Bertemu kembali setelah sekian lama blog ni tak dikemaskini. Untuk pengetahuan pembaca, blog ni hanya bercerita tentang travel, travel dan travel semata-mata. Tiada kisah tentang kosmetik kereta, kelab kereta, memancing, hobi bercucuk tanam, pasu bunga dalam rumah, kucing atau pokok menari yang boleh bercakap dan lain-lain.
Kami di KL ni hampir 500 hari PKP sejak dari 18 Mac 2020. Semua gara-gara tempias dari Selangor yang mempunyai kes tertinggi di Malaysia. Sampai naik bosan dan tak tau apa lagi nak update dan menulis.
Mohon maaflah kali ni aku berkongsi lagi gambar-gambar lama. Itu sajalah yang termampu sebab kami rindu nak travel. Adoi! Sejak dari 2017 sehingga 2021, sudah lebih 4 tahun kami tak keluar negara kerana isteri mengandung, kelahiran anak ke-2, proses vaksinasi bayi dan menunggu anak membesar sehinggalah kes pandemik satu dunia yang memenatkan.
Semasa tahun lepas, ura-ura mengatakan tahun 2021 akan pulih dan beransur kembali normal. Namun, dengan mutasi (varian) virus yang entah apa-apa dari Alpha sampai Delta sekarang ni membuatkan aku lemah dan hilang semangat untuk travel, termasuk bercerita tentang bab tu. Tak pastilah bila yang betul-betul dunia ni clear dari virus. Apa yang aku boleh katakan, kes Covid akan wujud sampai bila-bila serupa seperti denggi yang masyarakat sekarang “sudah mampu hidup dengan denggi”. Begitu juga dengan covid. Sebaik sahaja semua rakyat Malaysia dah divaksinkan, tibalah masa kita “hidup dengan covid” dan buat-buat seperti normal sehingga menjadi betul-betul normal. Oh ya, kami suami-isteri dah pun mendapat vaksin dos pertama (Astra Zeneca).
Ya, kami rindu nak travel. Dengan usia aku yang 40an (kecuali isteri yang baru pertengahan 30an), aku tak tahulah sampai bila aku mampu nak pikul beg galas Deuter bersaiz 55L seberat purata 10-14kg. Tema blog ini ialah kembara yang menggunakan beg galas sebagai beg utama. Semakin lama pandemik, semakin aku berusia dan terbuang begitu saja waktu.
Aku tau ramai kawan-kawan aku di media sosial yang sibuk mengumpul duit dan merancang secara senyap-senyap destinasi yang akan dituju sebaik sahaja sempadan negara dibuka. Kebanyakan merancang untuk travel long term kerana dah muak terkurung sebegitu lama baik yang travel solo malah yang berkeluarga pun sama naik.
Jadi, aku hidangkan lagi gambar-gambar yang mungkin pernah dilihat dalam entri blog aku sebelum ni.
















“Kebebasan itu besar ertinya, bersyukurlah bila diri telah bebas”
Leave a Reply