Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 9 – Part 4 – The Golden Mount (Wat Saket)
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Bermula selepas keluar dari Wat Saket, aku hampir lupa keseluruhan bagaimana kami tiba ke jalan utama ini. Dengan berbekalkan signboard kedai OTANI dalam gambar di atas, aku berjaya jumpa semula tempat kami berhenti untuk mengambil bas awam menuju ke stesen BTS dalam Google Maps dan seterusnya menaiki tren ke Funarium.
Disebabkan lama menunggu di sini, kami tiba-tiba disapa oleh seorang lelaki yang boleh bercakap Melayu, tapi tidaklah fasih. Tapi keadaannya pula seperti seseorang yang ketagihan dadah. Boleh nampak sangat bila merenung matanya dan muka pula kelihatan lalok. Beliau bertanya adakah kami dari Malaysia dan lain-lain lagi. Aku sekadar menjawab ya dan tidaklah melayan sangat. Kalau dilayan, nanti banyak pula informasi tentang kami yang dikoreknya. Dan kalau aku seorang diri tanpa bawa anak dan isteri tu lainlah cerita, aku boleh saja melayan…
Inilah jalan yang kami tempuh dari Wat Saket ke perhentian bas ini.
Kemudian, kami tiba di stesen BTS National Stadium rasanya. Allah lupa…. mohon maaf, aku cuba recall memori sebaik mungkin. Stesen ini sangat popular kerana terletak berdekatan MBK Center, Siam Discovery, Siam Square dan Siam Paragon (boleh juga berhenti di stesen BTS Siam jika ingin sampai betul-betul bersebelahan dengan shopping mall).
Penulisan aku seterusnya ialah ingin menceritakan tentang BTS Line yang ada di Bangkok. Bukan apa, kerana kami sebenarnya banyak melakukan kesilapan dari segi perancangan perjalanan sekitar bandar Bangkok. Contohnya, dari OTANI tadi, sepatutnya kami boleh menapak sahaja sejauh 2.1km sambil bersiar-siar melihat sekitar bandaraya tanpa perlu menunggu bas hampir setengah jam. Bukanlah berjalan berterusan 2.1km, sebaliknya berjalan dan berhenti atau mungkin lepak minum di mana-mana cafe di antara pertengahan jalan.
Dengan menaik bas, kami menuju ke stesen BTS National Stadium. Disebabkan ianya terletak dalam Silom line, jadi kami kena buat pertukaran ke Sukhumvit Line.
Pening-pening pasal line tren di Bangkok, jom kita study tentang beberapa BTS line yang ada terlebih dahulu.
Jalur merah, Airport Rail Link:
- boleh menuju terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
- tren seperti LRT.
- bertembung dengan Sukhumvit line (jalur hijau muda) dan MRT Blue line (jalur biru tua).
- tiada tempat-tempat menarik di sepanjang laluannya.
Jalur hijau muda, Sukhumvit Line:
- jalur popular pelancong.
- tren seperti monorail/LRT.
- boleh naik sehingga ke stesen BTS Chatuchak dan kemudiannya mengambil teksi sekiranya ingin ke Lapangan Antarabangsa Don Mueang (kapal terbang Airasia landing di sini).
- bertembung dengan MRT Blue line (jalur biru tua), Airport Rail Link (jalur merah) dan Silom line (jalur hijau tua).
- laluan merangkumi:
- Chatuchak Weekend Market
- Victory Monument
- MBK Center
- Siam Square
- Siam Paragon
- Siam Discovery
- Hotel-hotel dan bangunan terkemuka Bangkok
- Malah boleh menuju sehingga ke Gulf of Thailand yang berakhir di stesen Kheka!!
Jalur hijau tua, Silom Line:
- jalur popular pelancong.
- tren seperti monorail/LRT.
- bertembung dengan Sukhumvit line (jalur hijau muda) dan MRT Blue line (jalur biru tua).
- laluan merangkumi:
- MBK Center
- Siam Square
- Siam Paragon
- Siam Discovery
- Lumpini Park
- Silom Complex
- Melintasi Sungai Chao Phraya (tidak digalakkan naik sekiranya ingin menuju ke Thon Buri Railway Station yang mengarah ke Kanchanaburi dan Nakhon Pathom kerana agak jauh).
Jalur biru tua, MRT Blue Line:
- jalur popular pelancong.
- jalur yang bermula dari bawah tanah Stesen Hua Lamphong.
- tren jenis bawah tanah.
- bertembung dengan Airport Rail Link (jalur merah).
- laluan merangkumi:
- Stesen Keretapi Hua Lamphong
- Lumpini Park
- Hotel-hotel dan bangunan-bangunan penting di Bangkok
- Queen Sirikit National Convention Center
- Benjakitti Park
- Terminal 21 Bangkok
- Sukhumvit
- Central Plaza Grand Rama IX
- Chatuchak Weekend Market
Untuk ke Funarium, kami menaiki tren di Sukhumvit Line (jalur hijau muda) dari stesen BTS National Stadium dan berhenti di stesen BTS Phrom Phong. Aku dapati, sepanjang laluan jalur hijau muda ini, terdapat banyak shopping mall yang agak class.
Perjalanan dari OTANI, bertukar jalur di National Stadium dan berakhir di stesen BTS Phrom Phong.
Sampai saja di hentian terakhir, kami mula mencari kaedah untuk menuju ke Funarium yang berjarak lebih kurang 1.5km. Teringat pula kaedah membonceng tuktuk seperti Gojek yang telah kami cuba semasa menuju ke stesen keretapi Nakhon Pathom.
Sebaik turun dari jejantas, kami mencari tuktuk motorsikal dengan harga THB50/orang (kanak-kanak percuma). Aku membonceng motorsikal pertama manakala Tatie pula membonceng motorsikal kedua sambil Aqif duduk di tengah-tengah.
Perjalanan menaiki tuktuk motorsikal dari stesen BTS Phrom Phong ke Funarium.
Dah tiba di Funarium. Baiklah, ada apa di sini?
Sebelum kami memulakan kembara Thailand-Laos ini, rasa seperti tidak adil jika kami yang dewasa ini yang enjoy sebagai ‘pelancong’ tapi kanak-kanak seperti Aqif, tidak pula. Beliau perlu hiburan berasingan yang khas bagi kanak-kanak. Dari Hatyai, Prachuap Khiri Khan, Hua Hin dan Kanchanaburi, tidak terdapat tempat yang sesuai bagi kanak-kanak kecuali taman permainan yang biasa.
Oleh kerana kami berada 3 hari di Bangkok, masa begitu banyak dan berkemungkinan besar, pasti ada pusat permainan kanak-kanak di sini. Akhirnya, ternampaklah Funarium dalam Tripadvisor.
Bukan main seronok Aqif. Kita bagi chance dia main sepuasnya. Buat ibubapa seperti kami, bolehlah bawa anak-anak ke sini.
Kami tiba di sini lebih kurang jam 4.00 petang. Jika hendak ke sini, pastikan datang sebelum jam 6.00 petang atau sebelum 7.00 malam (pada hari cuti minggu). Ianya dibuka 365 hari, kecuali ketika ada private function.
Apabila masuk sahaja ke sini, wow besar juga tempatnya. Kami berlegar dahulu di bahagian luar kaunter pembayaran kerana aku nak study dahulu harga tiket masuk dan sebagainya. Mula-mula ingatkan, hanya kanak-kanak sahaja yang perlu dibayar kerana golongan mereka sahaja yang bermain di sini. Tanggapanku salah, dewasa pun perlu membayar tapi harganya separuh dari kanak-kanak sama seperti di Malaysia.
Tiba di hadapan kaunter, ada pula seorang wanita yang bertudung di situ. Dari jarak tiga meter dari kaunter, dia dah mula senyum pada kami. Tapi tidaklah pandai berbahasa Melayu. Beliau sememangnya rakyat tulen Thailand.
Ok.. berapa harganya? Bayaran bagi kanak-kanak mengikut ketinggian manakala dewasa pula THB130/orang (RM15). Bagi Aqif yang ketinggian kurang dari 103cm, bayaran masuk hanya THB220 (RM25).
Nah aku screenshot siap-siap untuk tatapan ibubapa. Atau, untuk ikuti harga terkini, boleh layari laman web Funarium.
Di sini adalah tempat menyimpan kasut untuk semua, kanak-kanak dan dewasa. Untuk bermain di dalam, kanak-kanak perlu memakai stokin dan tidak perlu bagi ibubapa. Beg galas pula boleh dibawa masuk termasuk air dan makanan-makanan lain.
Sebaik masuk sahaja entrance, Aqif terus terjah masuk ke ruangan yang banyak bola-bola (balls pool).
Tengoklah, bukan biasa-biasa punya peralatan yang disediakan di sini. Tapi jangan risau, aku dah periksa semuanya selamat bagi kanak-kanak walaupun sampai ke aras dua yang disediakan jaring sebagai pagar.
Takkan aku pun nak main dalam tempat permainan tu? Jadi aku pun mulakan kaki melangkah untuk meninjau keadaan dan hiasan dalaman Funarium. Apa benda yang besar tergantung di atas syiling? Dah macam lampu chandelier.
Rupa-rupanya botol plastik terpakai air mineral. Lupa pula aku nak ambil gambar di bahagian tengahnya untuk melihat apakah lukisan yang dibuat. Punyalah besar gabungan air botol ni. Dan yang buatkan lebih kreatif, bahagian bawah botol ini bukanlah dicat tapi diisikan air yang berwarna.
Di bahagian atas juga terdapat kedai-kedai yang lain. Tapi semasa di sini, aku meninjau-ninjau sahaja dari bawah dan aku rasa tiada apa sangat di atas sana.
Ini ruangan bermain yang paling Aqif suka iaitu tempat ‘mandi’ bola.
Sangkar tempat bermain dari kejauhan. Kami biarkan sahaja Aqif bermain sendirian dan bergaul dengan rakan-rakan yang baru yang dikenali di sini. Mungkin dia tak sedar yang rakan-rakan baru tu adalah orang Thailand. Go international Aqif! Jangan jadi katak bawah tempurung asyik nak bergaul sesama bangsa sendiri sahaja walhal dunia ni begitu luas. Teringat pula aku ayat Al-Quran yang berbunyi:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” – Al-Hujeraat ayat 13.
Padang bola mini pun ada di sini tapi Aqif tak berminat pula bermain bola. Agaknya ikut seperti ayahnya.
Kemudian Aqif menuju ke bahagian sebelahnya untuk aktiviti panjat-panjat.
Standard anak lelaki bujang kan…. kalau nak bergaul mesti dengan awek-awek.
Dan kembali semula untuk bermain balls pool dan mandi bola di sini.
Eh dia berlari ke tempat lain pula.. biasalah budak-budak. Kali ni nak mencuba naik basikal roda tiga sambil diselubungi bayang-bayang bapaknya di belakang tu.
Sewaan basikal di sini percuma. Hanya perlu menunggu giliran di pintu pagarnya kerana terdapat had bagi jumlah kanak-kanak yang boleh mengayuh dalam litarnya.
Dengan pantas berlari semula ke sini bila Tatie mengatakan yang bola telah mula dikumpulkan penuh di bahagian atas. Kemasukan bola-bola ke dalam lubang ini yang menyedut sehingga berkumpul di bahagian atas diselesaikan oleh abang yang bekerja di sini.
Tuh dia bola dah berat.. hanya menunggu masa untuk mandi bola…
Seronoknya mandi bola….
Selesai 1.5 jam di tempat bola, kami berganjak menuju ke bahagian lain di dalam Funarium. Oh ya, aku teringin nak tunjukkan tandas bagi kanak-kanak yang dibuat khas untuk golongan mereka dan nampak comel.
Sinki pun kecil khas untuk budak-budak. Kelakar pula aku menengoknya.
Di sebelah tandas, terdapatnya ruangan bagi kanak-kanak berusia 3 tahun dan ke bawah.
Ruangannya agak besar.
Sekadar mencuba, kami pun terjah ke sini. Bagi ibubapa yang ada anak bawah usia 1 tahun, boleh menggunakan baby walker yang disediakan percuma.
Kemudahan di sini tidaklah setinggi tempat bermain bola pada awalnya tadi.
Di sini juga ada balls pool. Balls pool yang terdapat di bahagian lain tadi sesuai bagi kanak-kanak yang besar. Di sini pula bagi yang lebih kecil dan tidak terlalu lasak.
Ada juga khemah dengan lego gergasi di sini.
Dengan begitu tekun sekali cuba memasang lego gergasi.
Habis semua permainan telah dicuba oleh Aqif!
Aku berdiri dari lokasi tempat menyimpan kasut tadi. Jadi, bolehlah nampak dewan makan di sini. Tandas kanak-kanak tadi dan juga tempat permainan bagi yang usia 3 tahun ke bawah terletak di bahagian hujung sebelah kanan.
Kami tidak mencuba makanan di sini. Sekadar pejam mata kerana awal-awal dah tahu yang ianya tidak halal.
Jam hampir 6.00 petang dan kami pun mula melangkah keluar dari sini. Secara keseluruhannya, memang berpuas hati di sini kerana dapat memberi hiburan yang terbaik buat anak walaupun tak sampai 2 jam. Untuk perjalanan pulang dan akibat tiada chartered car, kami menapak ke jalan besar bagi mencari tuktuk motorsikal menuju semula ke stesen BTS Phrom Phong.
Leave a Reply