Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 6 – Part 4 – Perjalanan Ke Kanchanaburi & Ulasan Tentang Rainbow Guesthouse. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Jam hampir 7.00pm. Dengan berpandukan maklumat dari seorang rakan FB, kami pun menapaklah menuju ke sebuah restoran Muslim yang dikatakan terletak di Singapore Rd (Road).
Terdapat sebuah restoran bukan halal di sini berdekatan dengan Rainbow Lodge. Bagi pengunjung blogku dari kalangan non Muslim, bolehlah berkunjung ke sini.
Botol air wajib bagi aku. Lorong belakang ni agak sempit. Apa-apapun, aku tetap bagi arahan pada Tatie agar berada di kiri aku dan menjaga daypack. Kadang-kadang terfikir kes ragut seperti di Malaysia, namun jangkaanku di Thailand ini meleset. Alhamdulillah semuanya selamat sepanjang 16 hari berkelanan di Thailand dan Laos.
Hajatnya nak melihat Night Life di lorong-lorong belakang di sini. Seronok melihat gelagat pelancong asing serta kepelbagaian kedai yang ada.
Jarak yang agak jauh tak terasa sangat jika diselang-seli dengan aktiviti meneroka perkara-perkara baru di sini.
Ada juga disediakan perkhidmatan menyewa motorsikal tapi aku tak tahulah berapa harganya sehari.
Yang bertimbun di sini ialah kedai-kedai arak (bar).
Nah bagi korang tengok paparan mesin ATM di sini. Aih kenapa hitam putih? Ini kerana sewaktu kami datang ke sini, tempoh berkabung kemangkatan Raja Bhumipol masih lagi berlangsung.
Masat… masat!! Katanya dibuka jam 9.00am dan ditutup jam 24.00pm. Puas aku berfikir… agaknya kami dah sampai ke planet lain yang mempunyai 30 jam waktu dalam sehari.
Ini 7-Eleven yang paling terdekat dengan Rainbow Lodge dan VN Guesthouse. Tapi sebenarnya, kalau korang menuju ke arah stesen keretapi dari guesthouse, terdapat juga 7E di hadapan jalan utama.
Lagi restoran tempatan. Kami tak menjumpai sebarang restoran halal di sini.
Suasana ‘typical’ kebanyakan jalan dan pekan kecil di Thailand. Pada malam kami di sini, suasana tak berapa happening mungkin kerana bukan hari minggu.
Mini bar sebegini banyak menarik tumpuan pelancong asing. Mungkin bagi mereka, bar kecil lebih murah berbanding bar yang berbentuk restoran besar. Girlfriend dia jeling padaku. Mungkin ingat aku ni paparazzi atau spy atau penyiasat persendirian bagi pihak-pihak tertentu, hehe.
Hasil-hasil kraftangan tempatan juga dijual di sini. Cuma aku nak pesan korang, tak perlu beli di sini kerana esok siangnya, boleh membeli lebih murah dan banyak pilihan di sekitar gerai dan kedai-kedai yang kraftangan yang begitu banyak berdekatan dengan landasan keretapi maut.
Nampak seperti jeruk buah….
Farmasi merata-merata di Thailand. Sambil lalu di sini, Aqif dah mula nak mencapai itik kuning tu.
Yeah mari bersantai dan mabuk sampai ke longkang…
Selain 7-Eleven, Tesco Lotus juga terdapat di sini.
Ok dari sini, bermulalah episode drama…………………………………
Sesampainya kami di Singapore Rd (Road), mulalah cuak. Dahlah lorongnya gelap tapi kami redah juga menuju ke jalan besar atau jalan utama di Kanchanaburi. Cari punya cari tak jumpa pula restoran Muslim di situ. Yang ada pun hanya rumah-rumah orang dan beberapa kawasan lapang yang sepatutnya dibina rumah lot tapi dipenuhi semak samun.
Di jalan besar, kami cuba menapak ke hadapan sedikit sambil meletakkan harapan tinggi dalam hati dan keyakinan yang teguh ibarat Malaysia Boleh atau seperti lagu Fikirkan Boleh nyanyian grup MLM-MLM tersohor di Malaysia.
Akhirnya kami terjumpa juga. Tapi malangnya nasib!! Rupanya tutup pula. Berkemungkinan besar kerana cuti Tahun Baru 2017 atau andaian aku, kebanyakan restoran Muslim di Thailand buka sehingga jam 5.00pm sahaja. Jadi tip yang aku nak bagi untuk seluruh kawasan di Thailand, kalau jam dah melepasi 5.00pm, lupakan saja restoran Muslim dan cubalah terjah Night Market.
Restoran Muslim tersebut ialah Dawucha Islam. Boleh terus taip dalam Google Maps dan lokasinya tepat. Nampak sahaja papan tanda Mitsubishi, haa di situlah restorannya.
Kemudian aku dah buntu semula. Aku cadangkan pada Tatie agar kita melintas jalan dan cuba mencari restoran-restoran di tepi jalan besar. Meleset lagi…. Pendek kata, barisan kedai lebih meriah di lorong yang kami lalu tadi berbanding jalan besar di sini.
Aku lihat peta, Ya Allah! Hampir 1.7km kami menapak. Lalu aku teringat option lain iaitu Night Market (pasar malam). Aku betul-betul berharap Night Market dibuka berdekatan stesen keretapi Kanchanaburi. Janganlah seperti di Malaysia iaitu hanya dibuka pada hari-hari tertentu sahaja.
Ini bermakna, untuk patah balik ke stesen perlu menapak 1.7km juga. Tepuk dahi!! Kalau aku seorang gagah juga. Macam mana pula dengan Aqif, takkan nak biar dia berjalan lagi sejauh begitu? Kalau dukung, teruk pula kami.
Suspen dah….
Tak pasal-pasal aku buat simbol tangan seperti Like dan cuba menahan kereta-kereta yang lalu di situ. Hahaha… tak pasal-pasal kami jadi hitchhiker! Setelah hampir 25 minit, cubaan hitchhiking akhirnya tak berjaya. Lalu aku mengambil keputusan untuk menapak sahaja ke Night Market sambil berharap sekiranya ada kedai runcit di tengah-tengah jalan. Benarlah kata kawan yang kaki hitchhike, purata menunggu di tepi jalan kadang-kadang sampai 1 jam. Jadi, pengalaman hitchhiking bagi kami… consider done!
Alhamdulillah.. benar sangkaanku. Separuh perjalanan memang ada kedai runcit di situ. Tapi barangnya terutama biskut, roti dan tuna tak banyak pilihan. Kami capai saja apa yang boleh dan makan di tepi jalan. Kalau ada yang nak kecam kami makan tepi jalan seperti Dato Terlajak Laris, silakan. Kalau terjadi pada korang, barulah tahu, padan muka! Hahaha.
Kemudian dari jauh kami dah ternampak Night Market. Alhamdulillah kali kedua aku ucapkan. Nasib baiklah masih dibuka dan sedang rancak. Kami perlu membeli makanan-makanan berat seperti nasi. Cuma langkah kami tidaklah sepantas orang kebuluran 18 hari tak makan kerana perut dah beralas dengan roti dan biskut tadi.
Abam gitar menghiburkan hati kami yang duka lara kerana restoran ditutup….
Kami mula terjah ke kawasan dalam Night Market.
Sedang kepala kami dok tercangak-cangak mencari warung halal, terpandang pula seorang akak bertudung ni lalu di sebelah kami. Lalu aku cepat-cepat tegurnya dan bertanyakan di mana jual makanan halal.
Rupanya, beliau adalah penjual makanan di situ dan disuruh kami mengikut ke warungnya. Nak tengok akak tu? Dalam gambar di atas sedang memakai apron biru merah.
Tapi di sini yang dijual hanya roti canai. Aqif memang suka roti, jadi aku pun belikan untuknya. Sekali lagi aku bertanya akak ni di mana pula warung nasi dan beliau menunjukkan lokasi.
Ok di sinilah pembelian kami yang terakhir sebelum pulang semula ke Rainbow Lodge. Kami borong hampir tiga bungkus nasi ayam. Harganya seingat aku THB50 sebungkus.
Suasana di Night Market ini sangat meriah. Aku rasa ini sajalah hiburan bagi penduduk setempat. Keadaan Kanchanaburi pada waktu malam ibarat seperti di Kuala Lipis atau di Ulu Yam.
Ini lokasi GPS bagi Night Market yang aku ingin kongsikan: 14.033745, 99.524402
Sampai di Rainbow Lodge, dengan pantas membuka bungkusan nasi. Perangai tamak membuatkan sebungkus nasi ayam pula tak habis. Malamnya kami tidur nyenyak tak sedar diri kerana berjaya menapak 3.4km secara berjemaah.
Kita bersambung pula pada hari esoknya, iaitu hari ke 7 di bumi Thailand….. Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 1 – Suasana Pagi di Rainbow Guesthouse & Landasan Keretapi Maut.
Leave a Reply