Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 6 – Part 5 – Kanchanaburi Night Market. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Tarikh Kembara: 3 Januari 2017
Hari ke: 7
Lokasi: Kanchanaburi
Pada ketika ni jam 8.06am. Suasana begitu nyaman dan damai sekali. Keluar saja dari bilik, kami disajikan dengan pemandangan gunung-ganang dengan pantulan cahaya matahari pagi serta bau sungai yang ‘natural’. Sesekali terdengar bunyi bot yang berkemudi di sungai Kwai.
Di belakangku adalah sungai Kwai yang menuju ke arah hulu sungai yang juga melalui bawah jambatan ‘Landasan Keretapi Maut’. Sungai ini berasal dari Tasik Sinakharin yang masih di bawah jajahan Thailand. Tasik tersebut sangatlah besar dengan kepanjangan menjangkau 55km!
Ini pula arah ke hilir sungai Kwai. Terdapat jambatan di situ serta pemandangan gunung. Air yang mengalir ke hilir ini akan bercantum dengan aliran sungai dari Tasik Vajiralongkorn yang juga begitu besar dengan kepanjangan 65km.
Dan cantuman dari dua tasik ini akan terus ke laut iaitu Gulf of Thailand. Ingat lagi jambatan panjang yang kami lalui sewaktu menaiki bas dari Pak Tho ke Maeklong Railway Station? Itulah sungai yang sama yang mengalir dari sini.
Di seberang sungai terdapatnya sebuah rumah yang aku rasa mungkin tempat penyelenggaraan bot dan sampan.
Beginilah bentuk rumah terapung VN Guesthouse. Aku tak pasti samada bawah rumah tu terapung atau ada tiang-tiang yang tersembunyi. Bagi yang pernah mengalami penyakit seperti Vertigo, mungkin tak sesuai menginap di sini kerana boleh jadi rumahnya membuai atau beralur akibat arus sungai walaupun arusnya sederhana laju.
Dari pelantar yang aku berdiri ini boleh nampak pelantar utama sebaik sahaja memasuki Rainbow Lodge. Di situ juga terdapat kaunter check in, restoran kecil serta meja snooker. Akibat kekangan masa, kami tak berkesempatan untuk menggunakan kemudahan di sini seperti pelantar/pangkin, hammock, buaian dan kerusi santai.
Setelah bersiap, kami pun menapak ke arah jalan besar. Bukanlah lebuhraya yang berhadapan dengan Kanchanaburi Railway Station, tapi jalan yang sama kami menapak semalam. Kali ni kami terus tahan Tuktuk Motorsikal kerana jarak destinasi yang dituju ialah 2.5km dari Rainbow Lodge. Buat korang yang masih bujang dan bertenaga, eloklah berjalan kaki. Ini pun dah kena caj THB80 untuk sehala setelah dikurangkan dari THB100.
Dah sampai… pagi-pagi begini pun dah mula ramai pelancong. Alhamdulillah, cuaca pagi cerah. Untuk ke sini tak susah, cuma taipkan saja “Death Railway” dalam Google Maps.
Di sini juga terdapat banyak gerai bazar atau pasar pagi yang menjual banyak cenderamata.
Nampak jambatan hitam? Nama popularnya ialah “Bridge on the River Kwai”. Bagi yang pernah melihat filem “The Bridge on the River Kwai” tahun 1952 pasti tak sabar nak melihat dengan lebih dekat.
Zaman sekolah dahulu kita pernah belajar sejarah tentang landasan keretapi maut ini yang mana askar Jepun telah mengerah dan memaksa ribuan tahanan perang termasuk orang-orang Melayu untuk membina landasan keretapi sehingga ke Burma (Myanmar).
Sedikit sejarah……
Kanchanaburi terletak berdekatan dengan sempadan Myanmar. Semasa perang dunia II, Jepun telah membina landasan keretapi dari Ban Pong, Thailand sehingga ke Thanbyuzayat, Burma. Sekarang ia dikenali sebagai landasan maut.
Pembinaan landasan ini bertujuan untuk mengangkut kargo harian menuju ke India sebagai persiapan bagi melancarkan serangan ke atas India di kemudian hari. Pembinaan dilaksanakan oleh tahanan-tahanan dan hamba perang dari kalangan negara bersekutu dan negara Asian. Keadaan tahanan ini sangatlah teruk dan mereka dikerah bekerja sehingga mati.
Pembinaan bermula pada Oktober 1942 dan siap setahun kemudiannya. Disebabkan bentuk muka bumi yang terlalu sukar, ribuan tahanan mati semasa bekerja. Dipercayai bahawa, setiap seorang tahanan mati bagi setiap landasan yang berjaya dipasang.
Sebenarnya jambatan ini telah dibom oleh pakatan negara bersekutu pada tahun 1944. Tiga bahagian jambatan telah musnah. Jambatan yang kita lihat pada hari ini ialah versi yang telah dibina semula merujuk pada bentuk yang asal. Serpihan bahagian asal jambatan telah dipamerkan di War Museum.
Jambatan ini menjadi terkenal di seluruh dunia selepas kisahnya diterbitkan melalui buku dan filem. Pada setiap tahun, sambutan dibuat pada 28 November bagi memperingati pembinaan jambatan ini serta mereka-mereka yang telah terkorban.
Dua buah tarikan yang menarik di sini ialah jambatan serta dua buah bom zaman perang. Adakah bom bersaiz ini yang digugurkan beratus-ratus buah dari atas kapal terbang semasa perang dulu? Tidaklah aku pasti. Jika ya, mak datuk besarnya. Atau mungkin juga ini adalah replika bom yang digugurkan oleh tentera bersekutu bagi memusnahkan jambatan ini pada tahun 1944.
Teringat pula kisah arwah nenek aku di Gelugur, Pulau Pinang sewaktu perang dunia II. Apabila kapal terbang Jepun melintas sahaja, siren perang akan berbunyi dan semua pakat lari masuk ke dalam lubang yang dibina penduduk kampung. Tapi aku rasa, kalau bom jatuh berdekatan, mungkin lubang tersebut tak dapat menampung impak bom yang sebegitu besar begini.
Keretapi hanya melalui landasan ini dua kali sahaja sehari. Jadi, cepat-cepatlah berbaring dan bergambar. Bila lagi nak repeat, kan?
Terdapat juga restoran terapung di sini tapi bukanlah halal.
So, kami pun bergerak menapak melalui jambatan ini.
Pemandangan sebuah tokong Buddha dari atas jambatan. Kelihatan sebuah patung yang agak besar di sana.
Semasa kedua ibubapa aku datang ke sini melalui pakej pelancongan, mereka ada menaiki ‘teratak’ terapung yang terdapat di sini. Teratak ini berkonsep seperti dewan makan tapi terapung dan bergerak di sekitar sungai Kwai. Makan malam akan disediakan di dalamnya.
Di hujung sana ialah aliran sungai dari hulu.
Ini mula aliran sungai ke hilir. Cantiknya pemandangan pagi dengan pancaran matahari yang sedap mengenai kulit muka.
Pembinaan jambatan kali ke-2 yang dilaksanakan semula oleh syarikat dari Jepun. Kemungkinan syarikat yang sama yang merekabentuk sewaktu perang dunia II?
Semasa menapak atas jambatan ni hati-hatilah. Tambahan bila membawa budak kecil. Bagi orang dewasa pula, jangan sampai kaki terpelecok masuk ke celah lubang tu.
Lalu kami menuju ke landasan di penghujung jambatan. Sengaja nak melihat apakah yang ada di sana.
Tapi sebelum tu aku menoleh ke arah belakang iaitu arah yang kami datang tadi. Wow, cantiknya gunung di hujung sana apabila cahaya matahari menyinar ke arahnya.
Tokong Buddha tadi mula nampak lebih dekat.
Kami dah sampai ke hujung jambatan. Eh, belum lagi!
Di bahagian bawah jambatan terdapat gerai-gerai jualan. Tapi macam suram pula suasana di sini.
Ok. Ini barulah penghujung jambatan. Kelihatan seorang lelaki tempatan sedang bertukang tapi tak pasti apa yang dibuatnya. Mungkin juga pagar baru bagi kenderaan apabila ingin melintas landasan keretapi.
Kelihatan seorang pekerja landasan yang menjaga lalu lintas sedang duduk di dalam pondok, hahaha! Puan Tatie berehat seketika di dalamnya kerana terdapat sebuah kerusi untuk duduk.
Dari tepi pondok tadi, aku dapati terdapat jalan menuju ke bawah. Dan dari sini, dapatlah aku melihat ‘extension’ jambatan di atas tanah iaitu sebahagian dari keseluruhan jambatan yang bukan terletak di atas air.
Anjing liar agak banyak di sini. Dalam risau-risau kami beranikan diri…
Bergambar di atas jambatan sangat ‘too mainstream’…. Nah! Entah-entah kami ni kot satu-satunya pengembara dari Malaysia yang bergambar bawah jambatan??
Aku dah Aqif di bawah, Tatie pula di atas.
Ikutkan hati nak saja menapak sampai ke sungai, tapi masa sangat suntuk. Sebenarnya di bawah ni tiada apa yang menarik melainkan kalau korang nak melihat senibina jambatan lama dari bahagian bawahnya.
Video sepanjang menapak di atas jambatan besi.
Tak lengkap jika tak bergambar di stesen River Kwai Bridge ini. Di sini pun ada jual macam-macam.
Kalau orang perempuan ternampak buah ni, mesti gelikan? Sebab teringat satu gambar tubuh manusia yang pernah viral dalam Facebook dulu.
Selepas itu kami pun menapak ke bazar-bazar di tepi jambatan yang kami nampak pada awalnya tadi. Sebenarnya, tarikan di Kanchanaburi terlalu banyak. Disebabkan hanya menetap satu malam sahaja di sini, maka kami perlu bergegas melawat ke beberapa tempat sebelum jam 12.00 tengahari menjelma.
Sedikit tips untuk melawat landasan keretapi maut….
1. Terdapat dua cara untuk melihat sekitar landasan keretapi maut.
2. Cara pertama adalah sama seperti yang kami lakukan.
3. Kedua, dengan cara menaiki tren dari Thon Buri (Bangkok). Tren pula akan melalui atas jambatan besi serta Wampo Viaduct dan berhenti di stesen keretapi Nam Tok. Disebabkan tempoh perjalanan keretapi dari Kanchanaburi ke Nam Tok mengambil masa 2 jam (jika terus dari Bangkok, tambahan lagi 2 jam menjadikan jumlah keseluruhan selama 4 jam), maka terpaksa batalkan hasrat bagi cara kedua.
4. Jika sampai di Nam Tok, terdapat satu lagi tarikan iaitu Konyu Cutting dan lebih dikenali sebagai Hellfire Pass (nama diberi oleh tawanan perang). Lokasinya 10km sahaja dari stesen Nam Tok. Di sanalah tempat yang ramai tahanan mati dan terdapatnya muzium dan juga tapak lama landasan yang telah dibina atau dirancang untuk dibina sepanjang 7km. Tapak atau denai tersebut telah diperbaharui dan dibuka semula oleh kerajaan Australia sebagai tapak memorial dan hanya 4km sahaja dibuka.
5. Kemudian, barulah pulang semula menaiki tren yang sama dan berhenti di River Kwai Bridge Railway Station bagi menikmati pemandangan jambatan besi tadi.
6. Maklumat dalam Google ada juga menyebut tentang Three Pagoda Pass yang terdapat di sepanjang laluan dari Kanchanburi ke Nam Tok. Mungkin korang boleh carikan jika ke sini.
7. Maklumat lanjut berkenaan jadual keretapi boleh diperolehi di sini: https://www.seat61.com/Bridge-on-the-River-Kwai.htm
Ya kawan-kawan…. kita bersambung di sini pula… Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 2 – Bazar Jualan dan JEATH War Museum.
Leave a Reply