Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 4 – Part 7 – Cicada Night Market di Hua Hin. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Sepatutnya, Wat Amparam atau dikenali dengan nama Wat Hua Hin, kami bercadang untuk terjah pada esok harinya. Tapi memandangkan pada ketika balik dari Cicada, aku tertanya-tanya di manakah port yang biasa penduduk Hua Hin menyambut tahun baru.
Puas kami memusing sekitar Hua Hin dari Night Market hingga ke Clock Tower tapi tiada. Teringin juga nak melihat pertunjukan mercun dan bunga api versi Thailand. Semasa di Clock Tower, kami terdengar chanting atau mentera dari sami-sami Buddha di dalam Wat Amparam. Lokasinya bersebelahan Clock Tower sahaja. Aku fikir, alang-alang tu kami terjahlah malam ini juga.
Lokasi GPS Wat Amparan: 12.570091, 99.957434
Sampai sahaja pada pintu gerbangnya, aku pun bertanyalah pada dua orang lelaki dan wanita yang berada di kiri pintu samada kami boleh masuk atau tidak. Katanya boleh dan syorkan kami membeli pakej ‘memohon doa dan restu’. Aku mulanya tak paham apa bendanya tu. Rupa-rupanya, derma bagi Wat Amparan yang dipakejkan sekali dengan bacaan doa dan restu dari tok sami mengikut apa yang kita hajat. Sebagai orang Islam takkan aku nak beli pula kan? Jadi, aku pun cakap yang kami hanya nak masuk bergambar sahaja. Green light….
Lepas dah masuk barulah nampak punyalah ramai penganut Buddha di sini. Kami agak kekok tambahan pula ramai juga yang memandang. Dan aku tengok di dalam ni memang tiada seorang pun orang Islam walaupun sebagai pelancong.
Rasanya hampir 1000 lebih kerusi di sini dan dihujung sana terletaknya sebuah pentas. Kami pun menapak ke arah kanan menuju ke Wat utama.
Di sini terdapatnya ruangan khas bagi yang ingin berdoa untuk sebarang hajat yang diingini. Kami cuba mendekati berdekatan dengan sudut yang terdapat ramai orang berkumpul.
Terdapat sebuah meja yang khas diletakkan dulang yang bentuknya kelihatan sama dengan dulang tembaga yang digunakan sewaktu upacara bertunang dan akad nikah orang Melayu di Malaysia. Di atas dulang ni terdapat pula bunga-bunga kertas yang disusun. Mungkin setiap bunga atau warnanya ada maksud tersendiri dan simbolik.
Akak yang usha aku ni sebenarnya dari awal aku perhatikan. Sebenarnya aku agak sedih melihat raut wajah mukanya seperti mengharapkan sesuatu atau harapan agar doakan dimakbulkan. Mungkin beliau menghadapi masalah dalam hidupnya. Walaupun berbeza agama, tapi atas dasar kemanusiaan dalam hati, aku juga berdoa agar beliau memperoleh apa yang dihajatkan.
Kemudian, bunga-bunga kertas tersebut ‘dihanyutkan’ di dalam kolam buatan yang disediakan. Konsep yang sama seperti melepaskan tanglung ke udara, melepaskan abu mayat ke dalam air, menghanyutkan mayat di atas sampan dan sebagainya. Mereka percaya bahawa seluruh alam ini ada hubungkait dengan roh mereka sendiri.
Aku melihat ada juga orang barat di sini yang memohon doa dan restu. Mungkin mereka telah bertukar ke agama Buddha hasil dari perkahwinan atau mungkin juga kerana minat mereka terhadap agama tersebut.
Aku di bahagian tepi ruangan khas tadi.
Di sebelah ruangan khas tadi, terdapatnya Wat utama di sini yang menempatkan patung-patung Buddha yang utama.
‘Ceramah’ penganut Buddha dari sisi lain pula.
Bergambar di hadapan pintu masuk Wat utama. Aku rasa inilah ‘Wat Amparam’ yang sebenar.
Semasa Tatie sedang mengambil gambar aku di hadapan Wat utama, aku terpandang pula seorang wanita tua yang sedang menjaga sebuah troli yang mirip seperti sangkar. Di dalamnya terdapat seorang lelaki yang aku rasa berusia dalam 20an. Dua kali imbas, barulah aku tahu kenapa diletakkan dalam ‘sangkar’. Rupanya anak wanita ini seorang OKU. Jadi, disebabkan tidak mahu anaknya merayap entah ke mana, lalu dikurungnya di dalam ini. Sambil tu, wanita ini juga mengumpul derma dengan menjual kertas ramalan nasib. Tapi terdetik pula dalam hati aku, “kasihan pula budak ni…”
Tanpa berlengah lagi, kami pun naik ke atas Wat utama. Kelihatan satu keluarga sedang bersembahyang di sini. Dari anak kecil sampailah yang ke tua.
Di bahagian kiri pintu masuk, terdapat colok dan bunga dijual di sini. Harganya mungkin tak tetap dan dikira sebagai ‘sedekah’ jika lebih.
Di sebelah kanan pintu pula, juga menjual barangan yang sama.
Sebelum masuk lebih dalam, aku ada juga bertanya pada penjual di pintu kiri samada boleh masuk bergambar atau tidak. Katanya boleh sahaja. Nak tanya di pintu kanan, ramai pula orang.
Di bahagian kanan Wat utama.
Cantiknya dekorasi dalaman bumbungnya.
Sebelum ke sini, aku ada terbaca bahawa terdapat sebuah patung sami Buddha yang benar-benar diperbuat dari emas tulin. Jadi, aku pun patah balik pada penjual bunga di kiri pintu dan bertanya sekali lagi. Katanya, inilah patung emas yang dimaksudkan. Dan katanya lagi, lain-lain patung di dalam Wat ni tidak diperbuat dari emas. Hanya diwarnakan emas sahaja.
Aku rasa inilah ‘sami Hua Hin’ sehingga Wat ini digelar juga sebagai Wat Hua Hin. Kalau dicuri penyangak, entah berapa jutalah ye?
Aku sebenarnya tidak tahu apa fungsi setiap patung sami di sini. Aku berpendapat, mungkin setiap patung ada tujuan dan fungsi tersendiri. Contohnya, patung A untuk memohon kekayaan, patung B untuk memohon perlindungan, patung C untuk memohon jodoh dan sebagainya. Patung yang di tengah pula adalah ‘Buddha yang asal’ manakala patung-patung yang lain pula adalah jelmaan dari Buddha yang asal tapi berbeza jasad. Dalam istilah lain digelar ‘reincarnation’.
Apabila jasad seseorang yang sepanjang hidupnya (jasadnya) didatangi rohani Buddha, beliau akan digelar sami, guru, ‘dalai lama’ dan sebagainya. Disebabkan bukan calang-calang orang yang boleh ‘dihampiri’ rohani Buddha, maka setiap jasad mereka juga dihormati dan dipuja (atau menjadi tempat rujukan) dengan diperbuat menjadi patung setelah meninggal dunia. Bagi mereka, bukan senang seseorang mendapat penghormati ‘disentuh’ rohani Buddha. Maka, sami yang telah dipatungkan inilah yang kita dapat lihat seperti dalam gambar di atas dengan muka seperti manusia biasa manakala yang di tengah (Buddha yang original) pula berbentuk muka yang lain atau agak berbeza sekali dengan muka manusia biasa.
Ada juga versi lain yang mengatakan mayat tok sami yang telah meninggal diawetkan dan disalut dengan simen lalu dijadikan patung seperti di tokong di Koh Samui. Lain pendapat pula mengatakan di dalam patung ini adanya abu mayat tok sami tersebut.
‘Sami Hua Hin’ dari jarak lebih dekat lagi. Aku nak jer terjah di bahagian belakang tapi risau dilihat seperti kurang ajar pula.
Video sekitar Wat Amparam.
Selesai sahaja, kami pun keluar dari Wat Amparam. Aku masih tak puas hati di manakah tempat berkumpul bagi menyambut tahun baru 2017. Lalu, aku pun tanya pada seorang lelaki barat yang memakai baju berwarna putih di dalam gambar di atas.
Punyalah sombong aku cakap korang!
Mula-mula tu aku tanya “hi… do you know the place where local people celebrate new year?”.
Jawabnya, “why not you ask the police over there?” sambil mencekak pinggang dan berkerut dahi.
Ada benar apa yang dikatakan kerana orang tempatan lebih tahu. Untuk pengetahuan korang, kalau aku bertanya juga pada polis di situ, bermakna dah dua kali aku bertanya pada polis Hua Hin yang akhirnya di balas dengan geleng kepala, tak paham bahasa Inggeris dan sebagainya. Sebab itulah aku bertanya pada orang barat tersebut. Manalah tahu kot-kot pihak hotel mereka ada memaklumkan.
Si lelaki tu diam sahaja tapi disambung pula oleh anaknya. Katanya dia pun tak tahu. So, aku pun balaslah dengan kiasan yang patut. Puas hati.
Penyudahnya kami sekadar bergambar sahaja di hadapan Hua Hin Clock Tower ini. Tengoklah jam di atas tu, lagi 10 minit nak masuk tahun baru. Tapi kami terus balik juga sebab dah terlalu penat. Maklumlah dari menapak panjat bukit di Prachuap Khiri Khan sampailah ke malam langsung tak berehat.
Dan menapak kembali ke Hotel Tong Mee. Eh eh, ada signboard Hua Hin la. Korang kalau terjumpa sebegini jangan lepaskan peluang. Psst… kat Malaysia ada tak konsep sebegini? Kalau tiada, tolonglah adakan.
Sewaktu menapak pulang, barulah aku tersedar yang selama ni sangkaan aku negara bukan Islam kebiasaaan rakyatnya kaki enjoy tak ingat dunia, rupa-rupanya di malam tahun baru yang biasa disambut dengan ‘happy hour’, pertunjukan bunga api dan mercun, majlis-majlis besar di dataran, KLCC dan sebagainya…. tapi apabila ke Wat Amparam, barulah aku sedar rakyat Thailand menyambut tahun baru dengan bersembahyang, berdoa dan memohon kebaikan sepanjang tahun baru 2017 ini. Ya, benar-benar ‘Sesuatu Yang Tidak Ku Jangka Di Hua Hin’. Terasa insaf juga di situ.
Wah punyalah penat seharian. Lepas ni kami nak berehat dan beradu. Esoknya hari ke-5 di bumi Thailand, agaknya ke mana kami nanti? Bersambung ke entri seterusnya Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 1 – Review Hotel Tong Mee dan Hua Hin Railway Station.
Leave a Reply