For English, click here.
Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 2 – Part 4 – Restoran Salma dan Perjalanan ke Prachuap Khiri Khan. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Tarikh Kembara: 30 Disember 2016
Hari ke: 3
Lokasi: Prachuap Khiri Khan, Thailand
Mula dari entri ni, aku akan membahasakan Prachuap Khiri Khan sebagai “PKK”. Korang jangan keliru antara Bandar Prachuap Khiri Khan dan Provinsi Prachuap Khiri Khan. Bandar PKK ibarat ibu negeri bagi Provinsi PKK. Bandar Hua Hin yang popular merupakan salah satu dari daerah di bawah Provinsi PKK.
Bandar PKK menempatkan markas Tentera Udara DiRaja Thailand dan merupakan pintu permulaan penjajahan tentera Jepun ke atas Thailand pada 8 Disember 1941 iaitu semasa Perang Dunia ke-2 (The Battle of Prachuap Khiri Khan). Hari Peringatan dibuat setiap tahun pada bulan Disember bagi memperingati 38 orang tentera udara Thailand dan orang awam yang terkorban sewaktu penentangan terhadap tentera regimen infantri Jepun yang ke 143.
Bagi sejarah Provinsi PKK pula, ia bermula dengan nama Muang Na Rang. Selepas menjadi bandar terbiar disebabkan kejatuhan kerajaan Ayutthaya pada tahun 1767, bandar Muang Na Rang dibina semula dan diberi nama Bandar Prachuap Khiri Khan yang bermaksud “city in the mountains”. Bandar PKK menjadi resort tepi pantai sewaktu pemerintahan King Rama V.
Sewaktu sampai di stesen keretapi PKK, rasanya hanya kami sahaja yang turun di situ. Kebanyakan penumpang ramai yang turun di Hua Hin atau Bangkok. Jadi, 20 minit sebelum turun, datanglah pegawai tren kejutkan kami. Memang dah bangun dah, tak tidur sangat pun. Dia menyuruh kami bersiap secepat yang mungkin sebab tren hanya akan berhenti 3 minit sahaja. Apa lagi, bergegaslah nak sarungkan kasut Aqif dan lain-lain perkara. Nasib baiklah orang Pakistan tu tolong sarungkan kasut.
Tip: Jika naik tren di waktu malam, tak perlu risau jika terlelap. Memang pegawai tren akan bawa kertas senarai penumpang-penumpang yang perlu turun di setiap stesen dan kejutkan. Bagi mereka, penumpang yang terlajak lebih bermasalah. Apa tidaknya, cuba bayangkan hentian seterusnya dah ada penumpang booking katil kami? Tak ke kecoh jadi nanti. Tapi, janganlah bergantung harap sangat pegawai tu nak datang kejut ye….
Waktu sampai di stesen, jam lebih kurang 4.41 pagi. Kami belum kemaskini hala tuju memandangkan kalau dapat hotel sekalipun, sudah tentu check-in hanya jam 12.00 tengahari. Suasana memang gelap di stesen. Untuk pengetahuan korang, rancangan asal kembara ke Bandar PKK ni hanya dalam satu hari je…Touch N Go. Maksud aku, kami rancang nak letak backpack di Left Luggage Office di stesen tren PKK. Kemudian dari situ melawat ke beberapa kawasan atau spot terkenal di sini. Tapi dek kerana aku masih keletihan tak cukup tidur, penat dan sebagainya, kami pun memutuskan untuk menginap hanya satu malam yang akhirnya membuatkan aku memilih PKK sebagai destinasi top nombor 1 jika dibandingkan dengan kesemua 11 bandar yang kami lawati. Teruskan membaca entri tentang PKK…
Bergambar di hadapan stesen keretapi PKK sambil memikirkan idea halatuju. Untuk pengetahuan semua, misi kembara ini memang kami cuba duduk pada tahap tawakal paling tinggi. Iaitu berserah dan biar gerakNYA menentukan ke mana akan kami menapak dan siapa orangnya yang digerakkanNYA untuk menegur kami atau apa dan bagaimana kami pula yang tergerak untuk menegur sesiapa.
Kembara Thailand-Laos ni bukanlah kerana mahu meraih hasil “cheapskate” semata-mata atau cuba menumpang populariti menjadi backpacker kental atau sejati. Backpacking bukan sesuatu yang baru bagi aku (kecuali isteri dan anak), hanya penyerahan tawakal yang kami utamakan.
Belum jam 5.00am jadi kami duduk sebentar.
Bergambar di bahagian tepi kaunter jualan tiket. Di Thailand, kaunter jualan dibuka 24 jam.
Jadual tren untuk semua kelas yang mungkin dikemaskini setiap hari.
Di stesen, entah macam mana ada pula 3 orang Muslim dan salah seorangnya, lelaki berusia 50an yang tahu berbahasa Melayu lebih kurang 50%. Aku bertanya dia macam mana nak ke arah pantai PKK iaitu bandar utamanya. Kemudian seorang perempuan bertudung yang awalnya membeli tiket sewaktu aku bergambar tepi kaunter, datang pada laki tersebut. Bila tahu je dia Islam, terus aku tanya kalau ada restoran Muslim berdekatan. Beliau seolah-olah nak tolong bersungguh-sungguh. Lalu dipanggil kawannya yang menghantarnya tadi ke stesen untuk membantu bawa kami ke restoran Muslim. Kawannya menunggu motorsikal tiga roda yang aku rasa mungkin digunakan untuk membawa sayur atau berniaga.
Berkali-kali aku menolak sebab risau menyusahkan kawan dia. Tapi dua-dua orang masih pelawa juga. Jadi, kami semua pun naiklah motorsikal bawa sayur sekali dengan backpack. Wah, cukup pula semua orang naik, hehe. Beberapa kali tayar motorsikal terlanggar lubang dan buatkan motorsikal agak gelong atau kurang stabil sedikit. Cuak juga aku. Bukan nak mintalah, tapi kalau buatnya terbalik, mau semua orang terlentang dengan tak ada helmet lagi, nauzubillah. Namun, aku tetap berserah. Sebagai manusia lemah dan kerdil, perasaan takut tu biasalah kan.
Kawannya bawa meronda hampir ke seluruh Bandar PKK malah sampai ke highway utama yang banyak dilalui penunggang-penunggang motorsikal dari Malaysia untuk ke Bangkok. Malangnya tiada restoran Muslim yang masih buka.
Sebelum tu kami ada lalu kedai 7E di Bandar PKK, jadi aku minta dia tinggalkan kami di situ saja. Hampir 20-25 minit juga menaiki motorsikal sampai kami pun rasa macam nak demam disebabkan tempias angin pagi yang cukup sejuk. Maklumlah tepi pantai. Terima kasih buat mereka yang membantu kami pagi tu. Aku tak sempat nak ambil gambar mereka, cukuplah video di atas buat sebagai kenangan…
Aku meminta Tatie dan Aqif ke kedai 7E di hadapan kami untuk membeli beberapa makanan ringan buat alas perut. Sambil tu kami letakkan backpack di tepi rumah kedai yang masih belum dibuka. Aku tengok jam dah hampir 6 pagi. Sebenarnya tujuan aku menyuruh Tatie yang belikan bukan apa. Ada dua backpack yang berat yang perlu dijaga. Biarlah kekuatan lelaki diguna, maklumlah aku pun belum menghafal atau belum pandai membaca tingkahlaku orang-orang di Bandar PKK.
Sengaja aku rakam video 7E di Bandar PKK buat kenangan..
Lepas Tatie dah selesai beli beberapa makanan, kami pun jamah sedikit beberapa keping biskut dan memerhatikan keadaan sekeliling terutama lorong yang mengarah masuk ke pasar pagi.
Kelihatan orang awam dah mula datang dan banyak juga barang-barang jualan yang sedang dipunggah turun. Kedai sebelah kami ni dah buka. Jual roti dan biskut tak halal rasanya.
Dah kata jangan main kereta mainan atas lantai sebab kotor, dia nak main juga. Dalam keadaan “lone ranger berjemaah” macam ni, memang kami pun dah tak ada daya upaya lagi melainkan hal-hal lain yang lebih mustahak.
Lokasi kedai 7-Eleven di Bandar PKK: 11.804186, 99.797239
Seterusnya, kami bergerak berpandukan Google Maps untuk ke arah kawasan pantai. Terpaksalah melalui lorong-lorong pasar yang dah mula sibuk dengan aktivit jualan pagi. Macam-macam ada jual tapi mood pagi tu tak dapat sangat nak menghayati pasar pagi.
Di bahagian depan pasar, aku terpaksa bertanya pada seorang peniaga wanita. Biasalah komunikasi ayam-itik. Aku terpaksa buka Google Translate dan menaip “pantai” dan diterjemahkan dalam bahasa Thai. Peniaga tersebut paham dan menunjukkan aku jalannya. Bukan taknak bergantung pada Google Maps, tapi GPS phone aku tak berapa sensitif dengan satelit pada waktu ni.
Ramai yang melihat-lihat kami mungkin kerana tak ramai pelancong asing pagi-pagi macam ni dan mungkin juga Bandar PKK tak ramai orang luar. Atau mungkin juga dalam fikiran mereka, “Apa kejadahnya dua orang ni bawa beg kendong bapak besar, nak ke mana tu? Dahlah bawa anak, pelarian perang ke?” Tapi yang bestnya, semua melayan kami baik-baik dan menunjukkan arah ke pantai.
Di hujung tu sebelah kanan, kami terpaksa masuk menuju ke lorong yang agak gelap sebelum tembus ke pasar pagi yang menghadap jalan lain. Lorong gelap pun kami hentam bertiga menapak melaluinya. Tawakal…..
Inilah pasar pagi bahagian yang menghadap jalan yang lain.
Di sini banyak dijual buah-buahan, sayur dan bunga-bunga untuk tujuan keagamaan. Aku dapati pasar pagi di Bandar PKK memang tiada peniaga dari kalangan Muslim. Aku rasa, bila dah masuk kawasan Thailand yang mula menghampiri Bangkok, kewujudan orang Islam makin sayup-sayup mengecil jumlahnya.
Selamat pagi Prachuap Khiri Khan
Sampai je di pantai, erkk… apa perlu dibuat ni? Tak nampak apa lagi. Yang ada hanya tembok benteng penghadang ombak serupa seperti di Padang Kota, Pulau Pinang. Kami pun tunggu…. tunggu selama 10 minit. Pemandangan mula terserlah bila matahari mula menampakkan sedikit dirinya.
Bila kau berserah, tak buat reservations, tetiba Allah bagi view macam ni… WOW!! Sungguh menarik pemandangan. Lama juga kami di sini. Aku dah mula nak keluarkan Mikro SD card dari kamera SLR untuk dipindah masuk dalam phone dan seterusnya berhajat nak berkongsi dengan rakan-rakan Facebook. Sampaikan Tatie tegur aku pun dengar tak dengar, geram juga dia. Apa tidaknya…. pertama sebab terpegun melihat keindahan, keduanya kerana kamera. Alah… Tatie pun sama juga terpegun. Pemandangan sebegini banyak terdapat di pantai barat Thailand iaitu Krabi, Ao Nang dan Phuket. Nak buat macam mana, memang kami tak pernah sampai ke sebelah sana.
Muka kami dah sejuk dipukul angin dari arah Gulf of Thailand. Sambil menikmati keindahan pantai, aku pun mula mengelamun… “straight di depan ni boleh sampai Kemboja dan Vietnam….. dan kalau menapak menerusi pantai-pantai ni boleh tembus ke pantai Kelantan, Terengganu dan Kuantan ni”.
Lepas tu dah mula rasa betul-betul sejuk. Aku bincang dengan Tatie ke mana seterusnya. Dari tembok pantai kami nampak ada seorang farang (gelaran orang tempatan terhadap orang barat) yang agak berusia tengah berdiri di pagar sebuah hostel/guesthouse. Lalu kami pun tujulah ke arah dia bertujuan nak berehat dan berpanas seketika di garaj motorsikal guesthouse tu. Tapi mendukacitakan kerana kami dilayan macam homeless olehnya yang asyik mengatakan guesthouse ni full, full dan full.
Oklah, kami pun berambus dan aku cadangkan pada Tatie agar kami menuju ke arah jalan utama di tengah pekan semula, bertujuan untuk berlindung dari hentakan angin-angin pantai yang menyejukkan. Dari satu hotel ke satu hotel kami menapak bertanyakan rate, memang mahal-mahal. Dah penat, kami pun duduklah di tepi kawasan parking hotel dan aku pula tergerak nak tanya pada parking guard di mana yang ada “cheap hotel”, itupun kena pakai Google Translate juga. Nasib baik, dia pun tahu. Disuruhnya mencari Maggie Guesthouse (MG) yang hanya berjarak 300 meter dari kedudukan kami.
Sampai je di MG, puas aku hello, hello dan hello, seorang pun tak menyahut. MG ni ialah sebuah community style guesthouse, jadi masing-masing kena jaga tempat tu baik-baik. Waktu ni rasanya dah jam 7.00 pagi lebih dan mungkin semua masih belum bangun. Di reception, ada tertera nombor telefon untuk dihubungi. Aku cuba hubungi…. tak berangkat. (berkenaan MG ni nanti aku ceritakan dalam entri blog seterusnya).
Lokasi Maggie Guesthouse. Koordinat GPS:11.805752, 99.797933. Dekatkan dengan pantai?
Kawasan dapur luar di MG yang digunakan oleh komuniti backpackers di sini. Kemudahan di sini percuma.
Kami pun duduklah di sofa MG ni, hampir sejam juga. Masih tiada orang. Nyamuk banyak pula, jadi kami memutuskan untuk ke arah pantai semula mencari port untuk masak maggi. Mesti korang akan tanya… “Aik masak maggi? Macam mana korang masak maggi???” Hehe..
Cari punya cari terjumpalah sebuah tokong kecil dan kami pun lepak di sebelahnya sambil buat-buat tak reti pada orang yang lalu lalang. Apa lagi, terus masak maggi sambil buat muka tebal, lagipun… siapalah yang kenal kami kat sini? Di situlah advantage nya. Gaya memang macam orang merempat tepi jalan… hahaha. Ni pengalaman tau… pre “street smart” education for my kid. Tak dinafikan, restoran halal memang ya amat punya susah di Bandar PKK.
Memang seronok bila backpacking digabung dengan style ala-ala camping. Ingat kami tak bawa dapur mini (butane travel stove) dengan tong gas mini? Hehehe… Untuk negara bukan Islam harus!! Tapi dalam semua peralatan di atas ni, aku paling suka dengan messtin tu. Ianya dibeli dari syarikat yang sama yang membekalkan messtin untuk Angkatan Tentera Malaysia. Dah pasti ketahanan dan kualitinya lasak.
Sambil Tatie masak, aku baru perasan yang matahari tengah sunrise. Subhanallah… WOW (terserlah kepenghakan aku)… lebih cantik pula pemandangan bukit-bukit di pesisiran pantai di waktu sekarang. Memang sungguh cantik, bukan main seronok semua. Terubat juga kepenatan kami di pagi tu.
Kemudian di bahagian kiri kami, ternampak pula sebuah Wat di atas bukit. Mulanya aku ingatkan rumah banglo ke apa, rupanya tokong. Cuba tengok gambar di atas, tinggi bukitnya. Terasa dejavu pula seperti pernah bermimpikannya. Memang kami sempat naik ke atas dan akan aku ceritakan dalam entri seterusnya.
Lepas berkemas dan membersihkan kawasan tepi tokong tu, kami pun bergerak semula ke MG dengan harapan orang reception dia ada lah waktu tu. Hmmm… sama juga, masih tak ada orang. Yang ada pun cuma seorang pelancong France yang agak tua menegur aku. Gayanya seperti bersungguh-sungguh mahu membantu. Sebenarnya, beliau baru nak keluar berbasikal ke pantai. Katanya, owner kadang-kadang datang lambat dan kami pun chit-chat beberapa tempat menarik di Bandar PKK.
Lepas borak-borak, apa lagi, tak boleh tahan aku pun tertidur hampir sejam lebih atas sofa di MG. Nasib baiklah Tatie dah cukup tidur atas tren tadi dan tolong jagakan backpack kami di MG.
Sedang nyenyak tidur, tiba-tiba Tatie datang dan kejutkan aku, katanya Maggie dah sampai. Dia pun memperkenalkan dirinya yang bernama Nok iaitu ibu saudara pada tuan punya MG, Maggie. Kami pun ceritalah kisah nak cari bilik. Dia pun tanya jam berapa sampai?? Kami kata jam 4.40am turun dari tren. Dia pun check bilik dan nasib baiklah ada kosong harga THB500.
Kos sleeper berth yg sepatutnya THB500 utk Aqif tapi tak diperlukan sebab kategori kanak-kanak kecil, digunakan utk menyewa homestay di sini. Jadi, bajet masih belum lari. Apa-apa pun, THB500 tu masih mahal sebab rate di sini kalau check Agoda pun paling rendah (kecuali hostel/dorm) ialah RM58. Jarak dari MG dengan pantai hanyalah 150 meter.
Oklahkan kami setuju. Dapat private room dengan bathroom, aircond dan wifi yang cukup laju, lebih laju dari UNIFI (maaflah ye, ini pengakuan jujur aku)! Sambil aku buat muka kesian kata tak cukup tidur dan lain-lain, Nok pun benarkan kami check in lebih kurg jam 9.00am. Alhamdulillah!! Leganya hati.
Masuk je bilik terus aku lepak seketika sebelum sambung tidur.
Menjadi bapak-bapak ni seperti biasalah, tinjau-tinjau dulu dalam bilik, celah katil, tandas dan lain-lain. Manalah tau ada ular sawa. Bukan nak fikir buruk. Di Thailand kan terkenal dengan ular sawa yang suka sembunyi dalam lubang tandas. Oh ye, extension plug di sini bentuk macam USB extension port jer. Untuk pengetahuan korang, walaupun aku pernah pergi ke negara yang lebih jauh, tapi kami sekeluarga memang pertama kali ke Thailand. So, level “tak pernah tengok something-something” tu agak tinggi. Harap maklong…
Tatie pula dah basuh baju siap-siap semua pakaian sebelum kami semua pakat sambung tidur sampai jam 2 petang. Kami memang bawa sedikit je dan rotate pakai nanti. Sabun buku juga yang senang dibawa, itu pun dah potong setengah ketul untuk kurangkan lagi beratnya. Thanks my wife! The more we save, the more we travel, InsyaAllah.
Berkenaan pantai Ao Manao dan Wing 5 yang sepatutnya diceritakan dalam entri ni, disambung pula di sini …. Kembara Thailand – Laos: Day 3 – Part 2 – Wing 5 dan Pantai Ao Manao.
Leave a Reply