Salam buat para pengunjung Dunia Bulat. Di London, terdapat beberapa buah taman-taman menghijau yang sesuai untuk aktiviti riadah, santai, bersenam, joging dan sebagainya. Sewaktu saya berkunjung ke sana, hanya beberapa buah sahaja yang sempat saya lawat.
Saya akan ceritakan taman-taman yang dikunjungi manakala yang belum dikunjungi, juga akan dilampirkan di bahagian bawah bagi rujukan anda malah saya juga sekiranya berkunjung semula ke sana.
KEMASKINI 17 JUN 2017: Saya telah memasukkan beberapa tempat tumpuan utama di St. James Park. Anda boleh lihat peta di bawah atau klik di bawah (automatik akan masuk dalam Google Maps di handphone anda):
https://drive.google.com/open?id=1xIyOLf3hAuBkxkP2r2w5DQFBvpasl9ph&usp=sharing
St. James Park
Ianya terletak di tengah-tengah kota London iaitu Zone 1 dan bersebelahan dengan Green Park, Buckingham Palace, The Household Cavalry Museum dan Horse Guard Parade. Ini adalah taman yang pertama saya lawati. Kebetulan baru singgah ke British Tourism dan taman ini pula berdekatan lebih kurang 3 minit berjalan kaki. Untuk pengetahuan anda, marker merah dalam peta di atas adalah entri saya ke taman ini.
Taman ini berkeluasan 57 ekar. Namanya diberi sebagai mengenang jasa St. James. Untuk datang ke sini, anda boleh berhenti di beberapa stesen Tube contohnya St. James Park, Green Park, Charing Cross, Westminster atau Victoria. Namun, yang paling hampir adalah stesen Tube St. James Park.
Sejak dari awal menjejakkan kaki ke sini, memang antara syarat utama ialah wajib untuk ke taman-tamannya. Jadi, apabila melihat St. James Park dari kejauhan, perasaan teruja yang telah lama dikumpulkan, akhirnya ‘dilepaskan’ di sini.
Seronok bukan main. Maklumlah setiap kali melihat filem-filem dari barat, ramai yang suka bersantai, beriadah dan berbaring di taman yang menghijau.
Pada ketika ini, iaitu pada bulan Oktober merupakan waktu peralihan dari musim panas ke musim luruh. Pemandangan taman agak berbeza kerana banyak pokok-pokok telah luruh dan bertukar warna kekuningan. Namun, ini tidak menjejaskan keterujaan untuk melihat taman. Jangan lupa, selain pemandangan musim bunga dengan bunga-bunga yang mekar, musim luruh juga hebat kerana ‘kecantikannya’ terserlah dengan daun-daun yang menjadi kuning, ada pula sebahagian pokok yang hanya tinggal ranting-ranting. Pemandangan sebegini susah atau jarang terdapat di negara lain bahkan di negara kita. Pernah sekali saya terserempak dengan barisan pokok yang luruh dan tinggal ranting-ranting berdekatan jalan negeri di antara Ulu Yam dan Kuala Kubu Bharu pada tahun lepas. Apapun, ketika itu ianya cukup memberi satu kesegaran nostalgia sewaktu ke London satu masa dahulu.
Saya meneruskan perjalanan menerusi St. James Park yang dikhaskan untuk laluan pejalan kaki. Saya tak pasti adakah basikal dibenarkan atau tidak. Akan tetapi, pengunjung yang membawa anjing adalah dibenarkan dengan syarat anjing tersebut sah berdaftar dan tertakluk pada tahap kesihatan haiwan yang diperuntukkan pada pemelihara anjing. Dari gambar di atas, kelihatan menara “Horse Guards Parade” dan “The Household Cavalry Museum” dari kejauhan.
Sambil berjalan-jalan, kelihatan pula encik Tupai. Wah bestnya. Tengoklah encik Tupai tu, bentuk ekornya tidak sama dengan tupai di negara kita. Ekornya agak pipih tapi lebat dengan bulu. Untuk pengetahuan anda, tupai-tupai di sini agak jinak. Anda boleh menghampirinya sehingga jarak 1 meter. Cuma, agak susah nak pegang dan tangkap, ia akan lari!
Terdapat satu bahagian di sini yang menanam pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang berasal dari kawasan tropika. Kelihatan seperti daun pisang? Bagaimana pokok pisang boleh tumbuh dalam cuaca dan suhu yang sejuk? Saya berpendapat, mungkin ianya diimport dan ditanam hanya pada musim panas sahaja. Alah, sama seperti Majlis Perbandaran yang menanam bunga-bunga yang tidak sesuai membiak dalam suhu panas di Malaysia dan hanya kekal 2-3 minggu sahaja.
Kelihatan dari jauh “Horse Guards Parade”. Sebenarnya, St. James Park agak luas. Keluasannya jenis memanjang dari timur ke barat. Jadi, sepanjang di sini, saya sempat berjalan di bahagian timurnya sahaja. Nampak ada beberapa orang berjalan di sini? Pakaian tebal menandakan suhu pada peralihan musim mula menyejuk. Untuk pengetahuan anda, langit di London adalah “gloomy” sepanjang masa walaupun tengahari. “Gloomy” ni mirip seperti mendung. Jangan mudah terpedaya dan beranggapan kemungkinan hari nak hujan. Ia hanyalah pemandangan biasa.
Terdapat sebuah tasik di sini. Keluasannya juga dari timur ke barat taman dan meliputi hampir suku dari keluasan taman. Dan lebih menarik lagi, di penghujung tasik di bahagian barat, ianya betul-betul berdekatan dengan istana Queen Elizabeth iaitu Buckingham Palace. Bermakna, dari gambar di atas, nun jauh di hujung tasik tu adalah istana Queen. Tapi tak nampak kerana terselindung di sebalik pokok-pokok yang tinggi.
Pemandangan melihat itik-itik di tasik yang berbentuk ‘pelik’ dan tiada terdapat di Malaysia. Tasik ini boleh dikatakan tidak terurus atau mungkin dibiarkan keadaannya yang penuh dengan semak samun dan lalang agar nampak semulajadi.
Saya turut sama berselfie. Oh ya, rupanya teknik ni dah lama saya amalkan. Hehehe. Jam pada waktu ini lebih kurang 11 pagi.
Di sini, tiada struktur atau arca yang menarik seperti di Green Park dan Hyde Park. Yang ada pun hanyalah cafe yang bernama “Inn The Park”.
Bila anda berada di sini, anda boleh juga masukkan plan untuk ke tempat-tempat berdekatan yang menarik iaitu Buckingham Palace, Green Park, Hyde Park (kalau larat berjalan kerana terlalu maha luas), Westminster Parliament, menara jam Big Ben, Westminster Bridge, London Eye, Piccadilly Circus, Trafalgar Square, The National Gallery, The National Portrait Gallery dan fuhhhhhhhh banyak lagi!!!
Bersambung ke artikel Taman-taman di London Bhg 2 – Green Park.
Leave a Reply