Bersambung dari artikel Taman-taman di London Bhg 2 – Green Park. Hyde Park merupakan taman yang paling digemari dan dilawati oleh ramai pelancong. Kenapa ye? Ini adalah kerana Hyde Park satu-satunya taman yang mempunyai istana lama dan juga merupakan taman kegemaran mendiang Puteri Diana untuk bersenam dan beriadah. Terdapat juga memorial khas bagi beliau. Di sini banyak terdapat monumen, struktur dan arca jika dibandingkan dengan taman-taman yang lain. Taman ini adalah yang terbesar di London dan merupakan salah satu “Royal Parks of London”.
Marker merah dalam peta di atas adalah entri saya masuk ke Hyde Park. Perjalanan ke Hyde Park ini sebenarnya bermula dari lawatan ke Buckingham Palace dan Green Park. Ianya terletak tidak jauh di antara satu sama lain.
KEMASKINI 17 JUN 2017: Saya telah memasukkan peta Google Maps bagi keseluruhan senarai di bawah untuk rujukan anda atau klik di sini (automatik akan masuk dalam Google Maps dalam handphone anda):
https://drive.google.com/open?id=1DaaRwOSb1sXJ8SKBA_A5z0tpkl-dezAi&usp=sharing
Bergambar di pintu masuk gerbang bahagian timur Hyde Park sebelum masuk ke dalam.
Welcome to Hyde Park!
Setelah memasuki pintu gerbang, di bahagian kiri terdapat sebuah pondok pengawal dan mesra pelancong. Mereka ada menyediakan peta yang diberikan percuma. Dari pengamatan saya, lebih baik masuk melalui pintu ini yang dikenali sebagai pintu laluan “Hyde Park Corner” kerana perjalanan masuk ke dalam akan dapat meliputi sebahagian besar taman sehingga berakhir di The Round Pond (tasik) dan Kensington Garden. Untuk artikel Hyde Park ini dan disebabkan kawasannya besar, saya akan jadikan ianya artikel khas iaitu dipecahkan kepada tiga atau empat buah artikel sambungan.
Berikut adalah kawasan menarik yang terdapat dalam Hyde Park sekiranya masuk dari arah pintu Hyde Park Corner:
1. Achilles Statue
Setinggi 36 kaki (jika dikira dari tapak lantainya), juga dikenali sebagai Wellington Monument dan dibina oleh Richard Westmacott. Bahan binaannya adalah dari meriam-meriam yang dirampas dari pihak musuh. Achilles merupakan salah seorang watak dewa dalam mitos Greek. Pada batu tapaknya tertulis:
To Arthur Duke of Wellington
and his brave companions in arms
this statue of Achilles
cast from cannon taken in the victories
of Salamanca, Vittoria, Toulouse, and Waterloo
is inscribed
by their country women
Placed on this spot
on the XVIII day of June MDCCCXXII
by command of
His Majesty George IIII.
2. Holocaust Memorial Garden
Saya berani jamin tidak ramai orang Islam yang berminat kerana ianya melibatkan peristiwa bangsa Yahudi. Tapi tidak mengapa, saya catatkan juga dalam blog ini. Ianya merupakan monumen Yahudi yang pertama dibina di Great Britain bagi memperingati peristiwa Holocaust. Sejak dibina pada tahun 1983, hampir setiap tahun upacara memperingati dilaksanakan di sini oleh segolongan Yahudi tempatan.
3. Hyde Park Bandstand (Terdapat dua, satu di bahagian timur dan satu lagi di bahagian barat Hyde Park)
Bandstand merupakan tempat bagi penggiat muzik yang ingin mengadakan konsert kecil-kecilan di kawasan ini. Jika tidak digunapakai, ianya boleh dijadikan sebagai tapak untuk bersantai. Di Hyde Park, terdapat dua buah Bandstand, sebuah di timur dan sebuah lagi di bahagian barat.Jangan lupa ke Bandstand sambil bergambar dengan latarbelakang pokok-pokok dan ranting musim luruh!
4. Serpentine Bar and Kitchen
Satu-satunya restoran di Hyde Park yang menyajikan pelbagai jenis masakan dan menghadap Tasik Serpentine. Lihatlah pemandangan gambar di atas. Wow! Pemandangan yang jelas menunjukkan citarasa sebenar apa yang diingini oleh pelancong dengan suasana langit, air tasik yang tenang dan adakalanya seperti kebiruan dengan angin Hemisfera Utara yang bertiup sepoi-sepoi menampar pipi dan dihiasi oleh angsa-angsa British yang berenang manakala latarbelakang padangnya hijau dan dipenuhi pokok-pokok musim luruh. Apa lagi yang anda mahu?
Restoran ini dibina oleh Patrick Gwynne dan merupakan salah satu bangunan ikonik di sini. Namun, menunya kebanyakan tidak halal. Kalau nak lepak juga, pesan minuman pun dah mencukupi. Atau pesan makanan berasaskan ikan tanpa sebarang alkohol (elakkan jika timbul was-was). Harganya tidaklah mahal. Paling tinggi pun 13.50 pound sahaja. Boleh rujuk menu di bawah ini:
http://www.benugo.com/restaurants/serpentine-bar-kitchen
5. Joy of Life Fountain
Dibina oleh T. B. Huxley-Jones pada tahun 1963. Strukturnya menunjukkan 2 orang kanak-kanak berpegang tangan manakala 4 orang lagi kanak-kanak kelihatan sedang muncul dari bawah air. Ianya dibina bagi mengenang taman Victorian yang telah tenggelam dengan air yang mana taman tersebut sebelumnya dibina bagi menakung air untuk kegunaan penghuni istana. Asalnya, terdapat struktur ikan lumba-lumba tapi diganti dengan 2 orang kanak-kanak.
6. Speaker’s Corner
Secara tradisinya, rakyat British suka berdebat. Mereka mempunyai pemikiran terbuka, mampu dan sanggup untuk berdebat apa sahaja jika diberi peluang. Akan tetapi, cara perdebatan mereka disulami dengan ketenangan tidak seperti negara lain yang pantang jika kalah dalam berdebat, akan diakhiri dengan pergaduhan. Sudut debat ini dibina atas inisiatif kerajaan mereka bagi mengurangkan sebarang bentuk ketidakpuasan yang diakhiri dengan rusuhan rakyat (merujuk pada rusuhan yang pernah berlaku tahun 1800an dulu di sini). Jika anda ingin mendengar ceramah, ucapan dan debat dari pelbagai latarbelakang rakyat, datanglah ke sini pada setiap pagi Ahad. Bermacam jenis tajuk ada merangkumi dari bab politik hingga ke bab agama. Inilah yang dikatakan “Free Speech”.
7. Serpentine Sackler Gallery
Dirasmikan pada tahun 2013, ianya dibina oleh arkitek Zaha Hadid. Asalnya ia merupakan sebuah bangunan lama menyimpan serbuk belerang, ditukar menjadi sebuah restoran bernama “The Magazine” dan akhirnya digabungkan dengan rekaan dari Zaha Hadid. Di dalamnya terdapat restoran, beberapa buah kedai dan ruangan untuk bersosial.
8. Princess Diana Memorial Fountain
Dirasmikan oleh Queen pada tahun 2004. Dibina berasaskan 545 keping granit Cornish. Ianya dibina berbentuk bulatan yang mempunyai pelbagai jenis ragam aliran airnya. Jika anda ke sana, akan terdapat aliran yang menuruni bukit, berbentuk seolah-olah mempunyai rintangan dan halangan dan sebagainya sehingga airnya kembali tenang. Ia dibina begitu bagi menggambarkan sejarah hidup Puteri Diana dan aliran air berakhir dengan ketenangan sebagai simbolik pada pemergian beliau dalam kecelakaan jalanraya yang meragut nyawa dan menggemparkan dunia. Terdapat tiga buah titi kecil untuk menyeberang ke arah tengahnya.
9. Serpentine Gallery
Dibina pada tahun 1933-34 oleh arkitek terkenal J. Grey West. Asalnya merupakan sebuah tempat penyimpanan teh. Semenjak tahun 1970, ianya dijadikan sebagai galeri pameran seni, pendidikan dan juga beberapa program awam yang lain. Masuk adalah percuma.
10. The Albert Memorial
Sebut nama “Albert” di London pasti teringat pada Dato’ Siti Nurhaliza yang pernah mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London. Ya, nama orang yang sama dengan memorial ini dan dibina sebagai memperingati Prince Albert yang mati disebabkan demam kepialu pada tahun 1861. Setahun selepas itu, barulah memorial ini dibina. Ianya terletak dalam Hyde Park di bahagian Kensington Garden. Jika diikutkan, kedudukannya sudah menghampiri jalan besar. Memorial ini menunjukkan sebuah patung Prince Albert yang sedang memegang katalog dari “Great Exhibition” iaitu pameran terbesar yang dinsprasi sendiri oleh beliau di Hyde Park pada tahun 1851.
11. Queen’s Temple
Ianya dibina khas untuk Queen Caroline pada tahun 1734-1735. Ianya telah ditukar kepada rumah penjaga taman dan dibaik pulih pada tahun 1976. Jika masuk ke dalamnya, anda dapat melibat grafiti yang telah dilukis atau diukir sejak dari tahun 1821.
12. Physical Energy Statue
Patung ini dibina bagi memperingati Cecil Rhodes, iaitu seorang pelombong berlian yang juga pengasas Rhodesia, yang sekarangnya dikenali sebagai Zimbabwe. Dibina pada tahun 1907 oleh George Frederick Watts.
13. Speke Monument
Monumen ini dibina dan didedikasikan khas untuk John Hanning Speke, iaitu seorang penjelajah yang telah menemui Tasik Victoria dan juga telah mengadakan ekspedisi ke Sungai Nil. Ianya direka oleh Philip Hardwick iaitu pereka yang sama bagi stesen keretapi Euston dan siap dibina pada tahun 1866. John Hanning mati secara misteri pada tahun 1864. Mungkin terkena sumpahan Firaun? Ada yang mengatakan beliau mati kerana kemalangan dan ada juga yang mengatakan mati kerana bunuh diri. Anda fikirkan sendiri!
14. Italian Gardens
Italian Garden ialah sebuah taman air yang dibina 150 tahun yang lalu. Dipercayai bahawa ianya dibina oleh Prince Albert untuk dihadiahkan kepada kekasihnya, Queen Victoria. Di bahagian rumah pamnya, anda boleh melihat tandatangan Prince Albert dan Queen Victoria di dinding. Dahulunya, terdapat enjin yang menggunakan kuasa stim untuk mengepam air pancut yang terdapat di sini, tapi sekarang tidak ada lagi.
15. The Round Pond
Tidak banyak maklumat tentangnya. Ia merupakan tasik yang terletak berhadapan dengan Kensington Garden.
16. Queen Victoria Statue
Direka oleh Princess Louise (Duchess of Argyll) pada tahun 1893, patung marmar ini merupakan ibunya iaitu Queen Victoria, yang berpakaian jubah pada tahun 1837 dalam usia 18. Queen Victoria dilahir dan membesar di Kensington Palace. Beliau dijaga begitu rapi oleh Sir John Conroy sehingga ditabalkan menjadi Queen pada tahun 1837.
17. King William III Statue
Terletak betul-betul di hadapan Kensington Palace, ianya direka dan dibina oleh H. Bauke pada tahun 1907. Disebabkan mempunyai penyakit asma, King William III (1650-1702) memilih untuk menetap di Kensington Palace kerana udaranya lebih bersih berbanding Whitehall.
18. Kensington Palace
Kensington Palace merupakan sebuah istana Diraja dan menghadap The Round Pond yang terletak di Kensington Garden. Ianya menjadi kediaman rasmi diraja semenjak abad ke 17. Pada masa sekarang, ianya menjadi istana penginapan bagi Duke dan Duchess dari Cambridge. Selain mereka, Prince dan Princess Michael dari Kent, Duke dan Duchess dari Kent dan Duke dan Duchess dari Gloucester, juga menjadikan istana ini sebagai penginapan sementara sewaktu bercuti.
Asalnya, ia merupakah rumah Nottingham dan diubahsuai menjadi istana oleh King William dan Queen Mary melalui arkitek mereka Christopher Wren, iaitu pereka yang sama bagi St. Paul’s Cathedral. Pengubahsuaian selesai dalam tempoh 6 bulan dan mereka berpindah ke sini dalam tahun 1689. Kedua-duanya tidak sempat menikmati lama keindahan istana ini kerana Queen Mary mati kerana penyakit cacar pada tahun 1694, manakala suaminya King William pula mati ketika menunggang kuda beberapa hari kemudiannya. Agak misteri bunyinya, kan?
Queen Victoria pula dilahirkan di sini dan menetap sehingga 1837. Puteri Diana juga mempunyai sebuah apartmen di sini dan menetap dari tahun 1981-1997.
19. Elfin Oak
Elfin Oak merupakan sebuah kumpulan patung kecil yang diukir dari sebatang pokok Oak yang lama. Patung yang diukir merangkumi pari-pari, bunian (elf) dan haiwan-haiwan. Ianya direka oleh Ivor Innes pada tahun 1930.
20. Diana Memorial Playground
Puteri Diana seorang yang sukakan kanak-kanak. Jadi, taman permainan ini dibina khas untuk kanak-kanak bagi memperingati beliau. Tarikan utama di sini ialah kapal lanun yang diperbuat daripada kayu. Ianya dirasmikan pada 30 Jun 2000. Taman permainan ini adalah percuma dan jika anda membawa anak-anak, datanglah ke sini!
21. Henry Moore Arch
Struktur arca unik ini tidak terdapat dalam Google Maps dan lokasinya berdekatan dengan Serpentine Sackler Gallery). Ianya setinggi 6 meter, direka oleh Henry Moore pada tahun 1980. Jumlah berat keseluruhannya ialah 37 tan! Pada tahun 1996, ianya diubahsuai semula kerana strukturnya yang tidak stabil. Jadi, jika anda was-was bila bertandang ke sini, bergambar di tepi-tepinya sudah mencukupi.
22. Peter Pan Statue
Pencipta watak fantasi Peter Pan, J.M. Barrie, mencadangkan pada Sir George Frampton bagi membina sebuah tugu bagi Peter Pan pada tahun 1902. Akhirnya pada tahun 1912, ianya selesai dibina. Binaan tugu ini merangkui sebuah patung Peter Pan dan juga tupai, pari-pari, arnab dan tikus yang kelihatan memanjat patung Peter Pan. Di dalam kisah Peter Pan, burung putih yang bernama Peter terbang keluar dari pusat jagaan kanak-kanak dan mendarat berdekatan Long Water. Jadi, tempat mendarat tersebut adalah tapak yang sama yang anda lihat dalam gambar di atas.
23. Animals In War Memorial
Memorial ini dibina bagi memperingati haiwan-haiwan yang berjasa dan mati ketika berlakunya konflik perang dunia. Ianya dirasmikan oleh Princess Royal pada November 2004 tepat pada sambutan 90 tahun perang dunia 1.
24. 7 July Memorial
Tapak memorial yang dibina bagi memperingati kejadian pengeboman yang berlaku di London pada 7 Julai 2005 yang mengorbankan 52 orang awam. Terdapat 52 tiang besi yang simbolik pada 52 orang yang terbunuh. Ketinggian setiap tiang besi adalah 3.5 meter. Senarai nama mereka yang terkorban disenaraikan di tepi papan kenyataan.
25. The Hudson Memorial Bird Sanctuary
Memorial ini dibina bagi memperingati seorang penulis dan pecinta alam sekitar iaitu William Hudson yang hidup pada abad ke 19. Beliau telah membantu dan berkempen untuk alam sekitar di bawah Royal Society untuk perlindungan haiwan dan alam sekitar. Ukiran yang dibuat oleh Sir Jacob Epstein merupakan Dewa Alam Semulajadi Kanak-Kanak.
26. Cavalry Memorial
Memorial ini dibina bagi memperingati St. George yang sedang beraksi melawan seekor naga (secara simbolik). Ianya juga merupakan tugu peringatan bagi Cavalry Regiments yang terbunuh sewaktu Perang Dunia 1.Ianya direka oleh Adrian Jones, seorang veteran askar dan memorial ini dibina dari gangsa yang dirampas dari senjata yang digunakan musuh pada Perang Dunia 1. Ia dibina pada tahun 1924 di tempat lain, lalu dipindahkan ke sini pada tahun 1961.
27. Norwegian War Memorial
Tentera dari Norway telah menghadiahkan sebuah batu yang besar pada tahun 1978 sebagai penghargaan pada British kerana membantu mereka pada Perang Dunia 2. Batu granit ini merupakan batu dari zaman pra-Cambrian. Ianya tertulis:
“You gave us a safe haven in our common struggle for freedom and peace”. Di belakangnya pula: “Worked and shaped by forces of nature for thousands of years”.
28. Queen Caroline Memorial
Memorial Queen Caroline ini dibina bagi memperingati isteri kepada King George II, yang mana pada tahun 1726-1730, telah mengasaskan Tasik Serpentine di Hyde Park dan Tasik Long Water di Kensington Gardens. Memorial ini telah dirasmikan oleh Queen pada tahun 1990. Bagi anda yang tidak tahu, sebelum Serpentine dibina, terdapat 6 buah kolam di Hyde Park.
29. Freeman Family Drinking Fountain
Sebuah mesin “water cooler” yang agak unik dan boleh diminum oleh orang awam. Dibina pada tahun 2009, ianya merupakan sebuah tempat minum percuma yang pertama dibina di Hyde Park semenjak 30 tahun yang lalu. Binaannya berbentuk cermin dan besi. Terdapat 4 saluran paip untuk diminum di sekelilingnya dengan ketinggian yang berbeza-beza sesuai untuk semua jenis ketinggian manusia. Ianya dihadiahkan untuk taman ini dari keluarga Freeman dan direka oleh David Harber.
30. Isis
Struktur gangsa ini direka oleh Simon Gudgeon. Ianya diinspirasikan dari Dewa Alam Sekitar Mesir dan dibina pada tahun 2009. Di sekeliling struktur ini terdapat 1,000 nama yang didedikasikan buat mereka yang membantu mengumpul dana bagi pembinaan ini.
31. The Reformers’ Tree
Direka berbentuk seperti pokok Oak, ianya dibina bagi memperingati peristiwa yang berlaku pada tahun 1866 dari Liga Reform, iaitu sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak mengundi bagi semua jenis lelaki dewasa. Sewaktu protes dilaksanakan, ahli-ahli pertubuhan Liga mengadakan mesyuarat di sebuah pokok Oak, dijadikan sebagai papan notis sementara dan juga sebagai tapak pertemuan dan mesyuarat. Mozek ini telah dirasmikan pada tahun 2000 oleh ahli politik Tony Benn.
32. The Isis Education Centre at the LookOut
Pusat pendidikan ini merupakan tempat yang mempunyai kecantikan alam sekitar. Dikendalikan oleh pihak pengurusan taman, ianya memberli peluang bagi semua jenis usia, kemampuan dan komuniti bagi yang ingin lari dari suasana bandar dan mendedahkan diri dengan keindahan alam sekitar. Di sini juga boleh dilaksanakan yoga dan meditasi.
33. The Diana Princess of Wales Memorial Walk
The Diana Princess of Wales Memorial Walk akan membawa anda berjalan-jalan ke beberapa buah taman yang menarik yang terdapat di London iaitu St James’s Park, Green Park, Hyde Park dan Kensington Gardens. Merangkumi jarak sejauh 7 batu (11.7km), anda akan bertemu dengan 90 plak besi yang mengarahkan anda ke beberapa lokasi menarik. Anda boleh download peta perjalanannya di sini.
Plak ini dibina oleh Alec Peever. Bunga ros yang menghiasi permukaan plaknya adalah simbolik kepada imej Puteri Diana dan juga simbol kepada tradisi Britain. Ia dirasmikan pada 30 Jun 2000, sehari sebelum hari jadi Puteri Diana yang ke 39.
34. Lido Bar and Cafe
Merupakan sebuah cafe ke-2 yang terdapat di Hyde Park. Ia terletak berhadapan dengan The Serpentine Gallery. Dari sini, anda dapat melihat Tasik The Serpentine. Namun, disebabkan ia mempunyai lesen bagi penyajian minuman alkohol, sudah tentu banyak minum beralkohol yang disajikan. Mungkin juga terdapat minuman biasa, cubalah tanya kalau bertandang ke sini.
35. The Orangery
Terletak bersebelahan dengan Kensington Palace di bahagian Kensington Gardens, ianya dibina pada tahun 1704-1705 oleh adik kepada Mary iaitu Anne yang kemudiannya menjadi Queen selepas kematian William. Anne memanfaatkan sudut taman Orangery ini untuk mengadakan majlis dan parti. Arkitek The Orangery ialah Nicholas Hawksmoor, yang merupakan kerani di Kensington Palace dan juga merupakan pereka bagi 6 buah gereja di sekitar timur London. Di sini juga terdapat sebuah restoran iaitu The Orangery Restaurant.
36. The Broadwalk Cafe and Playcafe
Cafe ini terletak bersebelahan dengan Elfin Oak dan Diana Memorial Playground. Kebiasaanya ia adalah laluan untuk ‘exit’ dari Hyde Park sekiranya anda masuk dari arah timur Hyde Park. Di sini juga terdapat taman permainan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, ada sesetengah makanan yang dijual mungkin tidak halal. Tidak mengapa. Sekadar bersantai sambil memesan Hot Chocolate sudah mencukupi.
37. Jenner Statue
Terletak bersebelahan dengan Italian Garden, ianya dibina pada tahun 1858 oleh William Calder Marshall dan kemudiannya dirasmikan oleh Prince Albert di Trafalgar Square. Patung ini dialihkan ke sini pada tahun 1962. Edward Jenner (1749-1823) ialah seorang doktor dari Berkeley, Gloucestershire yang mencipta vaksin untuk penyakit cacar.
38. Queen Anneβs Alcove
Terletak di bahagian utara Hyde Park, ianya dibina pada tahun 1705 oleh Sir Christopher Wren untuk diletakkan di sebuah taman kepunyaan Queen di bahagian selatan. Pada tahun 1867, seorang kontraktor dari London, Mr. Cowlyer, telah membelanjakan sejumlah wang untuk memindahkannya ke sini. Kemudiannya, ia ditukar menjadi bilik stor tukang kebun.
39. Coalbrookdale Gates
The Coalbrookdale Gates, merupakan sebuah binaan pagar gangsa dan besi dibuat oleh Coalbrookdale Company untuk “Great Exhibition” (pameran terbesar yang diinspirasikan oleh Prince Albet) pada tahun 1851. Ianya dialihkan dari tempat asalnya pada tahun 1871 apabila pembinaan Albert Memorial dimulakan. Pagar ini direka oleh Charles Crookes. Untuk pengetahuan anda, sebahagian dari pagar ini mengalami kerosakan akibat terkena serpihan bom semasa Perang Dunia ke-2.
40. Boy and Dolphin Fountain
Struktur patung seorang kanak-kanak lelaki dan ikan lumba-lumba ini diperbuat dari batu marmar pada tahun 1862 oleh Alexander Munro, iaitu seorang sahabat kepada pengarang buku terkenal Alice in Wonderland, Lewis Carroll. Terdapat sebuah plak besi yang dilekatkan berkenaan sejarahnya. Dahulunya, ia berasal dari taman Victorian yang telah tenggelam dan dimusnahkan apabila jalan Park Lane diperbesarkan. Lokasi asalnya telah digantikan dengan Joy of Life Fountain.
41. Pan Statue
Pan Statue juga dikenali sebagai Rush of Green, iaitu suatu peristiwa simbolik tentang sebuah keluarga dan anjing mereka yang sedang bergegas-gegas untuk ke arah taman bagi mengikut Peter Pan yang sedang memainkan alat muzik yang mirip seperti seruling. Patung ini dibina oleh Sir Jacob Epstein pada tahun 1961.
42. The Allotment in Kensington Gardens
Tempat ini sangat menarik jika anda teringin untuk melihat sayuran-sayuran tempatan yang ditanam. Ianya terletak berdekatan Kensington Gardens. Anda bebas untuk berjalan-jalan di taman ini, malah memetik beberapa buah dan sayur-sayuran. Namun, saya tidak pasti samada dikenakan sebarang bayaran ataupun tidak. Di sini juga terdapat ternakan ayam tempatan. Sesuatu yang unik bagi kita yang tak pernah melihat ayam Eropah.
Bersambung ke artikel seterusnya iaitu paparan peta secara lebih terperinci serta kisah lawatan saya ke sekitar Hyde Park secara lebih mendalam di artikel Taman-taman di London Bhg 3 – Hyde Park (sambungan #2).
Leave a Reply