Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 8 – Part 9 – Underground Train & Soi Rambuttri
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Tarikh Kembara: 5 Januari 2017
Hari ke: 9
Lokasi: Bangkok
Lebih kurang jam 10.18am, kami baru mulakan langkah untuk keluar dari Hotel Barnana menuju ke sebuah restoran Muslim bernama Aesah Rotdee. Ini adalah hari ke-3 kami di Bangkok dan juga hari ke-9 kami kembara. Aku merasakan tuan punya restorannya bernama Aesah manakala Rotdee mungkin merujuk pada maksud “Roti”. Maklumlah, orang sana mungkin tak biasa dengan roti canai, murtabak dan sebagainya lalu menggelarkannya sebagai roti.
Bermula dari entri ini, aku up semua gambar menggunakan filter dan HDR dari apps Snapseed. Kami tidak melalui jalan besar, sebaliknya melalui tepi-tepi lorong bermula dari jambatan yang menghubungkan jalan besar hotel kami dengan jalan yang menuju ke Khao San Road.
Ini suasana pemandangan lorong-lorong belakang di waktu pagi. Kelihatan di hujung sana terdapatnya sebuah jambatan yang dikhaskan hanya untuk pejalan kaki dan motorsikal. Macam mana aku tahu wujudnya jambatan kecil tu? Alah, mudah saja…. Google Maps saja dan lihat dahulu samada adanya jambatan atau titi untuk melintas. Kalau tidak, rugi sahaja menapak punya jauh dan terpaksa berpatah balik pula.
Aku tak nasihatkan sangat bagi sesiapa yang datang ke sini dan melepak lama-lama. Bau sungainya agak hapak tapi tidaklah sampai termuntah. Di waktu malam pula, hapaknya seperti ‘naik’ dan lebih meloyakan.
Sementara nak menuju ke jambatan kecil, terdapatnya beberapa buah kedai runcit malah ada juga pasar pagi yang menjual barangan basah.
Aku rasa, barangan yang dijual di sini mencukupi untuk masak seharian di rumah. Keadaannya sama sahaja dengan kedai-kedai runcit di Malaysia.
Semua ada, dari barang masakan hingga ke barangan bukan makanan.
Kalau duduk di Bangkok dan menetap lama di apartmen atau rumah yang mempunyai dapur, aku rasa sesuai sangat untuk membeli ikan-ikan di sini. Cuma harapan aku, tolonglah jangan beritahu aku yang ikan-ikan di sini ditangkap dari sungai di sebelahnya, ha ha ha! Harap sangkaan aku salah.
Dah sampai jambatan, tiba masa untuk melintas. Sebenarnya agak panjang juga deretan kedai dan pasar pagi nun di hadapan sana.
Berkemungkinan besar di waktu malam adanya aktiviti pub dan clubbing di kawasan belakang ini dan suasana happening. Kalau nak tahu, kebanyakan pelancong barat dah tahu dah yang kawasan belakang lebih happening dan privasi berbanding kawasan utama seperti di Khao San Road.
Perjalanan kaki kami dari Barnana Hostel ke Restoran Aesah Rotdee. Lebih kurang 600 meter.
Sungai kecil ini berhubung terus dengan Sungai Chao Phraya yang terbesar di Bangkok. Kalau menaiki sampan dan mendayung terus sampai ke hujung sana, di bahagian kirinya itulah Soi Rombuttri yang kami bertandang semalam.
Kalau di Malaysia, lorong-lorong belakang ni sudah tentu penuh dengan peniaga yang menjual mee goreng mamak, roti canai, nasi lemak dan sebagainya. Sekiranya halal, dah lama kami port di sini.
Pemandangan di bahagian lain dari atas jambatan kecil. Boleh pula orang ramai duduk di sini sambil menghayati bau yang semerbak harum lumut?
Gambar burung berwarganegara dan berpassport Thailand yang diambil oleh Tatie.
Mari mari… roti canai tebar…. kari, dal atau sambal? Acah je…
Kami menelusuri lorong-lorong hingga bertemu dengan jalan besar. Sebenarnya, di sini ialah kawasan yang berdekatan dengan Khao San Road yang terletak di bahagian timur. Kalau berjalan masuk ke Khao San Road boleh juga sampai bertemu di sini. Tapi, memandangkan Khao San tiada apa-apa di siang hari, agak muak pula nak melihat keadaannya buat kali yang ke-3. Jadi, pagi ni kita cari perbezaan pula.
Ini ialah Wat Bowonniwetwiharn Ratchaworawiharn. Haa mampuih, berbelit nak menyebut. Akan kami singgah selepas ke Restoran Aesah Rotdee sebentar nanti.
Sepanjang jalan besar, masuk pula ke jalan yang kecil dan bertemu pula dengan bazaar yang menjual pakaian di sini.
Cari punya cari, walaupun pakai Google Maps, barulah jumpa. Cuba lihat papan tanda restoran di bahagian luar, dengan tulisan siamnya lagi. Harapkan ada simbol bulan dan binatang sahaja. Kalau lalu pertama kali, pasti terlepas. Kali ketiga barulah akan patah balik dan cuba-cuba nak risik bahagian dalam. Restoran Aesah Rotdee ni terletak di bahagian dalam. Dari luar memang agak susah nak perasan.
Lokasi tepat Restoran Aesah Rotdee di Bangkok. GPS: 13.759992, 100.498727
Bukan kami sahaja geng-geng ummah Melayu yang makan di sini. Ramai lagi sebenarnya. Aku kira, lebih kurang 3-4 meja terdiri dari kaum kita yang sama. Ok, inilah Restoran Aesah Rotdee.
Walaupun masih jam 10.34 pagi, tapi hidangan berat seperti Nasi Hainan sudah tersedia. Jangan lupa untuk memesan sup buntut sapi (saja je nak menyakat). Nombor 6 tu bunyinya seperti TETELAN. Aku tak pastilah apa benda yang sampai ter-telan tu. Atau mungkin bermaksud ‘tetel’, ke ‘gentel’?
Dan jangan lupa untuk periksa lagi menu yang terdapat di bahagian belakang. Lumpia tu ialah panggilan bagi popia. Di Filipina juga menyebut yang sama, begitu juga di Indonesia. Hanya di Malaysia sahaja menyebut popia atau popiah atau popiahhhhhhhh!
Inilah yang kami pesan. Maaf berbanyak-banyak maaf. Setiap kali hidangan dah sampai, kami terus terjah makan dan terlupa untuk mengambil gambar makanan. Lapar satu hal. Teruja nak merasa masakan orang tempatan pun satu hal. Jadi, menu yang kami pesan ialah nasi hainan ayam, murtabak dan mie bakso.
Sebelum beransur, aku sempat mengambil gambar makanan yang dijual di sini. Nampaknya, makanannya sangat sesuai sebagai sarapan pagi dan bolehlah bertahan lapar untuk 3-4 jam lagi.
Aku pasti itulah puan Aesah, owner restoran ini. Tapi tak nampak pula kelibatnya.
Ayam hainan yang menyelerakan.
Ini pun menyelerakan…. pilihan pelbagai jenis bakso dan isi bagi supnya.
Kesimpulan selepas makan di sini, aku boleh bagi rating di antara 7/10 hingga 8/10. Makanannya sedap-sedap terutama sup bakso jika dimakan panas-panas. Kenapa ada dua rating iaitu 7 atau 8? Kerana ketika tu, kesedapan makanannya bercampur aduk dengan nafsu kami yang tengah lapar. Yelah, orang tengah lapar, semua makanan pun tetiba jadi sedap.
Keluar saja dari restoran Aesah Rotdee, kami menuju pula ke lokasi pilihan pelancong yang terhampir iaitu Wat Bowonniwetwiharn Ratchaworawiharn yang terbelit lidah untuk menyebutnya.
Terjemahan dalam Bahasa Melayu bagi papan tanda di atas:
Tokong ini adalah tokong diRaja pertama yang membawa gelaran Temple of RatchaWorawiharn, yang mana telah dibina pada zaman pemerintahan King Rama III, oleh Somdet Phra Woraratchao Maha Sakdiphollasep pada tahun 1824-1832. Nama asalnya ialah Wat Mai. King Rama III telah menjemput adik bongsunya iaitu Prince Mongkut (yang kemudiannya menjadi King Rama IV) untuk menjadi sami di Wat Rachathiwat bagi memerintah tokong ini, dan kemudiannya menamakan sebagai Wat Bowonniwet Wiharn. Semasa pemerintahan King Rama VI, tokong terdekat ialah Wat Rangsi Sutthawat, dan Wat Bowonniet Wiharn telah digabungkan menjadi hanya satu tokong sahaja pada tahun 1923. Sebuah relik iaitu Phra Ubosot ialah sebuah imej Buddha yang diperbuat dari tembaga dan dinamakan Phra Phuttha Chinnasi dalam bentuk gaya postur tunduk ‘Mara’. Relik tersebut kemudiannya telah dipindahkan dari Wat Phrasri Rattana Mahathat di provinsi Phisanulok. Semasa zaman kesamian King Rama VI, King Rama VII dan King Rama IX juga telah tinggal di sini.
Tatie dah tercegat di pintu masuk. Untuk masuk ke dalam, percuma sahaja.
Lokasi GPS bagi pintu masuk ke dalam Wat.
Wat ini tersenarai dalam Tripadvisor dan merupakan tempat pelancongan yang wajib dilawati, tapi bukanlah penting untuk dilawati bagi yang tak berminat dengan “perbincangan tentang perbezaan agama”.
Masuk sahaja ke dalam Wat, di bahagian kirinya terdapat sebuah patung yang mewakili seseorang dalam gambar di belakangnya. Aku tak pasti siapa. Ada orang sedang bersembahyang di situ, takkan aku nak terjah sampai ke depan untuk menatap gambar. Lagipun agak ramai juga orang di sini yang lalu-lalang. Sebolehnya nak elak dari menjadi ‘center of attraction’. Boleh jadi gambar itu ialah orang yang bertanggungjawab membina tokong ini atau mungkin King Rama yang sebelumnya yang pernah menetap di sini mendalami pengajian kesamian.
Masuk dibenarkan walaupun bertudung dan Islam. Tiada mata-mata yang memandang kami dengan pelik. Cuma, kena tanggalkan kasut dan letakkan di tepi tangga.
Sementara kami menunggu barisan orang yang keluar masuk di pintu hadapan, aku mengambil gambar di bahagian kiri tangga. Seperti mana umat Islam yang mengambil wuduk dahulu sebelum melangkah masuk ke dalam masjid, mereka juga ada adabnya. Tak silap aku, ini bukanlah relik seperti yang aku terjemahkan di atas tadi kerana relik tu dah dipindahkan ke provinsi lain. Tapi batu yang lurus mirip batu nesan ini kelihatan seperti ada sesuatu bagi penganut Buddha. Lagi satu, sampai sekarang aku masih tertanya-tanya. Apakah kegunaan mangkuk emas di bahagian bawah kanan (gambar di atas) tu?
Inilah favourite aku berkenaan Wat. Senibinanya sungguh gah dan penuh dekorasi syiling menurut kreativiti zaman dahulu.
Tak perlu aku ulas apa yang mereka buat berserta gambar Raja Bhumipol yang baru mangkat kerana telah diterangkan dalam entri-entri aku sebelum ini.
Hanya aku dan Aqif sahaja yang masuk sementara Tatie tunggu di bahagian luar. Terlebih dahulu, aku tanggalkan topi sebagai penghormatan memasuki tempat ibadah. Dan dengan berhati-hati dan langkah sopan, terus aku menuju ke bahagian depan semata-mata untuk mengambil gambar dari bahagian hadapan akan wajah dan air muka penduduk Thailand apabila sedang beribadah. Dari wajah, aku dapat melihat apakah harapan manusia pada apa yang mereka kiblatkan. Tak usahlah kita pertikaikan anutan mereka, kalau tidak sampai esok pagi pun tak habis nak berdebat. Apa yang aku nak ketengahkan ialah ‘penyerahan pada kiblat mereka menurut cara mereka’, ini adalah seni wajah dalam dunia nyata…
Tengok… betapa cantik hiasan lampu-lampu dan bunga. Ini adalah seni. Tahukah wahai pembaca, kalau nak melihat hasil kesenian atau hasil sumbangan yang maha ikhlas dan paling terbaik, lihatlah barang-barang serta dalaman di mana-mana tempat ibadah di seluruh dunia.
Ok, ini agak berbeza dari kesemua Wat yang kami dah terjah. Kerana apa? Baiklah, ini adalah andaian aku. Ada dua lapis patung Buddha yang tidak terdapat di mana-mana Wat. Seolah-olah seperti ada lagi Buddha yang lebih tinggi mentadbir Buddha yang berpangkat sedikit rendah. Patung Buddha dibelakang pula mentadbir patung di hadapan secara ‘belakang tabir’. Kenapa aku bersangka demikian? Kerana dua buah patung di kiri dan kanannya hanya menyembah padanya dan bukan pada yang di belakangnya. Ini adalah ilmu hakikat versi Buddha. Dalam masa yang sama, teringat juga aku pada makna ilmu hakikat Melayu yang merujuk pada pentas lakonan wayang kulit. Cuba buat kajian tentang watak tok dalang dan boneka-bonekanya.
Sekali lagi, syiling di mana-mana Wat sangat menawan. Majoriti warna yang dipilih selalunya merah.
Aqif bergambar kenangan di sini. Aku harap, satu masa nanti Aqif dapat memberitahu pada sesiapa tentang kepercayaan lapuk yang sering dimomokkan dalam minda masyarakat iaitu ‘kalau masuk ke tempat ibadah lain, akan kesurupan atau kerasukan atau histeria’. Kalau begitu, duduk sajalah di rumah dan jangan ke luar ke mana-mana. Kita ada tuhan, kita beragama Islam, kenapa perlu takut itu dan ini kalau benar kepercayaan kita dah yakin Islam adalah agama yang benar? Ya, keyakinan yang aku nak highlight di sini.
Psstt…. zaman sekarang punya momokan… Freemason, Illuminati, Segi Tiga, Piramid, Star of David, Hidden Hand, Duit 1 Dollar US Piramid Mata Satu dan macam-macam kemerapuan… Tapi, lupakah kita yang ada hidden hand yang lebih tinggi ialah Allah Yang Maha Perancang. Jangan lupa quote ini, “sebaik-baik manusia sebagai perancang, Allah jualah maha perancang yang terbaik”.
Alhamdulillah, walaupun dah dua tahun entri ini baru dapat disiapkan sejak dari balik dari Thailand dan Laos, kami masih Islam, Tatie pula solat masih tak tinggal seperti biasa dan Aqif pula dah nak habis mengaji Muqaddam. Tak lama lagi akan mengaji Al-Quran pula pada usia penghujung 6 tahun.
Di bahagian belakang dewan utama, terdapatnya lagi stupa yang agak besar tapi pintunya dikunci pula. Namun, tidaklah besar mengalahkan stupa yang kami lawati di Nakhon Pathom.
Berlabuh seketika dengan latar belakang bangunan stupa. Buat masa ni, aku tengah fikirkan ke mana tujuan kami. Memang tidak ada sebarang pengkhususan itinerari. Kami hanya terjah tempat popular di kalangan pelancong dalam lingkungan yang berdekatan.
Ini dikatakan tapak kaki Buddha. Tapi pada pendapat aku ia bukanlah tapak kaki yang sebenar yang seolah-olah menunjukkan Buddha ini seorang gergasi. Mungkin sekadar hasil seni dengan maksud serta tamsilan bagi menerangkan tentang ajar Buddha melalui terjemahan kejadian tubuh badan seperti kaki.
Pada waktu ni, jam baru 11.21 pagi. Masih banyak lagi masa untuk hari ini. Ikuti tapak kaki kami seterusnya ke October Memorial dan Democracy Monument.
Leave a Reply