Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 1 – Review Hotel Tong Mee dan Hua Hin Railway Station. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Hampir tengahari juga kami selesai menjamu selera di warung berhadapan stesen keretapi Hua Hin. Kami menapak semula ke jalan utama yang mana terletaknya pusat tumpuan bandar Hua Hin. Cuaca agak panas juga ketika ini tapi tidaklah sampai berpeluh.
Sekali lagi kami lalu bersebelahan dengan tugu Pone Kingpeth. Kali ni sebab hari siang dan cerah, nampaklah muka dia.
Beginilah suasana biasa trafik jam di Bandar Hua Hin. Mulanya aku ingat mungkin sebab cuti Tahun Baru, tapi bukan. Kemudian kami bertiga melintas ke seberang jalan untuk ke….
Ke Wat Thao Takiab….
Malangnya salah sasaran @ destinasi… kejap lagi aku cerita..
Selepas melintas jalan, kami tahan tuktuk yang datang. Aku pula dalam kepala ingat-ingat lupa dan keliru pada nama antara “Wat Hua Mongkol” dan “Wat Khao Takiab”. Dah jadi tunggang terbalik. So, aku tanya pada pemandu tuktuk, “Takiab?” Dia geleng kepala cakap “Mongkol”.
Ditambah dengan keadaan keliru, aku yer-yer ingat “Mongkol” tu sama tempat dengan “Takiab”. Apa lagi setuju dan naiklah.
Ambik kau.. sekali perjalanan makan masa lebih setengah jam dan aku anggarkan hampir 25km! Padahal “Takiab” yang sebenar kurang dari 8km. Hah… sampai terlentok Aqif.
Dari satu pekan ke satu pekan tuktuk berhenti. Aku layan je lah. Dalam hati, “lantaklah, ke mana kaki ni bawa aku ingat sajalah pasrah, hahaha”.
Tuh dia berdiri sama tinggi dengan seorang lelaki barat ni. Nampak tak tinggi aku? Sebab itulah aku tak masuk berdiri bahagian dalam, kalau tidak terpaksa tundukkan kepala sampai bengkok sepanjang perjalanan. So, berdiri atas tangga tuktuk ni lebih rendah dan tiada bumbung kepala tapi penatlah tangan bergantung atas palang bumbung.
Lokasi GPS Wat Huay Mongkol: 12.552537, 99.824396
Entah ladang tebu manalah dibawanya kami. Aku tak sempat nak belek dah GPS dan itinerari yang ada sebab sedang berdiri. Kemudian baru aku teringat…
“Ohhh…. Mongkol ni ialah wat yang ada patung besar macam gergasi tu”.
Ok bagus juga tapi sebenarnya Wat Mongkol dah jadi priority terakhir kami memandangkan lokasinya pun pendalaman dan jauh.
Seronok sangat sebab saujana mata memandang walaupun salah sasaran. Cuaca ketika ni agak terik tapi tak berpeluh sebab anginnya menderu laju dan sejuk. Tuh nampak deretan bukit-bukau dan gunung? Tak ada beza pun landskap di sini dengan di Switzerland. Hanya gantikan kehijauan dengan keputihan salji di pergunungan ditambah dengan suhu sejuk dan langit yang membiru.
Ladang tebu secara lebih close up.
Lagi deretan gunung dan bukit.
Bila tuktuk dah menghampiri Wat Hua Mongkol, trafik mula sesak. Dapatlah aku melihat gerai-gerai buah di sini dari dalam.
Kenderaan yang membawa kami masuk ke bahagian dalam dan menurunkan betul-betul di bahagian tengah wat. Sambil kami turun, dah siap ramai beratur di luar untuk naik pula. Nasib baiklah orang Thailand ada tabiat pandai beratur dan mengawal sabar.
Masuk adalah PERCUMA.
Di Wat ni, suasana macam pesta. Terlalu ramai orang dan padat terutama di kawasan patung Hua Mongkol. Seperti yang aku cerita dalam entri blog yang lepas, mereka menyambut Tahun Baru dengan beribadah.
Comel pula ‘mini sami’ dalam gambar di atas.
Suka sangat nak disuruh ambil gambar di depan air terjun buatan.
Dari air terjun, kami menapak ke bahagian lebih dalam.
Sepanjang laluan, ada juga dijual cenderamata dan beberapa patung mini buddha. Sebagai seorang Islam, kita tengok sajalah…
Tuh dia! Dari jauh ku nampak gajah kayu. Kayu wehhh…. ingat senang ke nak bikin ukiran? So, aku anggap ia sebagai unik.
Sebelum terjah ke arah orang ramai, kami bergambar dulu. Inilah Hua Mongkol.
Sejarah Hua Mongkol:
Ia terkenal sebagai sebuah patung yang sangat besar yang bernama Luang Phor Thuad. Patung ini setinggi 12 meter dan selebar 10 meter dan diletakkan di aas tempat yang tinggi seperti bukit. Akibat terlalu besar, ianya boleh dilihat dari jauh jika anda memanjat pokok yang tinggi.
Tempat ini sangat terkenal oleh penduduk Thailand yang datang untuk penyembahan dan penghormatan terhadap Luang Phor Thuad lalu meminta dan memohon hajat, nasib yang baik, kesihatan, kemewahan dan kebahagiaan.
Terdapat dua buah ukiran kayu berbentuk gajah. Penduduk tempatan akan berpusing mengelilingi bawah perut gajah sambil menyebut dan memohon hajat. Kompleks ini juga terdapat tokong Buddha dan di dalamnya terdapat patung Raja Taksin dengan kudanya dan tempat menjual tangkal Buddha.
Di sekitar kawasan ini terdapat juga tasik, air terjun, aliran sungai, jambatan dan beberapa deretan kedai. Makanan Thai juga boleh diperolehi di sini.
Luang Phor Thuad (yang juga dieja sebagai Luang Phor Thuat), hidup 400 tahun yang lalu di selatan Thailand. Beliau ibarat seorang wali kerana dikatakan mempunyai pelbagai keramat. Dikatakan, beliau pernah menukar air laut yang masin menjadi air biasa yang segar dan boleh diminum. Tangkal yang mempunyai gambar beliau dikatakan dapat memberi perlindungan terutama bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan kemalangan jalan raya. Tangkal yang lebih lama dianggap lebih berkuasa dan tidak ternilai harganya dan dijual di kedai yang terdapat di sini.
Jom tengok apa yang mereka buat di bawah gajah tu?
Ramai pula dekat gajah tu. Kami bergambar seketika di tangga sini.
Ok, datang rombongan baru. Majoriti mereka kelihatan memakai baju hitam. Apa yang aku nampak, mereka seolah-olah seperti ‘tawaf’ mengelilingi gajah kayu ini. Tapi ‘tawaf’ mereka mengikut pusingan jam dari hadapan kemudian memasuki ke bawah perut gajah.
Nampak perut gajah di bahagian belakang tu? Aku close up…
Inilah dia perut gajah tu. Aku pasti perutnya sengaja dilubangkan tu mesti ada sebab secara kiasan, hakikat atau metafora.
Memang bapak besar patung ni.
Lepas aku menapak naik tangganya, lagilah bapak besar jadinya….
Aktiviti di bahagian bawah patung besar.
Inilah pertama kali aku melihat ribuan colok di sini. Di depan aku ni, iaitu bahagian tengah baru sedikit sahaja. Nun di bahagian kiri dan kanan lagilah banyak.
Sebenarnya aku seorang sahaja yang naik ke atas ni. Tatie pula rasa malas sebab terlalu padat dengan manusia. Ditambah pula cuti umum.
Eh aku nampak patung yang agak unik, iaitu disalut kertas emas dan kelihatan mengangkat sebatang kayu yang diletakkan di bahunya. Jangan tanya, aku memang tak tahu tentang patung ni.
Lagi suasana aktiviti colok.
Aku mendekati patung emas tadi. Ramailah yang menempel kertas-kertas emas di sini.
Tinjau di bahagian belakang pula… Cuba tengok dekat-dekat… nampak ada yang lekatkan duit syiling.
Ada pula tempat membakar colok. So, berebut-rebut juga orang di sini kerana setiap seorang boleh membakar banyak colok.
Aku menyelinap ke bahagian tepi pula. Di sini pun ada juga patung disalut kertas emas.
Wat Hua Mongkol dari tepi. Kalau korang ke sini semata-mata nak buat kaji dan lawatan macam aku, boleh sahaja tinjau-tinjau dan ‘get along’ bersempit-sempit dengan orang di sini. Mereka tak kisah pun.
Ini pula gajah di bahagian kanan (jika menghadap patung Hua Mongkol). Tapi aku dapati, gajah yang di sebelah kiri lebih popular.
Di bahagian dataran ni dah tak ramai macam tadi. Entah kenapa, mungkin mereka ada waktu tertentu untuk mulakan upacara dan selesai.
Kepadatan orang awam di bahagian atas.
Oklah gambar last aku kenang-kenangan, korang mesti bosan kan.
Kemudian, sebelum bergerak pulang ke Hua Hin, kami berkumpul semula di sebuah wat lain yang terletak di bahagian pintu masuk Wat Hua Mongkol.
Aqif pula sibuk bermain kereta mainan yang dibeli di Hua Hin Night Market semalam.
Choi!! Ada lagi gambar Hua Mongkol. Maaflah korang sebab tempat ni aku cuma datang sekali sahaja dan mungkin takkan repeat lagi di masa hadapan. Mana ada tempat lain yang ada patung seakan ‘real’ sebegini kan?
Video di sekitar Wat Hua Mongkol.
Terjah kembali ke pintu masuk menuju ke jalan besar. Kali ni baru rasa bahang panas matahari. Jam pun dah 2.19pm.
Acah-acah macam expert dan tahu kat mana tempat untuk menahan tuktuk. Ini pun saja cuba nasib. Memang aku sendiri pun tak pasti boleh atau tidak menunggu di sini. Kata Tatie, sepatutnya kita tunggu di bahagian dalam tempat kami diturunkan mula-mula tadi.
Betul juga, tapi aku dah tak larat nak melihat lautan manusia.
Akhirnya kami dapat juga naik tuktuk walaupun aku kena berdiri sekali lagi. Tapi nasib baik Tatie dan Aqif dapat tempat duduk. Lupa aku nak beritahu, tambang tuktuk sehala ialah THB60/orang. Kanak-kanak dikecualikan.
Next? Kami menghala ke Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 3 – Wat Khao Takiab. This time for real!
Leave a Reply