Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #4 Bandar Kuantan dan Restoran “Jiwa Merdeka”. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Selesai makan di Tanjung Lumpur, aku pun berhajatlah nak cari spot seterusnya iaitu Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating. Kononnya nak tengoklah anak-anak penyu sebab tak pernah tengok. Kalau dalam kawasan bandar, aku prefer pakai Waze. So, aku pun masukkan lah sebijik-sebijik nama tempat tu “Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating”. Ok muncul pun.
Dengan confident, aku pun follow arah yang Waze tunjukkan. Masuk dalam bandar Kuantan, kemudian masuk ke pekan kecil, kemudiannya masuk ke belakang kawasan perumahan. Kemudiannya……. Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating tu di belakang rumah orang. Apa belakang rumah orang??? Ya rabbi, kena tipu bulat-bulat dengan Waze! Aku iya-iya ingat betullah sangat lokasinya. Memang aku dah perasan awal-awal lagi, sebab takkan pusat santuari jauh dari laut kan?
Terus mood aku berubah. Kat belakang pula, Tatie dok sengih-sengih kat aku. Aku bukanlah kategori buta pasal GPS tapi inilah kali pertama maklumat Waze salah. Dah berjuta kali pakai sebelum ni sentiasa tepat. Tapi, time nak siapkan blog ni aku check semula, ok lokasi dah dibetulkan oleh pihak Waze, selamat korang…
Kalau korang berhajat ke situ, jangan datang hari Isnin sebab tutup. Mungkin boleh rujuk blog ni untuk maklumat lanjut. Aku teruskan perjalanan ke Masjid Jamek Lama Beserah. Dikatakan ianya sebuah masjid lama, saja nak ziarah untuk menunaikan kewajipan dan berehat-rehat. Lagipun, jalannya juga sehala menuju ke jalan lama yang menghubungkan Kuantan-Kemaman-Dungun-KT.
Berikut adalah peta perjalanan kami ke sana. Masa yang diambil adalah 20 minit dan jaraknya dari Tanjung Lumpur lebih kurang 11.5 km. Jika trafik sesak, berkemungkinan hingga 40 minit lamanya untuk tiba ke destinasi.
Cuaca masih panas dan tidak ada tanda-tanda nak hujan. Tambahan pula angin dari Laut China Selatan yang membawa bahang panas. Aqif pula tak nak tidur dalam kereta. Terpaksa melayan kerenah.
Dalam perjalanan, kami hanya bertanya pada seorang jer tentang lokasinya kerana ketika tu agak keliru. Di situ ada dua masjid. Mulanya ingatkan masjid di bahagian simpang jalan utama lah masjidnya, rupanya tidak. Kena masuk suatu lorong ke dalam kampung dan terdapat sebuah masjid yang di kanannya ada bangsal untuk meletak kenderaan dan adanya aliran sungai di tepinya.
Masjid lama ini agak unik. Di luarnya kelihatan seperti tertutup rapat pintu dan sebagainya.
Sambil-sambil kami menunaikan kewajipan, inilah kerja Aqif. Ke hulu ke hilir menyapu. Habis di sini, kami sambung gerak ke Cherating. Fuh tak henti-henti, betul-betul carpacking.
Seterusnya kami pun bergerak terus ke Cherating melalui jalan lama di tepi-tepi pantai. Sebenarnya, itulah hajat aku. Kiranya, azam aku sekiranya kembali ke Terengganu sejak 20 tahun lamanya, aku akan melalui jalan tepi-tepi pantai yang penuh dengan pemandangan laut walaupun sudah ada lebuhraya yang lebih cepat. Teruja sangat nak tunjuk pada Tatie dan Aqif.
Entah macam mana, aku terjumpa spot lorong menarik ke arah pantai Cherating. Malangnya aku lupa rekod koordinat GPS untuk aku repeat di masa depan dan juga untuk rujukan pembaca. Kemaskini terbaru 20 Jun 2017: Ok dah dapat… koordinat GPSnya ialah “4.097723, 103.385187“. Memang menarik spotnya. Kenderaan boleh dibawa masuk sampai ke hujung pantai.
Kami pun berehat di pantainya yang sudah menghampiri bandar Chukai bagi menikmati pemandangan petang yang masih terik. Sungguh nyaman dan luas mata memandang kerana menghadap Laut China Selatan. Tak seperti di pantai barat semenanjung, Selat Melaka air lautnya terhad dan agak berselut. Walaubagaimanapun, kedua-dua ada kelebihan dan kekurangannya. Pantai sebelah timur dari Johor sampai Kelantan boleh dikatakan 90% bahagiannya tak digalakkan mandi kerana air laut terlalu kuat dan banyak kes kematian kerana lemas. Di pantai barat pula, hampir seluruh pantainya boleh mandi manda, kena pandai pilih lokasi yang terbaik sahaja.
Beginilah keadaan budak-budak kalau dapat main pasir. Orang sekeliling pun dah tak nampak dah…. ๐
Jom kita layan gambar-gambar sekitar pantai Cherating……
Suasana di pantai Cherating memang terbaik. Pantainya teramat bersih. Walaupun jam hampir 6 petang dan cuaca membahang, tapi disebabkan angin yang kuat, langsung tak terasa. Rasanya spot yang kami lepak ni tak banyak resort tapi kalau berjalan sepanjang pantai ke arah utara, memang banyak resort. Orang pun tak ramai di sini. Gian aku dah dilepaskan. Dah lama sangat nak tengok pantai di bahagian Pantai Timur. Sebelum ni memanjang arah pantai barat jer. Kalau aku tak fikir panjang dan hati kering, dah lama hampar tikar dan tidur semalam di sini. Berapa kos Jerantut-Kuantan (ikut harga semasa, kecuali makan/minum)?
- Minyak kereta: Aku rasa start entri ni aku stop kira minyak sebab dah lupa takuk minyak.
- Kuantan ke Beserah – tiada tol.
Ok time’s up! Kami di sini hanya 40 minit jer sebab long way to go. Bersambung ke artikel berikutnya…… Carpacker 2015 – Pantai Timur – #6 Sambung Perjalanan ke Kuala Terengganu dan Batu Burok Beach Resort.
Leave a Reply