Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 8 – Part 7 – Siam Center & Siam Discovery
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Mood penulisan aku agak ke laut sejak akhir-akhir ni, harap korang maklum.
Dari Siam Discovery, adanya jalan keluar menuju ke jejantas yang menghubungkan dengan bangunan Skytrain serta bangunan-bangunan yang lain.
Sama sahaja seperti konsep KLCC – Bukit Bintang Pedestrian Walkway. Bezanya, tiada aircond dan open air. Suhu dalam jejantas ni tidaklah panas walaupun keseluruhannya diperbuat dari besi. Untuk yang membawa anak kecil, tidak perlu risau kerana suhu masih lagi sesuai. Stroller juga sesuai di sini cuma terdapatnya tangga yang tidaklah curam atau banyak anak tangga tapi memerlukan tenaga suami isteri untuk mengangkatnya.
Dari sini, korang boleh juga bergambar dengan kesibukan jalan raya Bangkok. Satu keunikannya yang akan membuatkan korang benar-benar berada di sini ialah teksi yang berwarna pink.
Kiri kanan depan belakang laluan semuanya ada sambungan jejantas. Untuk menuju ke MBK Center, kami menapak kerana jarak lebih kurang 400 meter sahaja. Di setiap hujung jejantas yang bersambung akan terdapat signboard arah yang korang ingin tuju. MBK Center jelas dalam signboard.
Aku lihat pelancong barat di sini bersahaja ke sana ke sini. Tapi pesan aku, kalau boleh jangan bawa beg tangan jenis sandar di bahu seperti wanita ini. Amalkan bukan hanya di Thailand tapi di mana-mana sahaja.
Dah sampai pun. Agak teruja juga kerana sebelum ni aku banyak kali melihat gambar-gambar dari rakan FB yang telah sampai ke sini. Pendek kata, sikit-sikit letak gambar MBK, sikit-sikit MBK.. hehehe.
Sebenarnya aku terasa dalam hati nak bercakap begini….
MBK Center ni ibarat Pudu Raya dan bangunan Kota Raya di KL. Pendatang asing, apabila mereka datang ke KL, ramai-ramai suka kumpul atau menuju ke kawasan Pudu Raya sampaikan dah jadi port utama mereka. Aku yang dah 31 tahun duduk KL pun merasakan yang Pudu Raya telah pun bertukar menjadi kota warga asing.
Jadi, korang yang baca ni mungkin paham maksud aku. Dan di sini, kami telah jadi seumpama pendatang asing yang bertumpu di Pudu Raya apabila berada di MBK ini. Kah kah kah!
Disebabkan jejantas Skytrain agak berselirat, korang kena cari tangga-tangga samada untuk naik atau turun untuk ke sini.
Cuba tengok, kami masih lagi berada di jejantas di luar MBK Center. Nampak tak kotak berwarna biru di bawah tu? Itu ialah pondok polis bagi pelancong. Jika berlaku kejadian yang tidak diingini, bolehlah melaporkan terus pada mereka.
Haa baru jumpa laluan jejantas menuju ke pintu masuk MBK Center. Ini pun aku tak pasti samada pintu utama atau pintu kedua. Untuk pengetahuan korang, pintu masuk juga terdapat berdekatan booth tadi iaitu di tingkat bawah. Bermakna, ada dua laluan masuk ke MBK Center.
Musim Krismas masih lagi belum reda walaupun dah masuk 4 Januari 2017. Rata-rata banyak daerah yang kami singgah terdapatnya simbol Love ni…. “datanglah Thailand dengan penuh kasih sayang.. cewahh”.
Barulah aku tau kenapa MBK Center terkenal. Ianya pusat membeli-belah yang menjual barangan dengan harga yang sederhana. Kondisi dalamannya juga mirip Pertama Complex atau Sungai Wang Plaza zaman 90an dulu dengan melihat pada lantai jubinnya, syiling dan jenis rak yang dipakai.
Ini pula bahagian supermarket. Barangan makanan dan basah dijual bukan di tingkat bawah seperti di Malaysia. Sepatutnya kami singgah di sini untuk membeli makanan seperti buah, maggi, roti dan biskut yang boleh dibawa balik ke hotel. Kalau beli di 7E dah tentu harganya sedikit mahal.
Panggilan perut membuatkan kami terus menuju ke sini iaitu The Fifth food Avenue. Ia digelar The Fifth kerana terletak di tingkat 5.
Dengan berbekalkan carian maklumat dalam google dalam keadaan tergopoh-gapah dan tanpa dirancang, kami terus terjah masuk ke dalam The Fifth ini.
Konon-konon, kami ingat bahawa di sinilah tempat makan terkenal yang selalu disebut-sebut orang Malaysia.
Food court ini terletak dalam kawasan tersendiri. Laluan keluar masuk hanya satu sahaja. Selepas masuk, korang akan diberikan kad RFID ini yang bertindak sebagai resit untuk membuat pembayaran bila keluar nanti.
Banyak juga makanan halal yang dijual di sini terdiri dari timur tengah dan Pakistan serta Bangladesh. Ada juga cashier di sini yang memanggil-manggil kami agar membeli makanan di situ. Kenapa orang tak ramai?
Ini sebabnya…
Pusing punya pusing sampai aku garu kepala. Eh ramai kata makanan di sini murah-murah tapi apahal sepinggan pun harga sampai THB400? Nasib baiklah nafsu makan boleh ditahan, lalu kami pun berambus keluar dari tempat ini dan melalui pintu keluarnya tanpa membayar apa-apa (kad RFID tadi perlu dikembalikan). Korang jangan masuk sini ye, jangan sampai terperangkap seolah-olah macam dah tiada tempat makan lain lagi dalam MBK ni. Nanti aku terangkan di bawah…..
Bergambar sekejap di sini sambil aku tertanya-tanya orang sekeliling. Aku yakin terdapatnya food court yang lain kerana gambaran The Fifth tidak sama seperti yang kawan-kawan aku post dalam FB.
Di belakang Aqif sebenarnya ada lagi laluan menuju ke bahagian lain. Kami terjah juga sambil mencari-cari food court yang dimaksudkan. MBK Center ni sebenarnya besar.
Lepas dapat maklumat…. Haaa inilah dia… inilah yang sebenarnya. Apa lagi, terus menuju naik ke tingkat 6.
MBK Food Island…. sila catit ye korang. Ia terletak di tingkat 6.
Inilah food court dengan harga yang murah wahai kawan-kawan. Barulah nampak ramai orang dan sama seperti mana gambaran yang rakan-rakan FB aku berikan. Orang ramai terdiri dari warga tempatan. Tak nampak pula pelancong barat.
Sepinggan pun masuk akal dengan harga di antara RM4 hingga RM7. Di mana kami beli makanan halal ni? Rujuk dua gambar di atas dan tuju ke arah gerai paling hujung arah kanan. Kami pesan nasi ayam tapi nasinya berwarna kuning. Yang dalam mangkuk tu aku dah lupa sup apa.
Selesai sahaja makan, kami menuju ke luar kawasan MBK. Hari pun dah mula gelap dan ketika ni dah jam 6.30pm. Dekorasi booth di sini cantik-cantik.
Kalau di Hua Hin ada banyak booth yang menjual hiasan wanita, di sini lebih banyak. Tapi harganya pula sedikit mahal.
Suasana di sekitar sini. Kelihatan ramai pelancong asing warga barat termasuk kami juga dari Malaysia.
Ini pula warga asing dari timur tengah. Mungkin beliau berminat nak membeli beg tangan. Seingat aku, beg tangan ni adalah buatan tempatan. Ragam pembeli luar negara, asal nak membeli apa-apa pasti keluarkan calculator di phone. Kalau zaman dulu lagi lawak, siap bawak keluar calculator besar.
Aku pula? Ikut pada nilai yang aku tetapkan dalam kepala, contohnya kalau THB100 bersamaan RM12, jika ada gandaan seperti THB200, aku sekadar darabkan saja RM12 x 2. THB150 pula? RM12 x 1.5. Mudah sahaja. Menjadi pengembara ni korang kena alert kawasan sekeliling. Jangan bagi mata-mata tertentu nampak kesibukan korang. Apa tidaknya, satu tangan pegang anak, satu tangan lagi pegang calculator sibuk mengira. Beg galas di belakang pula kena pickpocket. Tapi Alhamdulillah, kes sebegini tiada di Thailand, hanya di Europe.
Aku rasa kawasan luar yang terdapat banyak booth ini digelar “Market”. Jadi, banyaklah event mengikut tema semasa. Bergambar di sini memang cantik dari segi pencahayaan tapi wajib guna kamera yang dengan sensor yang besar.
Harga barangan yang dijual di sini tidaklah mahal termasuk pakaian. Mungkin barangan perhiasan wanita tadi tu spesifik buatannya seperti silver yang dijual dengan harga agak mahal.
Dah tiada apa nak dilayan di MBK Center, kami pun bergerak menuju ke Chatuchak Park menaiki Skytrain. Untuk pengetahuan korang, Skytrain ialah tren yang berada tinggi di atas tanah manakala MRT pula di bawah tanah. Berbeza pula di KL yang mana MRT berada di atas. Skytrain juga disebut BTS (Bangkok Mass Transit System). BTS (Bangtan Boys) bukannya merujuk pada group Kpop dari Korea.
Untuk ke Skytrain, kami perlu menapak menuju ke laluan asal tadi. Wah, cantik pula dekorasi lampu pada pokok krismas.
Sewaktu lalu di sini, ada pula replika rumah kecil. Aku tak pasti replika rumah siapa atau apa kegunannya.
Kalau korang nak ke MBK Center, haruslah berhenti di stesen National Stadium. Aku tercangak-cangak juga mencari.. manalah dia stadium tapi tak pula jumpa. Bila dah balik ke Malaysia dan menatap Google Maps, barulah nampak ada stadium di belakang MBK Center. Patutlah digelar stesen National Stadium.
Bermula dari gambar di atas, sebenarnya inilah pertama kali kami menggunakan sistem pengangkutan tren dalam bandar di Bangkok.
Mula-mula tak paham juga macam mana nak beli tiket. Mesin dan kaunter tu jumpa. Yang perlu confirmation ialah stop point stesen untuk ke Chatuchak Park. Bukanlah aku tak buat research terlebih dahulu, tapi disebabkan keberadaan kami di Bangkok ni hanyalah seketika. Jadi kami pun pakat-pakat follow mat saleh yang berada di kaunter untuk membeli tiket.
Masa di kaunter, pegawai tiket sangat ramah dan bersungguh-sungguh menerangkan pada aku di mana gate perlu masuk dan stesen mana perlu berhenti iaitu di Mo Chit. Nasib baiklah hanya satu tren sahaja dan tidak perlu transit dengan tren lain.
Sekarang kami berada di kawasan dalam selepas melalui gate.
Berada dalam MRT dari stesen National Stadium ke Mo Chit. Disebabkan Tatie tak larat kerana terpaksa dukung Aqif, aku pun galaslah dua beg. Lantaklah orang sekeliling nak kata apa kalau pelik sangat cara aku. Penuh juga orang pada waktu ni mungkin kerana waktu pejabat dah berakhir.
Untuk naik MRT Bangkok ni tak susah sangat sebab paparan pun menggunakan dua bahasa, Thai dan English.
Semasa menaiki MRT, aku bersembang pula dengan seorang remaja Bangkok ni. Katanya, beliau pernah mengembara secara solo ke central Europe setahun sebelumnya, berdua dengan girlfriend. Entah betul atau dia kencing aku, wallahualam. Terasa macam muda sangat umur baru belasan tahun (bawah 18 ) dah travel merata dengan pasangan.
Kami juga berborak tentang industri pelancongan dan perbandingan di antara pelancongan di Malaysia dan Thailand. Aku akui padanya, industri ini lebih rancak lagi di Thailand.
Jadi kami pun tibalah di stesen Mo Chit dengan penuh keringan walaupun penat demi perjuangan untuk menuju ke Chatuchak Market. Bahagian luar stesen terdapat banyak vandalisma.
Dengan harapan dapatlah melawat Chatuchak Market yang terkenal berwarna-warni seperti dalam gambar di atas dan merupakan pasar terbesar di Asia Tenggara. Penyudahnya… hampeh! Ada sebab kenapa namanya “Chatuchak Weekend Market” kerana ianya dibuat hanya pada malam minggu saja. Puas kami menapak agak jauh dan bertanya pada seorang dua peniaga-peniaga rumah kedai di tepi jalan, katanya hari kami berada di situ, TUTUP!
Rancangan lain pula tiada. Nasib baiklah ada sebuah tasik khas bersebelahan dengan stesen Mo Chit untuk orang berjoging serta taman yang boleh kami lepak seketika.
Tasik di sini tidaklah besar, mencukupi untuk berjoging di siang hari sejauh 5-6 round sehingga mengeluarkan peluh.
Suasana kelihatan seperti jam 10 malam, padahal baru jam 7 malam. Masih ada 5 jam lagi sebelum tengah malam menjelma.
Kami duduk di atas sebuah bukit kecil dan melabuhkan diri selama setengah jam. Lalu aku pun terpandang seorang wanita sedang duduk di bangku rehat. Gaya pakaian seperti kerja pejabat. Mungkin beginilah caranya orang-orang di sini membebaskan stress. Atau mungkin sedang menunggu teman lelaki, aku tak pasti..
Lalu kami pun menapak semula ke stesen Skytrain Mo Chit untuk menaiki tren pulang semula ke Khao San Road.
Di hari pertama di Bangkok, kami masih belum cekap menaiki bas awam. Esok sahajalah kami cuba. Dan jejantas tersebut menuju ke stesen Skytrain (sebut stesen BTS juga boleh jika ingin bertanya arah pada orang tempatan).
Tiba-tiba di bahagian kiri, aku ternampak sebuah lagi stesen yang menuju ke bawah tanah. Wah… di sini ada tiga jenis pengangkutan. Bersambung ke posting seterusnya.
Leave a Reply