Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 4 – Hua Hin Market Village. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Kalau naik tuktuk sehala dalam bandar, cajnya sama je THB20/orang bagi dewasa. Kanak-kanak kecil tak payah bayar apa-apa. Mula-mula dulu, aku ingatkan tuktuk akan berhenti betul-betul di hadapan Hua Hin Clock Tower, tapi tidak. Ia akan berhenti di bahagian jalan lain yang masih mengarah ke utara bandar, cuma berdekatan dengan kawasan tengah Hua Hin Night Market.
Disebabkan aku malas nak meredah night market seperti malam tadi, jadi kami pun berhenti di kawasan Taman Pone Kingpeth. Lepas turun di situ, kami pun menapak ikut jalan besar bandar Hua Hin sehingga ke Clock Tower.
Tiba-tiba ada pula seorang pengawal pintu masuk sebuah lorong melambai-lambai ke arah kami ajak masuk ke lorong tersebut. Kalau bahasa Cina, mesti dia sebut “Lai…. lai….”. Tapi dalam Thailand entahlah aku pun tak pasti.
Cuak gak tetiba ajak masuk lorong belakang. Takkan dia nak ajak aku tengok ‘ayam segar’ di belakang sana? Takkan dia tak tahu aku datang dengan ‘mem’ besar?
Lar… rupanya ada port shopping baik punya kat belakang sana. Tatie dah mula rambang mata, hahahaha.
Kat mana entri laluan yang sesuai? GPS: 12.570552, 99.956972
Nampak dari lorong ni macam kecil sahaja, kan? Jom kita masuk ke dalam dulu…
Macam-macam jenis majalah ada dijual di sini.
Di sini hanya melihat sahaja. Aku cadangkan jangan beli apa-apa lagi sebab banyak lagi di dalam.
Memang aku geram seluar-seluar jenis senteng begini. Susah sangat nak cari. Tapi sebab malas tebalkan backpack, aku abaikan.
Tatie sedang mencuba sunglasses tiruan di sini. Disebabkan kami dah beli di Hat Yai, sini hanya melihat-lihat sahaja.
Agak murah juga harga dalam THB100. Kalau di Hat Yai, lebih kurang THB100 ke 200. Pada pendapat aku, kebanyakan bandar-bandar yang bersempadan dengan pintu keluar masuk negara biasanya mahal. Contohnya, pelancong Singapore bila datang ke Johor Bahru harga dah tentu mahal. Sama juga seperti orang Malaysia yang ke Hat Yai.
Cantik dekorasi menggunakan batang-batang buluh di belakang sana.
Tempat ini sebenarnya besar kerana ia menjangkau sehingga ke Hua Hin Night Market. Apa yang aku suka di sini? Tempatnya kurang orang, tak ramai pelancong yang tahu, agak aman sedikit berbanding Hua Hin Night Market serta barang jualan tidak bercampur. Maksudnya, di sini hanya pakaian dan barangan bukan makanan sahaja. Kalau di market, dah tentu bercampur dengan seafood dan tempat urut bagai.
Mari mari… kasut THB80. Geram aku tengok sebab di sini ada juga dijual kasut-kasut branded yang bukan asli tapi gred AAA. Harga boleh tahan iaitu separuh dari harga yang asli. Ikutkan nak beli sahaja untuk gantikan kasut Brooke yang baru sahaja tertanggal tapaknya siang tadi.
Dalam hati….. tak apa, nanti kita beli di Bangkok atau tempat lain. Penyudahnya sampai selesai kembara ni pun masih tak beli dan kekal dengan selipar Fipper. Yes, syarikat Fipper harus taja aku untuk kembara seterusnya. Dua negara, beribu kilometer selipar Fipper ni bertahan dan lasak.
Untuk pengetahuan korang, sebenarnya kasut Brooke tu aku lekatkan pakai gam gajah dan tahan hingga ke Vientiane, Laos! Riwayatnya berakhir di situ.
Aku perasan di Thailand ni banyak dijual air berwarna-warni seperti ini. Tak tahu apa kandungan dan perisanya.
Tatie test lagi sunglasses. Kali ini di kedai lain pula.
Selain batang buluh tadi, kedai-kedai di sini juga menarik binaannya iaitu dua tingkat dan dibuat dari kayu.
Keseluruhan rumah kayu. Aihh, aku baru perasan yang bahagian atas boleh juga dinaiki. Lupa pula…
Comelnya… Harga tak tahu berapa.
Beg tangan jenama tempatan.
Lagi beg-beg buatan tempatan. Direka sebagai cenderamata.
Ok, lepas bahagian tengah tadi, kita menuju ke bahagian belakang pula.
Ops nanti dulu, Tatie berhenti sekejap untuk melibat anting-anting, gelang dan rantai.
Tingkat dua rumah kayu tersebut. Pencahayaan di sini memang cantik. Ringkas tapi menarik.
Kepala minion sahaja yang ada. Badannya tiada.
Kedai menjual pinggan mangkuk.
Barang-barang kegilaan wanita.
Lagi barangan wanita…
Sambil Tatie sedang meronda dan meninjau barangan, aku dan Aqif lepak seketika di satu sudut. Macam-macam gelagat Aqif bila bermain dengan anak Thailand.
Senapang dan pistol kayu mengikut saiz sebenar. Walaupun kayu, bagi aku tetap salah kalau dibawa ke Malaysia.
Ok dah masuk ke bahagian dalam.
Banyak dijual ikan-ikan kecil di sini untuk belaan. Bermula dari sinilah aku dapati Aqif dah mula minat dengan ikan.
Lagi bahagian dalam. Agak besar juga dan masih ‘aman’ berbanding Night Market.
Murah-murah juga baju kanak-kanak di sini. Kami sempat belikan untuk Aqif.
Ada kawan yang kata ianya agak mahal. Tapi bagi aku, keutamaan diberi pada barangan yang ‘Made in Thailand’ dan pakaian ini memenuhi kriteria kami. Maklum sajalah kebanyakan produk banyak yang buatan China.
Selipar Mak Jemah mana pula ni? Punyalah besar.
Bantal di sebelah kiri tu yang aku minat..
Macam-macam jenis gula-gula ada… dari kapas sampai marshmallow.
Nak sahaja kami port di sini tapi sebab dah penat. Hanya mampu ‘bypass’ sahaja.
Unik. Hasil kerja tangan orang tempatan.
Di sini ada juga terselit tempat mengurut. Itu pun sebab dah menghampir Night Market.
‘U-turn’ semula di lorong sini.
Kawasan dalam ini terbahagi dua, satu di lorong kiri, satu lagi di lorong kanan. Alah.. pernah nampak trek olahraga 400 meter? Begitulah, pilih mana-mana lorong nanti di hujung U-Turn sahaja. Ini pula di bahagian kedua.
Kreatif, hanya menggunakan cawan-cawan minuman dan dimasukkan lampu.
Waktu ni, Tatie sedang membelek pakaian. Ditambah pula salesgirl entah pergi ke mana. Jadi, kami pun tunggu. Disebabkan Aqif tak boleh duduk diam, aku pun bawa ke arah lain dan tiba-tiba terjumpa pula dengan satu keluarga ni yang mana bapanya bekerja di kaunter kutipan untuk masuk ke tandas. Anaknya pula disediakan satu hamparan permainan di tepinya.
Aku pun biarkan Aqif bermain seketika di situ. Bapa dia pun macam ok jer. Biar dia bercampur dengan pelbagai manusia dari pelbagai jenis bangsa. Itulah matlamat kami.
Tuh dia, seharian dah penat berjalan. Kami pun bercadang dah masa untuk pulang ke Hotel Tong Mee. Kebetulan terjumpa pula bulan sabit yang terletak di “The Moon Hostel”.
Suasana sebuah restoran sewaktu kami melintas jalan.
Kedai Mata Pita ni tersenarai dalam Tripadvisor. Tak silap aku, produknya ialah wangian menggunakan bahan semulajadi. Tapi kami tak masuk pun, sekadar cukup syarat bergambar di bahagian luar.
Mula-mula, aku yang posing dulu dengan gaya kaki pijak atas Jeep lama ni. Sekali tu Aqif pun nak tiru sama. Hahaha.
Bergambar di Hotel Tong Mee, kali ni di waktu malam. Lagipun, esok dah nak berangkat ke tempat lain dah. Ni nak beritahu korang, menginap 3 hari 2 malam di Hua Hin memang tak cukup! Menyesal sebab tak jelajah ke bahagian utara Hua Hin hingga ke Cha-am.
Ini apa yang aku nak tunjuk ni? Dah boleh agak? Suis elektrik di bahagian dalam tandas wehhh! Kan ke bahaya tu.
Maka selesailah hari ke-5 kami di bumi Thailand. Pagi-pagi esok jam 5.00 pagi, kami akan berangkat ke Samut Songkhram iaitu ke Maeklong Railway Market. Jaraknya 2 jam perjalanan. Mudah-mudahan tiket available untuk kelas ke-3 pada esok pagi.
Tahukah anda, Maeklong merupakan pasar yang terbahaya di dunia??
Leave a Reply