondok di tepi sungai yang merupakan juga sebuah jeti untuk menaiki bot atau sampan.
Di hadapan Night Market sebenarnya terdapat sebuah pagar berbentuk dinding tinggi bagi sebuah istana lama. Istananya telah ditukar menjadi muzium tempatan.
Disebabkan kami tiba malam di sini, tempatnya telah tutup. Buat pembaca, aku sarankan untuk bertandang ke sini jika ada lebihan masa. Banyak artifak yang dikumpul dari proses carigali di kawasan sejarah Ayutthaya dipamerkan di sini. Menjadi kerugian bagi kami kerana kesuntukan masa.
Dan dari sini, kami menaiki tuktuk yang lain pula untuk pulang ke hotel.
Sebelum menapak pulang ke hotel, kami borong dulu makanan ringan sebagai alas jika masih lapar.
Tiba di hadapan hotel, aku tertarik untuk melihat jeti mini di tepian sungai.
Dari sini, boleh nampak jambatan panjang yang menghubungkan kawasan hotel dan stesen keretapi dengan bandar Ayutthaya. Maklumat untuk pembaca, kawasan kami terpisah dari bandar hanya kerana sungai ini.
Masih ada lagi pelancong yang menunggu bot tiba di jeti. Tak pasti samada bot masih beroperasi atau tidak. Esok kami akan cuba naik pada siang hari.
Inilah bilik kami, bilik untuk pemimpin-pemimpin dunia kerana angkanya “1”. Terletak di atas kayangan iaitu tingkat 3. Jiran kami pula ialah pasangan lelaki dan perempuan dari US yang menetap di bilik sebelah. Mereka berbasikal ke seluruh Asia Tenggara.
Pada tengah malam lebih kurang jam 11.27 malam, sewaktu aku sedang bersandar di tepi katil dan membelek handphone, tiba-tiba pintu bilik di hadapan aku terbuka dengan sendirinya. Bab keselamatan ni aku memang champion. Maklumlah ketua rumahtangga. Pintunya di bahagian dalam menggunakan kunci jenis selak dan aku pasti telah menyelak sedalam 1 inci dijolok masuk ke dalam soketnya.
“Tanggg..”, selak dibuka dan bunyinya sangat jelas walaupun bukan kuat. Dan tak semena-mena, pintunya terbuka sedikit dengan sendirinya lebih kurang 1/2 jengkal.
Mustahil untuk sesiapa di luar sana membuka pintu ini memandangkan selaknya terletak di bahagian dalam. Nasib baiklah aku ni berguru dan berpengajian dan masalah hantu Siam berjaya ditangani tanpa sebarang gangguan lanjutan di tengah malam. Kami berada di tingkat paling atas dan tiada penghuni di atas bumbung. Dan bumbungnya pula boleh dinaiki dengan tangga. Akan aku tunjukkan dalam entri selepas ini.
Malam kami tidur dengan nyenyaknya kerana kepenatan sepanjang hari masih belum reda. Esok aku akan bawa naik ke tingkat atas bumbung hotel untuk menikmati pemandangan panorama Ayutthaya serta Morning Market di sini.
Leave a Reply