Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 12 – Part 1 – Selamat Pagi Nong Khai, Border Crossing & Hello Vientiane!
Nota: Posting ini sangat panjang kerana aku saji dan humbankan semua gambar setiap sudut kawasan sini sampai tahap korang tak perlu datang ke sini.
Ya Allah, dah tahun 2020 pun masih lagi menulis pasal kisah kembara yang sama? Niat gigih nak habiskan juga posting demi posting. Jangan risau, lagi 3-4 posting habislah.
Ok setelah kami menaiki bas 157, bas terus menghala ke Buddha Park iaitu sebuah taman yang penuh dengan ukiran oleh seorang lelaki tempatan bernama Luang Pu. Ia mula dibina pada tahun 1958. Perlu diingatkan, tempat ini bukanlah tempat atas nama sejarah yang berusia ratusan tahun yang lama seperti mana di Ayutthaya.
Perjalanan memakan masa sejauh 30 minit dengan jarak hanya 8km dari Thanaleng Border Crossing.
Ini berkenaan sejarah Buddha Park secara ringkas. Pengasasnya, Luang Pu atau nama sebenarnya Bunleua Sulilat, sewaktu muda merayau-rayau di sebuah hutan dan tiba-tiba terjatuh ke dalam sebuah gua. Di situ, beliau bertemu dengan Keoku, seorang spiritual mentor. Nama Keoku diabadikan sebagai Sala Keoku, merujuk pada nama sebenar Buddha Park ini dalam bahasa tempatan. Psst… sebut pasal spiritual mentor, aku pasti terbayang ala-ala seperti tok guru Kung Fu Panda yang berupa kura-kura. Selesai sahaja berguru dengan Keoku, Sulilat menunjuk minat yang ketara untuk membuat ukiran patung batu merujuk pada pemahaman pengajiannya dahulu dan dimulakan pada tahun 1958. Akibat pengaruh revolusi komunis pada tahun 1975, beliau membawa diri ke Thailand dengan merentasi Sungai Mekong.
Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke tempat asal Buddha Park ini dan memulakan semula kerja mengukir patung batu. Keunikan patung ukirannya adalah kerana ia menggabungkan nilai seni kerohanian bayangan alam ghaib yang wujud dalam dua kepercayaan iaitu Buddhism dan Hinduism. Beliau akhirnya mendapat penghormatan penduduk tempatan dan mendapat gelaran Luang Pu, iaitu gelaran yang sepatutnya diperolehi oleh sami peringkat tinggi. Walaubagaimanapun, ada juga penduduk tempatan yang mengatakan beliau seorang yang sakit mental.
Beberapa tahun sebelum meninggal dunia pada tahun 1996, beliau telah terjatuh dari salah satu binaannya dan berlaku pendarahan dalaman. Akibatnya ia memberi kesan sehingga beliau mati.
Kisah pembinaannya mengingatkan aku tentang kisah Ayah Pin di Terengganu suatu masa dahulu..
Inilah pintu masuk menuju ke dalam Buddha Park.
Tapi sebelum masuk, kami lepak-lepak dahulu di luar bagi meregangkan badan sebab akan masuk ke dalam dengan menanggung sepenuhnya backpack berat sambil berjalan-jalan.
Ternyata di sini memang debu ya amat. Walaupun tanah-tanah tepi jalan utama adanya longgokkan pasir untuk kerja menurap jalan, tapi aku yakin keadaan sekitar Laos ini sememangnya berdebu merata-rata. Di Cambodia juga khabarnya sama sahaja.
Tengoklah debu jalanan di bahagian lain pula dan tanah-tanah di bahagian parking dalaman Buddha Park ini.
Apa-apa hal, ambil dulu gambar kenangan di pintu pagar masuk. Nanti kalau dah penat kemudian baru nak ambil gambar, mesti dah tak larat.
Taman ini dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang.
Ini pula kaunter pembayaran yang terletak di sebelah pintu pagar masuk. Harga masuk bagi setiap pelawat adakah 5000 Kip, lebih kurang RM2.30 mengikut tukaran semasa. Pada pendapat aku, harganya sangat murah dan kanak-kanak di bawah 6 tahun dikecualikan. Bawa kamera? Perlu tambah 4000 Kip. Tambahan RM1.85, apa ada hal! Boleh sangat..
P/s: Kami membayar dalam matawang Baht kerana belum sempat untuk membuat tukaran matawang serta belum mencecah ibu negara Vientiane lagi.
Inilah tiketnya.
Berdekatan pintu masuk, kami tertarik pula dengan pisang bakar (atau salai) di situ.
Selain pisang salai, terdapat juga hasil tempatan seperti kacang tanah, ubi-ubi dan lain-lain.
Jagung bakar pun ada serta limau bali. Hanya pisang bakar sahaja dibeli, itupun empat ketul saja buat merasa dan dikongsi bersama.
Bagi yang membawa anak kecil, di sini juga terdapat hiburan untuk mereka.
Sambil Aqif bermain, kami pun menjamah pisang salai yang dibeli tadi.
Sedikit sejarah tentang tempat ini.
Kawasan tempat berkumpul bagi sebarang acara awam atau upacara keagamaan di sini.
Makan tak habis lagi!
Di sini ada juga kedai-kedai runcit. Kalau datang dari arah Thailand dan belum sempat berlabuh ke hotel, boleh juga berehat-rehat di sini.
Dah tiba untuk masuk ke perkarangan kawasan yang terdapatnya binaan menarik.
Di bahagian kiri laluan utama ke perkarangan ini adanya information center.
Inilah bahagian dalam Buddha Park, besar juga. Di bahagian hujung sana masih banyak lagi binaan dan ukiran tapi dalam bentuk yang kecil.
Binaan berbentuk bulat tu nanti aku akan tunjukkan bahagian dalamnya. Ya, untuk masuk ke dalam sememangnya kena masuk melalui mulut dewa yang ternganga. Bila menatap gambar ni, aku terfikir, entah-entah yang bulat ni adalah perutnya?
Pada zaman dahulu, adanya ilmu kerohanian atau yang lebih tepat lagi ilmu ketuhanan. Lihat jari kanannya. Ini yang digelar “syariat lama” sebelum Muhammad SAW. Juga digelar agama Hanif, agama tauhid atau agama “Yang Maha Satu” (tuhan yang satu sahaja @ monotheism). Dahulu, ajaran-ajaran lama banyak yang boleh dipercayai. Tapi kini tidak lagi apabila patung-patung begini pula disembah sebagai dewa. Walhal mereka adalah pendidik pada zaman dahulu.
Bentuk bulat seperti sprocket motorsikal di tangan kirinya tu ada sejarah dan maksudnya dalam ilmu ketuhanan.
Aku baru nak posing bergambar, Aqif tiba-tiba berlari memanjat patung. Ini adalah patung berbaring Buddha (reclining) yang paling besar pernah aku saksikan.
Dahulu? Berlutut untuk mendapatkan ilmu.
Sekarang? Menyembah sebagai tuhan.
Dunia dah terbalik…………
Patung reclining Buddha dari pandangan hadapan.
Dalam ilmu kerohanian, tapak tangan bukan petanda menolak tawaran, tapi ‘pengisian’. Pernah tengok orang berubat? Begitulah..
Untuk seterusnya, aku sajikan gambar sahaja dan diselang-seli dengan penulisan bagi gambar-gambar terpilih.
Dikatakan tokoh yang mengukir tempat ini mendapat gambaran bayangan alam sebelah sana, agaknya bagaimana bentuk dewa dalam susuk sebenar dengan berkaki ular? Besar pula tu.
Haiwan-haiwan reptilia atau berdarah sejuk seringkali dikaitkan dengan alam sebelah sana. Dalam Islam, ular salah satunya. Dari sisi positif pula, ular adalah wisdom. Dan juga, tanpa ular, manusia tiada peluang dihalau dari syurga dan berkehidupan di duniawi bagi menjalani kehidupan menjadi manusia yang beriman.
Pada mulanya aku beranggapan yang ianya adalah Ouroboros, tapi bukan. Ada satu lagi nama yang aku dah lupa.
Ini kalau ular betul, bergulung, berdiri tegak dan berekor-ekor, mau seram geli sampai ke sudah. Nasib baiklah aku bukan penggeli ular.
Kawasan sini dah sampai ke hujung, iaitu menghampiri Sungai Mekong. Ternampak pula pondok menarik di situ, apa lagi kami pun terjah…
Berehat seketika di sini sambil disajikan pemandangan Sungai Mekong.
Malangnya, di antara padang ke sungai terdapatnya deretan pokok kiambang dan teratai.
Tiada sebarang bayaran untuk menyewa pondok ini. Hanya pesan sahaja apa-apa minuman. Namun, harga minuman sedikit mahal. Biasalah, nak cover sewa pondok yang dikira sebagai harga tersembunyi.
Sementara Tatie berehat di pondok dan menjaga backpack, aku dan Aqif menapak ke hujung padang.
Di bahagian kanan aku juga terdapat banyak lagi pondok. Bagi yang ingin lepak di sini, disarankan memilih pondok yang di kanan tu agar lebih privasi.
Excited nak melihat Sungai Mekong dari dekat.
Aku tak pastilah kiambang ke, kangkung ke atau teratai layu di tasik madu. Yang pasti, setakat sini saja had yang kami boleh berdiri.
Apa yang aku dapati, Sungai Mekong bagi bahagian yang melalui bandar-bandar utama sangat tercemar. Air sungai pun dah berwarna teh tarik.
Pandangan pondok rehat secara keseluruhannya. Nampak tak panas lit-lit bukan main. Inilah punca aku mula nak demam.
Aku kembali ke pondok dan tiba-tiba di sebelah kami ada beberapa orang anak muda yang berpakaian sami.
Mendaki mencari kejayaan…
Aku bukan jenis buat kerja separuh jalan. Tapi yang ini terpaksa separuh jalan, curam sangat.
Kau bayangkan kalau benda ni betul dan susuknya seperti badan yang terbenam dalam tanah tapi mulutnya di permukaan tanah. Yang keliling tu adalah gigi, sekali dia ngappp!
Sambil dia baring, kau pula lalu sebelah dia. Dia pun tanya “bro nak ke mana?”…. “sis ni comel lah”.
Nampak seperti ukiran yang menceritakan tentang kehidupan orang zaman dahulu yang beranak pinak, tapi bukan. Ini kiasan kepada kehidupan antara zaman pra-kehidupan (alastubirabbikum), zaman kehidupan di dunia (apa yang kau jalani) dan zaman selepas kematian (akhirat).
Ini ‘tok syeikh’ fraud. Bukan real ‘tok syeikh’ tapi pura-pura semata-mata keuntungan hasil dari sedekah dari pelancong. Biasanya akan menjerat pelancong berjiwa kecil yang merasa seperti “tak hulur nanti tau-tau rupanya jelmaan malaikat yang menguji pula”.
Rugi pula aku tak posing bergambar macam dia ni.
Ini adalah patung berdiri yang tertinggi di sini. Hampir 4 tingkat.
Aku sebenarnya nak ambil gambar patung-patung ni. Harap jangan pula wanita tu fikir yang aku nak candid gambar dia.
Tibalah masa untuk kami masuk ke dalam, kecuali Tatie yang dah penat nak meneroka. Aku tinggalkan backpack padanya.
Laluan dalamnya nampak seperti berdebu tapi tidak berhabuk.
Inilah bahagian dalamnya, suasana seperti alam arwah!
Kebetulan ada pula seorang pelancong di sini yang aku minta tolong ambilkan gambar kami.
Bertenang, patung tu bukan baru berjalan dan lalu sebelah kami. Ia memang berdiri tegak di situ. Disebabkan aku bawa budak kecil, kami tak jadi naik ke atas kerana rata-rata tangga di sini curam dan agak tinggi.
Aku tak tahu apa simboliknya duduk sambil memegang tengkorak masing-masing.
Apabila melihat pada cota berduri yang dipegangnya, ternyata ini adalah simbolik kepada neraka dan penyeksaan.
Antara gambar paling cantik pernah aku ambil sepanjang kembara Thailand-Laos ini.
Binaan bulat ini secara keseluruhannya mewakili kiasan kepada ‘perut’ iaitu dunia yang berhawa nafsu. Sekali dah terjebak, terpesona dan terpana, akan mengumpul segala jenis dosa.
Ok dah tiba untuk kami beransur dari sini. Betul-betul dah penat.
Menunggu semula bas nombor 14 di sini. Kemudian kami perlu transit menaiki bas yang lain apabila tiba semula di Thanaleng. Eh eh korang, jangan jadi seperti kami. Akibat penat sampai terlupa yang kedudukan untuk menahan bas adalah di seberang jalan (left hand drive), bukan di kedudukan yang kami berdiri ni seperti di Malaysia.
Suspen sahaja, kan? Sebenarnya pemandu bas nombor 14 ni baik hati sampai dia sendiri masuk ke arah bertentangan dan berhenti di hadapan pintu masuk Buddha Park.
Suka pula tu Aqif duduk di bahagian belakang sekali. Bas nombor 14 ini tak ramai orang.
Setelah transit di Thanaleng, kami menaiki pula bas nombor 10 untuk ke bandar Vientiane. Penumpang memang ramai. Aku pun pakat duduk sama di bahagian laluan tengah bas. Yang sempoinya, kerusi kecil yang digunakan untuk memberus baju di tandas juga disediakan!
Ada satu kisah di sini. Akibat ramai dan bersesak, ada dua orang wanita muda Laos yang berpakaian tradisional mempelawa aku duduk bertiga atas kerusi yang hanya boleh diduduk oleh dua orang. Kalau orang bujang, wow ini peluang! Bagi aku, walaupun isteri di sebelah pun mereka tak segan silu ajak duduk bersama. Itulah punca kenapa aku duduk atas kerusi plastik. Jangan ingat aku bagi hint untuk korang yang bujang! Hehe.
Bersambung pula ke entri blog yang menjadi penyebab mood di Laos spoiled habis!
Leave a Reply