Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #21 Kota Lama Duyong. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Hari ni dah masuk hari Sabtu. Pagi-pagi lagi aku dah bangun dari jam 6.00 pagi. Bila aku dah bangun, Aqif pun terbangun sekali. So, mulalah projek melihat matahari terbit. Tatie pula melepak di bilik untuk berkemas kerana hari yang sama ini kami akan terjah pulang ke Kuala Lumpur.
Kami tunggu punya tunggu, matahari tak muncul-muncul. Mungkin kerana awan yang menebal di hujung ufuk.
Pancaran matahari mula kelihatan. Cuaca sangat nyaman, aman damai dan sejuk.
Dalam masa yang sama aku dapati ramai juga belia-belia sedang berkumpul untuk memulakan aktiviti pagi. Mungkin mereka pelajar universiti. Ini mengingatkan aku sewaktu zaman muda di Universiti Putra Malaysia.
Aqif mungkin tak tahu apa aktiviti aku di sini. Yang pasti, dia dah nampak pasir.
Bagi peluang…. aku menunggu lagi.
Matahari masih di balik awan…
Aku saja zoom, kelihatan seperti kapal tangki minyak nun jauh di tengah laut. Agaknya apa yang mereka buat ya? Adakah sedang tidur dan waktu bekerja belum bermula? Jam pun baru 7.02 pagi.
Lokasi bilik kami di tingkat bawah iaitu di kawasan bumbung yang terdapatnya panel solar. Bagi aku, Batu Burok Beach Resort adalah yang terbaik walaupun kemudahannya tak begitu banyak seperti hotel atau resort yang lain. Lain kali kalau aku repeat, wajib ke sini lagi. Cuma yang hampehnya, tiada talian 3G/4G di sini. Buat yang bekerja dalam talian seperti aku, memang agak sukar.
Kumpulan belia tadi dah menapak lebih jauh.
Silakan Aqif, kau cedoklah pasir banyak-banyak. Matahari pula malu nak tayang dirinya.
Hari semakin cerah, kelibatan matahari masih belum nampak.
Oklah… aku surrender. Nasib tak menyebelahi kami pagi tu.
Nampak seperti jerebu tapi bukan. Lebih pada titisan-titisan air laut yang bercampur bersama dengan angin laut.
Pagi-pagi begini memang tiada sesiapa di atas jeti.
Kami bergambar di sekeliling kolam renang di resort ini untuk tatapan korang.
Kolam renangnya kecil sahaja tapi memadai untuk kami. Takkanlah nak harap kolam saiz olimpik atau sukan SEA, kan? Nak melancong… bukannya nak buat sukan air kuak lentang bagai. Kolam di sini terbahagia dua. Satu untuk dewasa dan satu lagi untuk kanak-kanak.
Kelihatan kereta kami parking di situ. Alhamdulillah, parking di sini sangat selamat dan terjaga. Jam 10 pagi kami dah check out lebih awal. Hari ni adalah hari terakhir di bumi Terengganu dan akan menuju ke Kuala Berang yang agak jauh.
Hari terakhir memang sangat sesuai untuk membeli keropok lekor Terengganu kerana ketahanannya tak sampai setengah hari. Kalau beli awal, nanti akan basi dan busuk. Jadi, kami pun menuju semula ke Kampung Losong, iaitu kampung yang popular untuk keropok losong dan lekor.
Ini adalah kedai Kak Yah. Lokasinya GPSnya ialah 5.320015, 103.126099. Di Terengganu, banyak pengusaha menggunakan nama awalan ‘Kak’ dan Kak Yah, Kak Pah dan Kak Jah antara yang popular di sini.
Sebelum ni aku pernah terangkan tentang perbezaan keropok lekor dan losong. Di sini hanya jenis lekor sahaja. Seingat aku, kami pesan hampir 4 bungkus. Maaf, harga dah lupa. Tapi tidaklah mahal.
Aku bajet, mereka semua ni pengunjung dari luar.
Di belakang pula ada banyak bungkusan keropok mentah iaitu keropok jenis hirisan nipis dan sesuai untuk digoreng. Tapi nampak gaya, keropok lekor mentah lebih popular.
Keropok mentah yang telah diuli dan dikumpulkan. Masih mengekalkan bakul sebagai tradisi. Pelancong asing mesti suka!
Bukan aku punya…. banyak tu 8 bungkus.
Ada juga keropok yang dah siap digoreng dan boleh terus dimakan. Kami ada juga pesan, sekadar untuk merasa sepanjang perjalanan ke Kuala Berang.
Banyak lagi keropok yang dijual. Dalam masa yang sama tak pasal-pasal aku nak terkucil. So, aku tanya penjual kat mana tandas. Jawabnya kena menghala ke sebuah rumah, buka pintu pagarnya dan ada tandas di bahagian luar.
Jadi, aku pun ke sana. Mak datok! Besarnya rumah banglo. Aku bajet mungkin inilah rumah banglo pengusaha Keropok Lekor Kak Yah ni. Tengok…. berniaga keropok sahaja pun boleh kaya tau. Tapi kenalah istiqamah, jangan asyik bertukar bisnes sahaja.
Kami pun bersambung perjalanan ke Kuala Berang. Jom ikuti entri berikutnya…. Carpacker 2015 – Pantai Timur – #23 Menuju ke Kuala Berang dan Memorial Batu Bersurat.
Leave a Reply